Sebelum Pandemik Covid-19, boleh dikatakan hampir setiap tahun kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung, mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak.
Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada serampang dua mata. Selain bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing, sudah tentunya untuk menduga perairannya. Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.
Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu. Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung. Bot pancing yang dimiliki Edel selesa jika dinaiki empat orang pemancing.
Ads
Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong. Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri.
Ads
Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk. Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.
Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik. Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.
Ads
Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti. Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk! Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.
Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula. Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot. Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat pelbagai sungai yang boleh dikunjungi di sepanjang Sungai Tembeling antaranya Sungai Terrengan, Keniam, Sat dan Sephia. Sungai keniam merupakan salah satu cabang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Sungai Keniam amat terkenal dikalangkan peminat atau pemancing ikan air tawar dan kaki trekking. Apa yang menarik tentang Sungai Keniam ini ialah sungai ini masih kaya dengan populasi ikan air tawar paling mahal di Malaysia iaitu ikan kelah merah.
PERANCANGAN
Walaupun hasil Sungai Keniam dikatakan tidak semeriah dulu dan sukar diperolehi, ikan kelahnya tetap masih ada. Dalam merealisasikan memperoleh ikan idaman ini, saya telah mengaturkan satu trip seramai 24 orang ke Sungai Keniam selama 4 hari 3 malam.
Untuk ke sana tidaklah terlalu sukar, kami hanya perlu membuat tempahan bot yang banyak terdapat di Kuala Tahan. Tanpa perlu bersusah payah, hanya taip sahaja perkhidmatan sewa bot ke Taman Negara di Google, pasti memberi pelbagai maklumat tentang pelbagai pilihan pakej untuk ke sana berserta nombor telefon orang yang perlu dihubungi.
Selain itu, pelbagai peralatan perkhemahan dan keperluan makanan perlu kami sediakan sebagai persiapan ke sana. Memandangkan Sungai Keniam amat terkenal di kalangan pemancing sungai pergunungan, lokasi ini pasti dilawati oleh pemancing setiap minggu. Oleh kerana itu, pihak Taman Negara Pahang mewajibkan setiap pengunjung yang hendak ke sana memohon permit.
Antara permit yang perlu dipohon ialah permit sewa tapak perkhemahan dan permit memancing. Ini kerana pihak Taman Negara Pahang akan memantau setiap kemasukan pengunjung di sepanjang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling supaya kejadian over fishing tidak berlaku serta menjamin populasi ikan-ikan yang terdapat di sungai-sungai ini.
Pengunjung juga dilarang keras membawa sebarang jaring atau jala, bom ikan, tuba dan senapang ikan ke sana. Jika masih terdapat pengunjung yang berdegil membawa peralatan yang dilarang ini, tindakan tegas akan diambil serta merta oleh pihak Taman Negara.
LATA SAID
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus Sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu, kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti. Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di Lubuk Rinching, Lubuk Rawa dan Lata Said.
Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran. Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di Sungai Keniam, kelihatan perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
SANG BADONG
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing. Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong.
Sang Badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini menyambar sesudu Abu Island miliknya dan lokasin tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami. Ia pasti menggujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat Sang Badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan kami. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa. Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
MENONGKAH ARUS
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke hulu untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti Lubuk Rawa atau Lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam. Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai.
Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya. Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu Abu Island II disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
LUBUK RAWA
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di Sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang di Lubuk Rawa untuk memancing. Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan.
Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
KELAH MASAK TEMPOYAK
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di Lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri Pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.
Selepas selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.
Sempena cuti umum Hari Pekerja yang disambut di seluruh negara, satu komplot memancing persahabatan anjuran Umpan Terbang telah diadakan di kolam Harmony (Kolam Mancing Harmony Puchong).
Komplot ini turut mendapat penajaan dari Bullzen Brutal Angler selaku penaja utama.
Penaja lain seperti OneArt, Ichikawa Fishing, Fuad Pancang, Husky Fishing, Umpan Waghih, MGFA Malaysia, Jdy Jdy Part & Service, Kolam Mando Serendah serta Kolam Harmony sendiri turut selaku penaja padang pancing.
Acara bermula jam 9.00 pagi dengan taklimat dan ucapan wakil para penaja. Menurut Hisyam Azimat atau lebih dikenali sebagai Abang Sham selaku pemilik jenama Umpan
Terbang (umpan memancing air tawar) menyatakan bahawa ia adalah komplot pertama dan terbesar pertama diadakan.
Beliau yang telah hampir 2 tahun terlibat dalam perusahaan pembuatan umpan memancing turut menyatakan usahanya itu terhasil dari dorongan kawan-kawan serta minat sendiri.
Sementara isteri beliau, Siti Zaleha Ahmad atau lebih popular dengan nama CT Manje Angler pula berpendapat, kompot ini adalah medan mencari wanita bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.
Beliau sendiri berazam untuk mengadakan komplot khusus bagi pemancing wanita pada masa akan datang.
Tepat jam 10.00 pagi acara mini game memancing dimulakan. Kali ini dapat dilihat bertali arus ikan spesies patin didaratkan silih berganti.
Ternyata Kolam Harmony ini merupakan kolam yang sentiasa menjadi pilihan para pemancing. Acara ini juga turut diserikan dengan cabutan bertuah.
Disamping itu juga para pemancing berbesar hati menderma amal untuk seorang sahabat yang ditimpa musibah.
Komplot ini tamat jam 5.00 petang dengan menyaksikan saudara Apai HP dinobatkan sebagai juara dengan tangkapan spesies patin seberat 10.975kg.
Editor portal memancing nombor 1 negara (Umpan) yang sempat hadir sebelum acara ini berakhir diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang utama.
Pada 6 September 2016, seorang Nelayan berusia 64 tahun berjaya menangkap ikan pari gergasi seberat 300 kilogram di perairan Tanjung Batu, Miri Sarawak.
Nelayan, Bihie Ismail,64, berkata, ikan berkenaan ditangkap pada jam 12 tengah hari sebelum berjaya ditarik ke pantai Kampung Bungai dua jam kemudian.
Menurutnya, ikan pari itu ditangkap melalui kaedah pukat rawai menggunakan umpan isi ikan. Pukat berkenaan memang untuk menangkap pari, tetapi, dia tidak menyangka akan memperoleh tangkapan sebesar itu.
Katanya,setakat ini, dia sudah memperolehi RM1,000 hasil dari sebahagian jualan ikan berkenaan di pasar Bekenu dan penduduk kampung.
Ikan 2
Juga di Miri, pada 18 Mac 2015, Seekor ikan kerapu bersaiz luar biasa dengan berat 168 kilogram berjaya ditangkap nelayan di perairan Tukau.
Ikan kerapu yang dijual lebih RM10,000 itu menjadi rebutan pengusaha restoran di bandar ini selain turut menjadi tumpuan orang ramai yang tidak melepaskan peluang melihat ikan bersaiz luar biasa terbabit.
Pembeli bertuah yang juga pengusaha makanan laut, Ah Tai Chian, berkata, dia gembira apabila berjaya membeli ikan kerapu itu walaupun terpaksa berebut dengan pengusaha restoran lain.
Ikan 3
Pada 3 April 2017, seorang penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.
Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, berkata dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...