Trip Trobek – Aji-Aji Penawar Duka!!

Share

 

Di kala geng jigging bergasak, geng pancing dasar hanya memandang sahaja ketika itu kerana buruan ikan dasar amat sepi ketika itu. Berbagai-bagai jenis umpan di gunakan kebiasaan seperti sotong termasuk sotong kurita, selayang dan aya tidak membuka selera mana-mana pemangsa dasar. Malah beberapa ekor aya hidup yang terkena jig terus dijadikan umpan hidup mencari pemangsa dasar tidak mendapat sebarang sambutan.

 

Beberapa ekor kembung segar dihanyutkan di belakang bot turut disambar gerombolan aya ini. Tiada tenggiri seperti yang diharapkan. Getuan sekali sekala hanya diterima kaki pancing dasar mengundang beberapa ekor ikan ‘durian’ dan ‘ping pong’. Hampir sepanjang malam ramai yang menyertai kaki jigging bergasak dengan ikan aya. 100% yang menyambar jig adalah aya budak.

 

Dari mula kami tiba hingga saat menjelang fajar ikan tidak henti-henti menyambar jig. Tidak lama kemudian, aksi menyeronokkan menjadi haru biru apabila kumpulan yu tukul pula tiba. Umpan pemancing dasar yang dilabuhkan ketika itu disambar ikan yu tukul. Kumpulan aya berkurangan ketika pemancing dasar bertungkus lumus menaikkan yu tukul sebelum tali perambut dipotong apabila tiba di permukaan air.

 

Tekong kemudiannya memberi isyarat tali pancing berpindah ke lubuk untuk memancing sebelah siang pula. Hampir dua jam kemudian, isyarat kedua dinantikan oleh kaki pancing dasar pula. Lubuk sedalam 160 meter kurang sesuai untuk kaki jigging yang masih beradu keletihan.

 

Misi utama trip ini ialah mencari ikan ruby snapper, namun tekong memberi pandangan jangan terlalu berharap pada spesies ini di kawasan air cetek. Ruby snapper semakin hari semakin berkurangan di kawasan air kurang dari 200 meter. Ada, tapi tak begitu besar menurut kata tekong lagi.

 

Hulur sahaja umpan sambar berharap yang terbaik sahaja ketika itu. Sudah menjadi kebiasaan pemancing yang pertama melabuhkan umpan biasanya menerima sambaran terlebih dahulu. Labuk, pemancing tegar dari Sabah mendahului sambaran pagi tersebut. Set kekili manual yang baki beberapa meter sahaja tali dalam gelendong kekilinya cukup bertenaga mengarau pancing.

 

Seekor kerapu perang 5 kg bermata besar muncul sebelum penulis menyusuli hasil tangkapan dengan seekor ruby snapper hampir sama saiz. Melihat hasil Labuk naikkan, ia memberi semangat ahli lain untuk turut sama memancing berumpan hirisan aya pasar.

 

Sambil yang lain menunggu joran melentur, Sham diam-diam menaikkan seekor lagi ruby dengan teknik jigging. Inilah hasil bagi orang memiliki kudrat luar biasa jigging dan sentiasa bersemangat berbanding pemancing lain Kemudiannya hasil sepi banyak masa dihabiskan pada siang hari kedua dengan menunggu sambaran sambil bersembang kosong.

 

Aji-Aji Pengubat Duka

 

Bila senja menghimpit malam, bot bergerak menuju ke lokasi berikutnya, atas pilihan ramai tempat yang boleh layan jigging diusulkan kepada tekong yang menurut sahaja permintaan ramai. Kali ini sasaran dialihkan pula untuk ikan aji-aji. Bila bot memperlahankan kelajuan, kaki jigging mula mempersiapkan kelengkapan dengan macam-macam saiz dan warna jig.

 

Dapat sahaja isyarat ‘on’ dari tekong, 7 hingga 10 keping jig dihulurkan serentak. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk yang berjigging sahaja, jadi tempat cukup lapang dan selesa bagi kaki jigging. Biasalah bila dah lebih dari 5 kali turun naik jig, keletihan membahangi keringat yang pudar. Kerana tiada sambutan sama sekali.

 

Dari 10 turun ke angka 8, akhirnya yang masih bertenaga meneruskan usaha mencari sambaran setelah yang lain mengundurkan diri. Bila angka kosong buat kaki jigging, kaki pancing dasar mempersiapkan diri pula untuk mengambil alih kedudukan mengumpan ikan pada kedalaman 120 meter.

 

Bila dah penat hilang, usaha jigging tetap diteruskan dengan harapan ikan aji-aji akan bertandang ke kawasan limpahan lampu dari enjin generator bot kami. Usaha boleh dibanggakan, tapi hasil mengecewakan. Tumpuan kemudian beralih kepada joran Hidayyad yang mengena ikan.

 

Kekili Command ATS digunakan sesekali terhenti sesekali apabila mangsa di bawah begitu kuat melawan. Nampaknya aji-aji tidak berminat dengan kepingan yang dihulurkan, tetapi memilih umpan sotong pasar malam itu. Bila muncul aji-aji di hujung perambut, kaki jigging tiba-tiba menjadi semangat. Adrenalin darah mengalir memberi kembali semangat yang pudar sebelumnya.

 

Berduyun kepingan jig kembali terjun ke dasar. Naik-turun berkali-kali kepingan jig, keputusan tetap sifar. Begitu juga dengan yang masih menunggu umpan pasar yang dihulurkan. Mungkin kerana sebelah malam arus begitu lemah menjadikan ikan tidak tergoda dengan umpan yang dihulurkan. Bila tiada, usul dikeluarkan untuk kembali ke lokasi malam sebelumnya.

 

Published by
Amang