Sesekali memancing dengan menaiki sampan (menyampan) pun seronok juga. Begitulah yang dilangsungkan oleh pengasas group FB Geng Menebing Klang (GMK), Harul GMK. Bersama 4 ahli kelab yang lain, mereka menjayakan trip santai di perairan Pulau Ketam.
Bagi menjayakan misi santai ini mereka telah menggunakan khidmat tekong tersohor di perairan Pelabuhan Kelang iaitu Tekong Ahyi Hairi. Trip ini berlangsung seawal jam 7.00 pagi bergerak dari Jeti menuju kawasan sangkar ikan Pulau Ketam dan berakhir pada jam 6.00 petang.
Memandangkan ia hanya trip santai atau suka-suka saja, mereka tidak mensasarkan apa-apa ikan. Janji dapat melabuhkan umpan pun sudah seronok. Oleh kerana itulah apabila berjaya mendaratkan seekor ikan merah sepang pada spot pertama dan hanya menanti hampir satu jam, ia merupakan satu bonus yang besar bagi mereka.
Namun cuaca kurang menyebelahi mereka pada pagi hari. Tidak lama setelah berjaya memujuk ikan merah, ribut pula datang membadai. Begitu pun tekong tidak panik dan segera beralih arah atau berlindung di sebalik pulau berdekatan.
Apabila ribut reda dan cuaca kembali elok, Tekong Ahyi Hairi membawa kami ke spot yang dirasakan akan memberikan hasil. Terbukti spot-spot yang dibawa berjaya menaikkan sekurang-kurangnya seekor ikan. Keseronokan membuatkan kami tidak terasa masa berlalu. Dan lebih menggembirakan hasil yang kami perolehi ternyata agak lumayan juga.
(kredit: Harul GMK)