Trip Trobek – Geledah Perairan Mersing!!

Share

 

Kecewa pada hari pertama sama sekali tidak mematahkan semangat kami berenam (termasuk tekong, malah tekong merupakan pemancing yang paling bersemangat) terus memburu spesies sasaran utama kami ke perairan Pulau Tioman – ebek kapak.

 

Bagi sesi hari kedua yang juga hari terakhir, tekong membawa kami ke lubuk-lubuk sekitar Tokong Burung dan Pulau Sribuat.

Tidak jauh meninggalkan Pulau Tioman, kami mencuba dulu sebuah lubuk sebagai sesi pemanas badan.

Nasib menyebelahi saya apabila jig 30gm yang diunjun dan dikarau perlahan disambar pemangsa. Namun bukan ebek yang berjaya didaratkan.

Sebaliknya hanya jemuduk bintik berskala 2 kg sahaja.

 

Lubuk seterusnya pula berhampiran Pulau Besar. Aktiviti ikan-ikan pemangsa meligan kumpulan ikan kecil di permukaan air itu menghentikan perjalanan kami ke Tokong Burung.

Hampir sekeliling kami terdapat kelompok anak ikan diburu. Kami lupakan seketika misi memburu ebek. Teknik casting gewang pintail dan jig diaplikasi.

 

Boleh dikatakan hampir kesemua gewang dan jig yang kami gunakan mengena cuma berbeza situasi. Ada yang berjaya mendaratkan hasil. Ada yang putus perambut dan ada yang rabut di tengah perjalanan.

Walaupun spesies pemangsa yang berjaya didaratkan hanyalah tongkol, jemuduk dan cencaru bersaiz kasar, namun kami tetap berusaha mencari jawapan `siapakah’ yang melarikan gewang pintail dengan kesan luka menggerutu.

 

Sejurus kemudian ia terjawab apabila seekor todak besar atau banang selamat didaratkan dan selamat juga dilepaskan kembali.

Usaha diteruskan di kawasan sekitar walaupun semangat kami mula mengendur gara-gara banang tersebut.

 

Ketika saya mengarau untuk menukar jig yang lebih sesuai bagi memujuk ebek, secara tiba-tiba jig yang hampir ke permukaan disambar dan dilarikan dengan kencang.

Menyangkakan ia gara-gara banang lagi maka saya menanganinya dengan ala kadar. Sehinggalah pemangsa tersebut memperlihatkan kelibatnya barulah berderau darah.

 

Tenggiri rupanya! Mulalah kalut seketika memandangkan jig Ima 30gm itu kecil tanpa perambut dawai pula.

Hanya nasib berpihak kepada saya berikutan hampir sepenuhnya jig itu berada di dalam mulut tenggiri anggaran berat 7 kg.

 

Hampir separuh hari juga kami juga menghabiskan masa di situ sebelum ke lubuk berhampiran Tokong Burung dan Pulau Sribuat.

Namun kedua-dua lokasi yang turut menjadi tumpuan bot-bot pancing lain tidak memberikan keputusan yang diharap-harapkan.

 

Biarpun hasil yang diperoleh sudah memuaskan hati kami tetapi tekong masih berharap.

Sebelum bergerak pulang, kami dibawa oleh tekong mencuba nasib di lokasi-lokasi yang pernah mencetak nama sebagai lubuk ebek gergasi. Dan usaha tersebut terjawab!

 

Ruang diberi sepenuhnya kepada Shahrul apabila jig yang digunakan disambar pemangsa yang menurut beliau berbeza aksinya berbanding spesies yang telah didaratkan.

Pemangsa diangani dengan penuh santun. Lama juga Shahrul menyantuninya sehinggalah ia badannya yang lebar… tetapi berbelang.

 

 

 

Published by
Amang