Telah menjadi kebiasaan Royal Belum menjadi salah satu lokasi perkhemahan Geng Bregol. Kali ini perjalanan menggunakan bot sehingga ke tapak perkhemahan memudahkan kami membawa kelengkapan lebih dari kebiasaan. Dengan tema yang sama ‘makan biar lebih’ bahan basah dibeli di pekan Grik pada awal pagi.
Dengan 2 buah bot kami terus memasuki Taman Negara selepas membuat pendaftaran di pondok kawalan Jabatan Perhutanan.
Sesi pemasangan khemah dan juga penyediaan meja dapur dari bahan-bahan hutan disediakan secara rapi untuk keselesaan tukang masak kami. Sesi memancing dipecahkan kepada dua buah bot pemburu spesies toman dan manakala saya menyertai bot memburu spesies sebarau.
Suak demi suak kami masuki, namun pada hari pertama hanya 2 ekor sebarau yang sudi meligan gewang Rapala Shad Rap Goldfish manakala bot pemburu toman gagal mendaratkan spesies itu kerana semuanya berakhir dengan putus semasa bertarung.
Pada hari kedua sebelah pagi juga tiada hasil yang berjaya ditawan dan tiada spesies yang sudi bergambar dengan kami. Pada sebelah petang kami keluar dengan menggunakan speedboat pada pukul 4.00 petang dan tekong menemui satu suak di mana terdapat air dari anak sungai mengalir ke tasik.
Di sini kami berpesta apabila seekor demi seekor berjaya didaratkan dengan gewang yang berwarna terang. Hanya yang bersaiz dewasa dibawa pulang ke khemah untuk dijadikan santapan manakala yang bersaiz kecil dilepaskan semula.
Skill bagi penggunaan gewang di tasik agak berbeza dengan penggunaan gewang atau sesudu di kawasan sungai yang berjeram. Di sini kami lebih banyak menggunakan sesudu yang dilontar jauh hingga mencecah dasar dan di karau secara laju ataupun menggunakan gewang ‘sinking’.
Trip tahunan ini akan sentiasa berubah mengikut giliran bagi merasai kenikmatan berada di hutan belantara. Ahli tetap seramai 15 orang sudah cukup untuk memenuhkan kuota bagi sesuatu trip dan perancangan rapi daripada ketua misi, Lan Bregol adalah trip yang sentiasa saya nantikan.