Trip Trobek – Komplot Kolam Jerlang

Share

 

Bertempat di kolam memancing air tawar yang popular di Negeri Sembilan, Jerlang Pantai Sport Fishing (JPSF) satu komplot memancing berkonsepkan silaturahim anjuran Fishing Fighter telah diadakan.

 

Komplot ini hasil dari gabungan beberapa kumpulan pemancing sekitar Lembah Kelang dan Negeri Sembilan bagi merapatkan ukhwah antara pemancing yang kebanyakan berhubung di laman sosial sahaja.

 

 

Walaupun tidak menjanjikan hadiah yang lumayan, ternyata ia mampu juga menarik minat hampir 50 peserta. Alhamdulillah, komplot yang berlangsung pada Sabtu lalu (8 Disember) pada jam 3.00 berlangsung dalam suasana meriah dan ceria.

 

Apatah lagi penghuni kolam menyambut baik umpan yang ditabur oleh pemancing. Hasil tangkapan ternyata cukup memberansangkan. Bukan sahaja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti. Spesies patin cukup yang mendominasi kolam ternyata menjadi spesies yang paling banyak didaratkan.

 

Disebalik patin, pacu dan patin mekong yang banyak ditempatkan di dalam kolam, penulis berasa cukup bertuah kerana berjaya mendaratkan ikan karak atau katla bersaiz 12.6 kg. Ia menjadi kenangan yang amat manis bagi penulis dalam komplot bersaudara ini.

 

 

Selain acara memancing, tutorial penyediaan umpan turut dipersembahkan oleh pihak penganjur. Malah pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada para pemancing yang berjaya mendaratkan ikan terberat.

 

Saudara Acit muncul sebagai juara komplot apabila berjaya mendaratkan ikan patin seberat 13.870 kg. Sejurus majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada jam 4.00 pagi, barulah para peserta komplot bersurai dengan wajah yang kekal ceria.

 

 

Published by
Amang