Trip Tilapia Alucast

Share

 

Nama kelab pemancing, Alucast (Aluminium Boat Caster) cukup sinonim dengan aktiviti memancing dengan menggunakan bot laju terutamanya bot aluminium.

Dan lebih banyak mengamalkan teknik pancingan mengilat atau casting, namun tidak bermakna kelab pemancing terbesar tanah air ini memandang sebelah mata terhadap cabang teknik memancing selain casting.

Malah ramai ahli juga berstatus otai pancingan laut dalam, sungai pergunungan serta kolam.

 

Kenyataan tersebut ternyata berasas apabila hampir 20 orang ahli kelab termasuklah presiden Alucast sendiri, Azuan Man turut sama menyertai trip memancing tilapia merah di Kolam Pancing Ikan J’man yang terletak di Hulu Langat, Kuala Lumpur.

 

 

Kebetulan pada tarikh tersebut penulis agak berkelapangan maka penulis turut sama menyertainya.

Secara peribadi, penulis hanya beberapa kali sahaja mendaratkan tilapia merah dan itu pun diperoleh secara tidak sengaja ketika memancing spesies lain.

 

Trip atau komplot memancing tilapia merah ini tercetus berikutan seorang ahli Alucast, Khirrul Anuar yang sering up hasil pancingan di kolam tersebut di dalam grup Whatsapp kelab.

Berikutan itu, Khirrul Anuar dipertanggungjawab menyediakan umpan dan teknik yang betul bagi `memunggah’ isi kolam yang didominasi oleh ikan tilapia merah.

 

 

Menggunakan peralatan memancing ultra ringan dan berumpankan campuran dedak, ahli-ahli Alucast mendominasi pengunjung di Kolam Pancing Ikan J’man.

Tidak perlu menunggu lama, Khirrul Anuar membuktikan kejaguhannya apabila mendaratkan seekor tilapia merah bersaiz kasar.

Spesimen seberat satu kilogram itu ternyata menyuntik semangat ahli yang lain.

Tidak lama kemudian beberapa orang ahli turut sama mendaratkan spesies yang sama cuma berbeza saiz sahaja.

 

 

Walaupun cuma tilapia, ikan yang bergred rendah tidak sebagaimana sebarau atau kelah yang menjadi spesies sasaran dalam kalendar memancing kelab Alucast, namun untuk memujuk tilapia tidaklah semudah yang dijangka.

Apatah lagi bila kelibat ikan jelas kelihatan berlegar di dalam kolam namun tidak menjamah umpan.

Tambah perit apabila melihat pemancing lain (pengunjung tetap) bersebelahan bergasak sedangkan kita mula panjang leher seperti burung bangau.

 

 

Tamat tempoh memancing selama empat jam, hanya beberapa ekor sahaja tilapia merah yang berjaya dipunggah.

Untuk menyempurnakan sesi bakar ikan sebagaimana yang dirancang, terpaksalah mendapatkan ikan dengan cara mudah.

Tak perlu umpan power, tak perlu mata kail halus, tajam dan kuat, tak perlu guna tangsi 2 lbs hingga 6 lbs dan tak perlu berpanas menuggu untuk menyentap joran.

Caranya hanya dengan membeli sahaja ikan secara terus dengan pemilik kolam di kolam ternaknya.

 

Published by
Amang