Pancingan kelong memang menjadi antara tarikan utama kaki pancing untuk keluar memancing terutama bagi yang meminati pancingan laut tetapi alah untuk menaiki bot dan dilambung ombak besar.
Namun, bukan semua kelong mampu memberikan hasil yang terbaik buat kaki pancing. Ada yang memberikan hasil ala kadar sahaja dan ada juga memberikan perkhidmatan yang kurang memuaskan. Tetapi tidak di Kelong Maswira, Serkat.
Pengalaman memancing dan perkhidmatan terbaik di sini pasti akan membuat kaki pancing datang kembali untuk memancing di sini. Siapa sangka di sebalik namanya, Kelong Maswira telah lebih 20 tahun beroperasi di perairan Serkat, Pontian.
Bermula sebagai kelong kecil-kecilan hinggalah menjadi sebuah kelong yang selesa memuatkan 20 orang pemancing pada satu-satu masa seperti hari ini.
Dikelilingi karang hidup dan terletak berhampiran dengan laluan kapal menjadikan kelong ini sebagai lokasi utama permainan ikan dan sering didiami spesies gred A. Ini terbukti apabila pelbagai jenis ikan seperti kerapu, merah, jenahak, tebal pipi, kurau, siakap dan pari sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Malah, saiz yang dinaikkan bukan kecil-kecil anak, ada pemancing yang pernah menaikkan ikan pari seberat 20 kg, siakap 13kg dan kerapu 10kg ketika memancing di sini. Lokasi ini juga menjadi tempat permainan ikan-ikan pelagik seperti selar, kembung dan tamban yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.
Kemudahan Terbaik
Untuk ke kelong ini, ia memakan masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki bot dari Pangkalan Penghulu Serkat. Kemudahan yang ada di sini memang serba mencukupi. Dilengkapi 4 buah bilik rehat dengan tandas yang selesa serta dapur untuk memasak menjadikan kelong ini bukan sahaja sesuai untuk kaki pancing, malah sesuai untuk seisi keluarga.
Tidak cukup dengan itu, di sekeliling kelong turut dilengkapi dengan rod holder bagi memudahkan kaki pancing meletakkan joran mereka sambil menunggu ikan memakan umpan. Kerusi juga turut disediakan di sekitar kawasan memancing beserta dengan tangguk dan gancu untuk membawa naik ikan besar ke atas kelong.
Menurut pengusaha kelong yang lebih mesra dipanggil En. Afis, pada masa hadapan beliau akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi membesar dan menaiktarafkan kelong ini untuk menjadi homestay memancing tengah laut.
Beliau yakin dengan usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai kaki pancing dari serata Malaysia dan sekaligus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan memancing negeri Johor.
Majalah Umpan sempat meluangkan masa merasai pengalaman memancing di Kelong Maswira ini. Meskipun ditemani cuaca penghujung tahun yang tidak menentu disertai dengan angin kuat, kami tetap komited untuk mencuba nasib.
Terbukti hasil di sini memang terbaik. Meskipun berdepan cuaca tidak menentu kami masih mampu menaikkan seekor pari berskala 4kg selain beberapa ekor kerapu, tebal pipi, sembilang dan pelbagai spesies lain.
Untuk memancing di sini, adalah amat digalakkan untuk membawa rod panjang 13 – 15 kaki untuk memburu pari dan tebal pipi. Jangan risau untuk membaling rod panjang kerana kelong ini mempunyai kawasan yang luas untuk membuat lontaran jauh.
Bagaimana ke sini?
Sekiranya anda dari arah Utara, keluar dari plaza tol Simpang Renggam dan menuju ke Pontian. Setibanya di Pontian, anda boleh berpandukan kepada papan tanda menuju ke Taman Negara Tanjung Piai.
Sebelum tiba di Tanjung Piai, anda akan dapat melihat papan tanda Kelong Maswira kerana kedudukan Kelong Maswira hanya kira-kira 1.5 kilometer sebelum anda tiba di Tanjung Piai.
Makluman terkini:
Kelong Maswira kini hanya tinggal kenangan. Tragedi kebakaran yang berlaku pada 23 Februari 2020 yang lalu telah memusnahkan port mancing kesayangan ramai ini.