Trip Trobek – Belida Bintik Tikam Batu

Share

 

Kunjungan saya di Tikam Batu, Sungai Petani disambut gembira oleh Addin, sahabat saya dan keluarganya. Bagaikan menyambut ketibaan VVIP pula rasanya. Hati pula semakin berkobar-kobar hendak memancing apabila makan tengah hari pada hari itu disajikan dengan hidangan ikan belida goreng.

 

Setelah berehat sehari, keesokan paginya awal-awal lagi saya mengatur misi memancing belida. Misi mencari belida disertai Addin, Hasmida dan ahli keluarganya. Sebelum menuju ke lokasi ban yang pertama, kami terlebih dahulu mencari umpan yang dikatakan amat efektif untuk belida di sini iaitu anak ikan seluang.

Rupanya begitu mudah mendapatkan anak ikan seluang di sini. Hanya perlu gunakan penyauk dan sauk sahaja di tepi-tepi rumput di tepi tali air yang ada di sini.

 

 

Sebelum keluar memancing pagi ini, saya sempatlah meminta tip memancing belida daripada Pak Hassan iaitu bapa kepada Hasmida. Menurut Pak Hassan, untuk memancing belida di sini, perlu gunakan mata kail bersaiz kecil.

 

Jika menggunakan mata kail yang lebih besar, langsung tidak mahu dijamahnya. Tambahnya lagi, teknik yang biasa digunakan adalah bottom ataupun menggunakan pelampung. Kedua-dua teknik ini memang berkesan dipraktikkan di sini.

“Waktu yang terbaik untuk memancing belida di sini adalah pada awal pagi, lewat petang dan pada sebelah malam,” katanya.

 

Lokasi pertama kami pagi ini ialah di Ban Kampung Pokok Kabu. Lokasi ini dikatakan antara spot terbaik menjerat belida. Jelas Hasmida, di sinilah kawasan yang menyambungkan air dari Sungai Muda ke ban-ban yang ada di sekitar Tikam Batu ini.

 

 

Pada awal kedatangan kami lagi kami sudah disambut meriah penghuni ban ini. Mana tidaknya, kami disajikan dengan satu persatu kocakan air yang menandakan ikan sedang aktif. Tanpa membuang masa, kami terus mempersiapkan peralatan memancing kami.

 

Setelah melabuhkan umpan, kami terus dengan sabar menunggu ikan menjamah umpan. Belum pun 10 minit menunggu, umpan telah disambar. Namun nasib tidak menyebelahi kerana spesies yang dipercayai belida itu bijak melarikan umpan anak seluang yang dihulur.

 

Tidak lama selepas itu satu persatu joran disentuh sang ikan. Namun, kejadian sama masih berulang, iaitu ikan lebih pantas melarikan umpan. Tertanya-tanya juga di mana silapnya? Namun, kami tetap tidak berputus asa.

 

 

Menjelang 10 pagi kami dikejutkan oleh jeritan Nana, anak Pak Hassan yang memancing berhampiran jambatan. Meliuk lentuk rod teleskopik yang kerap digunakan untuk mengail ikan puyu ditarik sang belida. Pak Hassan yang ada berhampiran tampil memberikan bantuan. Akhirnya tewas seekor belida berskala 600 gram.

 

Menjelang tengah hari, ikan semakin culas memakan umpan. Oleh sebab yang demikian kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah berehat dan kami merancang untuk menyambung semula aktiviti kami pada sebelah malam.

 

Setibanya di lokasi yang sama seperti pagi tadi kami dikejutkan dengan jaring yang dipasang merentasi ban tersebut. Bukannya satu sahaja jaring yang dipasang, malah di sepanjang ban ada sahaja kelibat pelampung jaring. Sakitnya hati melihat kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memasang jaring di sini.

 

 

Bukannya apa, bagi penulis, baik ban, sungai, mahupun pantai, semuanya untuk kita kongsi bersama. Janganlah kerana dek ketamakan menjadikan manusia itu hilang kewarasan untuk mengaut semua hasil yang ada.

 

Disebabkan jaring itulah, ikan dikhuatiri telah menjadi culas. Hingga ke jam 12 tengah malam langsung tiada getuan sang ikan, meskipun kami melabuhkan joran agak jauh dari lokasi jaring tersebut.

 

Keesokan pagi, awal-awal lagi kami dikhabarkan dengan berita ada penduduk kampung yang berjaya menaikkan 6 ekor belida berskala 1 – 3kg pada malam tadi!

Terpinga-pinga kami dibuatnya. Iyalah, mana sahajalah lubuk yang diteroka oleh penduduk kampung ini? Kami yang kumpau teruk semalam terus membayangkan masih ada sinar untuk kami mendapatkan belida.

 

 

Hari kedua, saya bersama rakan cuba untuk meneroka ban-ban lain yang ada di sini. Berbekalkan lubuk rahsia yang diberitahu penduduk kampung, kami terus mengatur perjalanan ke sana sambil mencari potensi lubuk yang lain. Lepas Maghrib kami sekali lagi mencuba ke lokasi yang dimaksudkan.

 

Di sini, setelah hampir 2 jam menunggu, hanya getuan daripada ikan kecil sahaja yang mengganggu. Namun tetap gagal dan ada kalanya langsung tiada getuan yang diterima dalam tempoh yang agak lama. Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk bertukar lokasi.

 

 

Kali ini kami memilih lokasi betul-betul di atas jambatan. Pak Hassan yang awal-awal lagi tiba di lokasi ini terus menghulurkan tali koyan yang menggunakan pelampung dan berumpankan anak seluang.

Belum sampai 5 minit di situ, kami dikejutkan dengan jeritan Pak Hassan yang menyuruh kami mengambil tangguk. Rupa-rupanya pelampung yang dihulurkan betul-betul di bawah jambatan telah dilarikan sang ikan.

 

Tanpa membuang masa Pak Hassan terus menyentap tali koyan itu. Apa lagi sang belida terus menarik tali itu ke tengah. Tidak lama selepas itu dapatlah kami saksikan ikan itu melakukan lompatan akrobatik di tengah ban.

 

Melihat kelibatnya sahaja kami sudah tahu ia belida bersaiz besar! Namun begitu, ekoran daripada lompatan itu akhirnya ikan tersebut berjaya memuntahkan kembali mata kail yang mungkin tidak tertancap kemas di mulutnya. Hampa kami dibuatnya.

 

 

Namun, menjelang tengah malam, berjaya jugak rakan saya Addin menaikkan seekor belida berskala hampir sekilogram di sini.

“Jadilah, daripada takde langsung”, kata Pak Hassan berseloroh.

 

Ekoran trip sebelum ini yang hampir menemui jalan buntu, kami masih tidak berputus asa untuk mencari lubuk berpotensi. Akhirnya setelah recce punya recce, kami jumpa satu lubuk yang agak berpotensi untuk pancingan belida. Pada petang itu, kami saja-saja mencuba nasib untuk memancing di lokasi itu.

 

 

Di sini kami masih lagi membawa bekalan anak seluang hidup, di samping cengkerik dan dedak untuk memancing lampam. Saya yang hanya cuba-cuba mengail lampan merasa juga menaikkan seekor lampam bersaiz juvenil.

 

Menjelang lewat petang kami dikejutkan lenturan kuat pada joran yang berada betul-betul di tepi empangan.

Athirah yang berada berhampiran terus menyentap dan dapat kami lihat lenturan yang agak kuat di hujung jorannya. Namun, belum sempat berbuat apa-apa ikan tersebut berjaya meloloskan diri.

 

Atas sebab itu, kami bercadang untuk repeat lagi pada malam ini. Pada malam ini kami amat berharap tuah menyebelahi kami. Kami sedikit kecewa apabila tiba di lokasi dan mendapati pintu empangan dibuka dengan luas. Disebabkan ini arus di ban ini akan menjadi lebih kuat. Jadi kami mengambil keputusan untuk memancing di kawasan yang jauh sedikit dengan empangan itu.

 

 

Ternyata nasib kami berubah pada malam ini apabila joran Pak Hassan disambar kuat penghuni ban. Tanpa membuang masa beliau terus menyentap joran yang ada di sisinya. Serentak dengan sentakan itu, dengan jelas kami nampak kelibat belida melompat dari air untuk meloloskan diri. Kali ini kami lebih bersedia. Pak Hassan berhati-hati melayani spesies yang terkenal dengan daya juang yang tinggi ini.

 

Setelah hampir 5 minit melayan, akhirnya ikan dengan skala 2 kg ini berjaya juga disauk. Terpancar kegembiraan di wajah semua. Di lubuk ini sahaja lebih banyak sambaran yang kami terima. Ternyata ikan belida ini terlalu bijak melarikan umpan terutamanya daripada sang juvenil. Menjelang jam 3 pagi akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan aktiviti memancing.

 

Published by
Amang