Tanjung Buai yang berada di dalam daerah Kota Tinggi, Johor merupakan kawasan muara yang cukup strategik untuk dilawati kaki pancing seluruh Malaysia Muara Tanjung Buai boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru, yang pastinya menggamit pemancing untuk datang bertandang.
Muaranya yang bersambung dengan Teluk Sengat dan Kong Kong menjadi habitat pelbagai spesies hidupan akuatik, khususnya ikan muara. Bagi pemancing, spesies ikan gred A seperti siakap, tanda, siakap merah, merah, kerapu dan tebal pipi merupakan buruan utama, dek kerana harganya yang tinggi dan rasanya yang enak.
Selain popular diterjah melalui kaedah pancingan bot, Tanjung Buai juga popular dengan gugusan rumah rakit milik pengusaha tempatan yang menawarkan harga yang berpatutan untuk sesi pancingan selama satu hari atau lebih.
Salah seorang pengusaha rakit yang popular di Tanjung Buai adalah saudara Rosul. Beliau memiliki beberapa buah rumah rakit di kawasan berpotensi tinggi sebagai habitat ikan.
Setiap hujung minggu rakitnya pasti laris ditempah. Saya bersama Team Redah tidak mahu ketinggalan untuk mencubanya. Trip disertai oleh Amir, Paklang Rahimi, Pakteh Miren, dan saya, berikutan kekangan masa ahli-ahli yang lain.
Kami tiba pada saat air baru bergerak pasang, yang mana menjadi masa terbaik untuk melabuhkan umpan kerana kebiasaannya ikan siakap, jenahak dan tebal pipi sangat aktif pada ketika itu.
Udang hidup, ruat, udang pasar dan ikan tamban menjadi umpan taruhan kami. Udang hidup dan ruat merupakan diet utama kebanyakan spesies gred A. Ikan tamban dan selayang pula sangat sesuai digunakan sekiranya anda menyasarkan spesies kerapu dan pari.
Lebih elok sekiranya pemancing menggunakan umpan seekor ikan kerana lebih besar umpan, lebih besarlah saiz pemangsanya. Udang pasar pula lebih sesuai untuk mencari duri dan gelama sementara menantikan ketibaan spesies gred A yang dicari.
Tidak perlu menunggu lama, joran saya yang berumpankan ikan tamban direntap kasar. Namun kelewatan saya menyentap menyebabkan ikan terlucut. Kejadian yang sama juga berlaku kepada ahli- ahli yang lain. Sehingga ke petang, hanya beberapa ekor ikan gelama yang kami perolehi.
Senja, merupakan waktu efektif untuk mengintai spesies siakap. Umpan udang hidup dihanyutkan menggunakan kaedah pelampung. Selang berapa lama, pelampung yang digunakan Paklang Rahimi tenggelam timbul dilarikan mangsa.
Sentapan yang padu mengukuhkan cangkukan mata pancing, namun keadaan yang kosong ketika proses karauan menimbulkan tanda tanya. Rupanya seekor ikan pecah periuk atau siakap sampah menjadi habuan Paklang Rahimi. Melihat hasil yang memberangsangkan, Amir dan Pakteh Miren menukar kepada teknik yang sama.
Hasilnya, Pakteh Miren pula berjaya menaikkan spesies yang sama namun saiznya lebih besar. Alhamdulillah, rezeki. Ketika air mula bergerak surut, joran Paklang Rahimi pula dihenjut ganas. Sistem tegangan kekili yang diletak ke tahap maksimum tidak mampu menahan asakan, dan akhirnya perambut 80lb yang digunakan putus begitu sahaja.
Melihat kepada corak pemakanan, kami jangkakan suspek seekor kertang, yang saiznya kami agak sebesar pintu kereta kancil. Biasalah, bila ikan terlepas pastinya yang bersaiz besar. Selepas itu suasana kembali sunyi dari ragutan kasar, hanya gelama dan duri yang sudi muncul.
Sesekali ada ahli yang menaikkan belut dan sirat dan pemancing itu mendapat malang berganda apabila terpaksa menahan telinga pula daripada kutukan rakan-rakan.
Subuh keesokannya, jeritan kami memecah keheningan pagi apabila Amir pula menaikkan seekor tebal pipi. Hajat isterinya untuk merasa keenakan ikan tebal pipi sebelum trip bermula termakbul akhirnya. Saya hanya mampu memandang dengan iri hati, kerana hanya saya seorang yang masih belum menaikkan sebarang spesies gred A.
Kalaulah saya cepat sedikit, sudah pasti ikan yang terlucut sebelumnya dapat dinaikkan. Kalaulah… dan kalaulah itu berterusan sehingga matahari memunculkan diri.
Kami bersepakat menamatkan trip pada jam 9 pagi. Beberapa minit sebelum bot tiba, joran Lemax Slimmax milik saya tiba-tiba melentur. Peluang yang muncul diambil sebaik mungkin. Selepas beberapa minit bermain tarik tali dengan debaran yang kencang di dada, akhirnya seekor senangin anggaran 1kg dapat juga saya naikkan.
Kini lengkaplah koleksi 4 ekor ikan gred A untuk 4 orang pemancing. Kami pulang dengan senyuman. Sudah ada lauk untuk dibawa pulang dan sudah semestinya, tidak akan ada halangan dari isteri sekiranya ingin turun memancing lagi.
INFO RAKIT ROSUL
Sebarang tempahan atau pertanyaan, bolehlah hubungi saudara Rosul di talian 019-7822775.