Trip Throwback – Terjah Lombong Lepas Gian Mancing

Share

 

Walaupun banyak urusan lain pada hari itu, namun semuanya saya ketepikan dulu demi untuk melampiaskan nafsu dan menghanyirkan rod yang sudah agak lama bersawang di rumah. Biarpun tidak membawa peralatan yang secukupnya, namun kami tetap komited untuk melayan komplot santai ini.

 

Difahamkan di kawasan Seri Iskandar ini memang kaya dengan lombong-lombong tinggal yang dihuni pelbagai spesies ikan. Biarpun begitu, penulis memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk misi ini berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan. Cukuplah sekadar merasai ‘karen’ ikan-ikan kecil yang mungkin sudi menjamah umpan nanti.

 

 

Dengan berumpankan campuran dedak pandan dan dedak ayam kami terus melabuhkan umpan. Tidak perlu menunggu lama untuk memujuk ikan di lombong ini untuk buka mulut. Adik saya menjadi yang pertama mendaratkan spesies pendatang yang dikatakan semakin memonopoli lombong ini.

 

Tidak lama selepas itu bersilih ganti kami melayan pelbagai jenis ikan yang saiznya tidaklah begitu membanggakan. Biarpun saiz hanya sebesar tapak tangan namun bila melayani tarikannya dengan set ringan dapat memberi satu rasa yang hanya difahami oleh kaki pancing sahaja.

 

 

Sebelum senja, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan di sini memandangkan penulis perlu berkemas untuk pulang semula ke Melaka keesokan harinya.

 

Biarpun tidak mendapat hasil dengan saiz membanggakan, namun penulis tetap berpuas hati kerana sempat juga melepaskan gian di kampung yang hanya dapat penulis kunjungi dua tahun sekali, itu pun pada musim perayaan!

 

Published by
Amang