Sebelum Pandemik Covid-19, boleh dikatakan hampir setiap tahun kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung, mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak.
Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada serampang dua mata. Selain bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing, sudah tentunya untuk menduga perairannya. Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.
Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu. Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung. Bot pancing yang dimiliki Edel selesa jika dinaiki empat orang pemancing.
Ads
Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong. Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri.
Ads
Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk. Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.
Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik. Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.
Ads
Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti. Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk! Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.
Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula. Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot. Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jam 3.30 petang kami bergerak dari jeti. Perjalanan menuju ke spot sasaran mengambil masa 3 jam dengan kemampuan bot berenjin Yamaha twin 115 dan bot fiber 32 kaki panjang x 8 kaki lebar. Sekitar jam 5.30 petang skipper Pok Har berhenti di unjam transit untuk menyejukkan enjin bot seketika.
Kami menjatuhkan mata apolo untuk mencari ikan hidup untuk dijadikan umpan pada malam. Anak selayang hidup berjaya kami kumpul sekitar 100 ekor. Pok Har meneruskan perjalanan ke spot sasaran. Jam 6.30 petang kami sampai di spot yang dimaksudkan.
Kami bersauh dan di situ kami menyelesaikan perkara yang wajib dan membuka makanan bekal dari rumah. Jam 8.00 malam kami mula memancing bottom teknik perambut apolo. Saudara Fazley memecah kebuntuan awal mahal dengan berjaya menaikan spesies merah tanda. Selepas itu Azlan dan Pablo berjaya menaikkan spesies ikan merah berskala cukup kilo. Ia sedikit sebanyak memberikan kami semangat.
Selepas itu saudara Aidilfitri berjaya menaikan spesies ikan kaci atau mandi abu dengan berumpankan anak ikan selayang. Belum sempat saya menghulurlan umpan, reel saudara Ajey pula menjerit. Selepas beberapa minit bertarung kelihatan spesies MJ terapung di permukaan. Kami sangat teruja, seronok dan terus bersemangat. Syam berjaya menaikan ikan mayong.
Skipper meminta kami segera menghulur umpan ke dasar kerana ikan gred A seperti aktif meragut umpan. Saudara Adnan Su dengan setup bottomnya berjaya menaikan ikan kerapu dan tetanda. Kira-kira jam 2.00 pagi ikan sudah mula kurang aktif mencari umpan berikutan arus mati. Kami mengambil keputusan untuk melelapkan mata merehatkan badan dan minda sementara menunggu hari siang.
Jam 6.30 pagi kami diasak dgn ikan cermin dan aya di sekitar unjam. Jam 9.00 pagi Pok Har mengarahkan kami bermain light jig untuk memburu spesies bergigi tajam. Kami bermain dengan teknik drif menghanyut bot dari kepala hingga ke hujung ekor unjam.
Fadzley membuka tirai dengan tenggiri pertama team kami. Selepas itu Adnan Su, Pablo dan Fitri diasak dengan tenggiri dari atas unjam. Alhamdulilah, kesemua strike berjaya dikawal dan dinaikan ke bot dengan kepakaran skipper.
15 minit berlalu saya pula diasak oleh tenggiri dari sisi kanan bot. Kami saling bertukar strike. Tenggiri mengamuk menghentam jig kami di unjam pertama ini. Setelah 7-8 kali kami berjigging di spot ini tenggiri mula mengendur asakan mungkin kerana sudah banyak berjaya kami daratkan atau kehadiran anak yu paus berhampiran bot.
Di spot kedua tenggiri bersaiz mega pula rakus menghentam jig dan pintail yang kami hulurkan. Alhamdulillah pertambahan hasil di spot yang kedua ini.
Di spot ketiga, Fitri dan Adnan Su berjaya menjinakkan spesies ebek bulat dengan kaedah slow pitch. Selepas puas mempelbagaikan teknik di spot ini kami mula berasa keletihan. Kebetulan arus beransur lembut membuatkan ikan pelagik kurang aktif (maklumat dari skipper). Sesekali saya, Pablo, Fitri dan Fazley berjaya mendapat strike di bahagian hadapan bot. Manakala Adnan Su, Azlan Syam dan Ajey menahan asakan tenggiri di belakang bot.
Jam 12.00 tengah hari tong ikan kami sudah mula penuh dengan spesies pelagik ini. Skipper mengarahkan kami menambat bot pada unjam bagi membolehkan beliau menyusun ikan di dalam tong sambil merehatkan enjin bot seketika.
Jam 2.00 petang kami mengambil keputusan untuk menamatkan trip ini dek kerana rezeki kami sudah 2 tong penuh. Kami sampai di jeti jam 6.00 petang. Alhamdulillah rezeki team kami murah hari ini. Ia merupakan sejarah baru untuk kami dan bot Black House Fishing Trip itu sendiri. Bersyukur pada Tuhan atas nikmat dan rezeki yang diberikan.
Memancing belut air tawar atau belut sawah mungkin kurang popular dan diminati. Tetapi sebagai seorang fishing journalist, saya perlu mempelajari kesemua teknik pancingan dan
spesies ikan yang boleh dipancing. Dan pancingan belut sebenarnya turut tidak terkecuali dan tersenarai dalam jadual pancingan saya.
Hanya kekerapan membezakannya dengan pancingan lain. Jika pancingan ikan layaran atau mencandat sotong yang dilakukan setahun sekali, memancing belut kekerapannya lebih kurang daripada itu.
Setelah lebih lima tahun mencubanya buat kali pertama, kerinduan mengocak umpan di lubang belut dan bertarung menarik ia keluar dari lubangnya yang melingkar kembali menjengah.
Bezanya, jika pada kali pertama dahulu saya mengocak lubang belut di bawah terik matahari, kali ini akan mengocak lubang belut pada waktu malam pula.
Usai solat Maghrib, bersama seorang rakan, Anhar, kami bertolak dari Sungai Buloh ke Sungai Besar.
Sungai Besar sememangnya padang pancingan belut utama berikutan kawasan sawah padinya yang luas.
Setibanya di rumah Iwan di Parit 1, kelihatan hampir sepuluh orang pemancing belut yang sudah bersedia untuk meredah kegelapan sawah padi yang sudah dituai hasil sepenuhnya.
Sebelum turut serta, kami dipelawa untuk mengalas perut dengan menjamah ikan gerepoh dan cencaru bakar yang disediakan oleh oleh Iwan.
Setelah berpecah secara berkumpulan, saya dan Anhar ditemani oleh Iwan sendiri sebagai guide. Parit kecil atau parit bendang tidak jauh di belakang rumah Iwan menjadi lokasi pertama kami.
Kesilapan saya menggunakan joran sependek empat kaki kerana menjangkakan parit bendang itu cetek dan sempit separas lutut sebagaimana parit bendang yang pernah saya pancing lima tahun dahulu membawa padah.
Rupanya parit bendang itu agak lebar dan bertebing tinggi. Joran tanpa kekili itu tidak mampu dihulurkan ke lubang belut.
Akibatnya saya sekadar dapat menyaksikan Anhar yang baru pertama kali memancing belut bersorak riang setelah berjaya mengeluarkan dua ekor belut dari lubangnya.
Setelah menukar set joran, kami berkereta pula mencari parit bendang yang berpotensi. Tidak semua parit bendang sesuai untuk mencari lubang belut.
Ada parit bendang yang sudah kering airnya, ada yang masih tinggi airnya dan ada pula sukar untuk dilalui kerana semak tinggi.
Setelah beberapa petak sawah diredah, kami beralih ke parit bendang di tepi palong pula. Untuk memancing belut di sini kami perlu memanjat dan meniti palong.
Ia tidaklah terlalu berisiko tetapi tersilap langkah boleh mendatangkan kecederaan juga.
Sebolehnya saya cuba untuk tidak menggunakan katak yang dipotong kecil sebagai umpan. Justeru saya cuba menggunakan umpan tiruan berupa soft plastic yang dipotong kecil dan dilumuri minyak penarik bau.
Namun setelah plastik lembut umpan tiruan itu ditelan si belut dan memikirkan kesudahan nasibnya, barulah saya menggunakan umpan katak.
Setelah beberapa jam memancing dan hampir jam tiga pagi barulah kami kembali ke rumah Iwan untuk berehat.
Walaupun hasil keseluruhan yang dikumpul tidaklah sebanyak mana, namun kepuasan bertarung menarik belut keluar dari lubangnya sememangnya satu pengalaman yang
menyeronokkan dan bakal mendatangkan rasa rindu untuk mengulanginya lagi pada masa mendatang.
Pulau Song Song, terletak di perairan Yan, Kedah merupakan pulau kecil yang tidak berpenghuni.
Selain pulau ini, terdapat lagi beberapa pulau lain berhampirannya Bunting, Tukun Terendak, Telor dan Bidan.
Kesemua pulau ini ada kaitannya dengan legenda setempat yang berkait rapat dengan kisah perkahwinan.
Bagi pemancing tempatan, lokasi pulau-pulau berbatu ini sememangnya ’port’ terbaik casting GT dan ta lang menggunakan umpan bulu.
Sebenarnya, hajat untuk menduga spesies menyambar GT dan Talang di sekitar perairan Pulau Song Song, Kedah telah sudah lama dipendam.
Asyik tertahan je nafsu melihat gambar-gambar dari handphone Cikgu Anamis.
Dua tiket bas dari Shah Alam ke Alor Setar lantas dibeli untuk dua orang. Segala kelengkapan cuba disiapkan sebaik mungkin, terutama rod dan kekili.
Malangnya saya tidak ada rod casting yang sesuai iaitu 7 kaki, sebaliknya hanya ada 6 kaki setengah.
Dek kerana kesuntukan masa, peralatan lain apa yang ada dalam kotak pancing diselongkar dan apa yang dirasakan sesuai itulah yang dibawa.
Bertolak pukul 10.00 malam dari Shah Alam dengan menaiki bas Transnasional, kami tiba di Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar sekitar jam 5 pagi.
Setengah jam kemudian, kami berdua dijemput berkereta oleh tekong Abang Din seorang tekong yang handal memburu GT, talang, tenggiri di sekitar perairan Pulau Song Song.
Abang Din kemudian menuju ke rumah rakannya Cikgu Wafi, di Alor Setar untuk kami tinggalkan beg pakaian dan mandi serta mengambil seorang lagi pemancing, Wahid untuk turut serta.
Wahid sebenarnya pemancing dari Sarawak yang juga rakan baik Cikgu Anamis, tekong dan juga Cikgu Wafi.
Yang respeknya, Wahid sanggup terbang dari Kuching ke Pulau Pinang, sebelum dijemput Cikgu Wafi ke Alor Setar hanya semata-mata gilakan casting GT, talang guna bulu ayam.
Bukan sekali tapi dah banyak kali dia berkunjung ke sini. Semuanya gara-gara terkena racun bulu ayam ’hand made’ Abang Din, tekong casting tersohor di perairan ini.
Wahid telah sampai dua hari awal dan dia telah pun memancing sehari awal sebelum kami.
Selepas membeli bekalan ais kami terus ke Kuala Yan dan tiba di Jeti Pantai Murni, sebelum jam 7.00 pagi.
Sebelum itu, sempat juga beli kuih-muih buatan Kedah dan nasi lemak buat sarapan.
Selepas memunggah barang, kami mula meninggalkan jeti. Walaupun air masih lagi surut, berkeladak dan beralun kuat, tapi atas kepakaran Abang Din, bot akhirnya berjaya juga melepasi halangan.
Pulau pertama yang kami tuju adalah Song Song, merupakan sebuah pulau berbatu, tidak berpenghuni.
Menghampiri sahaja kawasan berbatu, Abang Din memberi isyarat kami sudah boleh mula casting ke arah batu-batu yang ketika itu dihempas ombak.
Ujar Abang Din, ikan seperti GT, talang, bluefin trevally, jemuduk, cencaru kuda akan berlegar di kawasan berbatu ini.
Tapi dalam hati penulis, tak kisahlah ikan apa pun yang naik, janji nak kena karan bulu ayam.
Maklumlah ini kali pertama casting guna kaedah ni. Kalau kena tenggiri sesat, kira satu bonus, walaupun tenggiri sebenarnya tersangat kurang berlegar di kawasan berbatu ini.
Arus kuat
Benarlah kata pepatah, hari ini, rezeki kita, esok belum tentu. Kunjungan saya sebenarnya pada hari yang agak ’kurang tepat’ sebab menurut Abang Din angin barat masih belum berakhir dan sebab itulah arus agak kuat, dan laut beralun serta kucah.
Kesannya ombak begitu tinggi membadai tebing berbatu sehingga air menjadi keruh.
Menurut Abang Din, waktu terbaik terbaik untuk memikat spesies pelagik yang gemar mengejar umpan bulu ini waktu pagi sebelum matahari memancar terik (antara jam 8 hingga 10.30 pagi) dan lewat petang (jam 3.30 petang hingga lewat senja).
Paling penting, ikan hanya aktif pada air yang jernih dan gemar membuat serang hendap di kawasan berbuih, iaitu sebaik sahaja, ombak memukul batu dan tebing.
Mengelilingi Pulau Song Song, Cikgu Anamis yang menggunakan kekili Shimano Sahara 2500 dan rod keramatnya Viper Venom 10-20lb 7’ setengah mendapat strike pertama.
GT dalam anggaran 600 gram berjaya dibawa naik. Saya yang berbekalkan Shimano Symetre 2500 dan Viper Venom 10-20lb 6’ berjaya menaikkan bluefin trevally.
Riuh rendah Abang Din mengarahkan kami segera melontarkan umpan bulu sebab jika terdapat seekor sudah naik, akan ada gerombolan lain di bawahnya.
Katanya bukan selalu spesies sirip biru ini muncul di sini.
Kami kemudiannya bergerak menuju ke Tukun Terendak, sebuah pulau berbatu paling kecil. Difahamkan, Tukun Terendak sebenarnya sebuah pulau yang besar.
Tetapi selepas dibedil berkali-kali oleh roket pasukan Tentera Australia semasa mereka mendiami Pulau Bidan sekitar tahun 1980-an , pulau ini hancur dan yang tinggal hanyalah pulau batu yang begitu kecil saiznya.
Jelas nasib tidak berapa menyebelahi kami, hanya bersaiz juvenil berjaya dinaikkan. Langsung tiada kelibat GT 2kg ke atas.
Cuma Cikgu Anamis berjaya merasai tarikan ikan yang bersaiz bagak, kerana tali dalam spool Sahara miliknya menjerit nyaring ditarik keluar tanpa dapat ditahan.
Sayangnya, ikan berjaya menyelinap ke kawasan berbatu dan berjaya memutuskan perambut 30lb Xzoga. Aduh sayang sekali.
Kata Abang Din lagi, Tukun Terendak jarang memberikan kehampaan. Ia antara port terbaik GT bersaiz 2 hingga 5 kg.
Wahid pula berkata, semalam juga arus agak kuat, tapi masih ada saiz sekilogram berjaya dinaikkan.
Keadaan alun yang kuat jelas menjadi faktor mengapa ikan tidak berkumpul lama di sesuatu tempat.
Kerapu oh kerapu
Menjelang tengah hari, tiada kelibat GT dan tiba masanya untuk memancing kerapu. Terus sahaja, gewang-gewang selam dalam jenama Halco yang bermacam warna seperti pink, purple, termasuklah warna ’Elton John’ dikeluarkan.
Alamak saya hanya mampu keluarkan gewang main sebarau, mujur ada warna fire tiger. Maklumlah jarang sekali casting di laut. Selalunya hanya main sebarau, toman.
Tapi mungkin juga sebagai salam perkenalan, akhirnya ada juga kerapu dalam anggaran sekilo membedal gewang selam dalam Storm ThunderCrank Flash saya yang juga satu-satunya kerapu tunggal hari ni.
Bila matahari mula bersinar terik, kami mendarat ke Pulau Bidan dan menjamah bekalan nasi yang dibawa.
Kami kemudiannya mengambil kesempatan bersiar-siar melihat persekitaran Pulau Bidan, terutama melihat kesan tinggalan kem tentera Australia sebelum ia diambil alih pihak Tentera Malaysia.
Sayangnya, kawasan bersejarah ini tidak dijaga. Tidak banyak kesan yang masih tinggal, hanya runtuhan bangunan, serpihan pecahan bumbung bangunan dan pokok kelapa yang tumbuh meliar.
Sempat juga, tekong memetik beberapa biji kelapa muda untuk menghilangkan dahaga.
Sekitar jam 3 petang, kami menaiki semula bot dan cuba beberapa kali casting kerapu, sayangnya sang kerapu enggan menyambar puluhan kali gewang yang kami lontarkan. Agaknya kerapu masih tidur kot dalam lubangnya.
Lewat petang, kami sekali lagi menyusuri Tukun Terendak dan Pulau Song Song. Hasilnya naik jugalah beberapa ekor lagi GT dan bluefin trevally. Sekitar jam 7.00 malam, kami mengakhiri trip dengan perasaan puas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...