Trip Throwback – Pesta Jigging Perairan Labuan

Share

 

Penulis dijemput menyertai trip yang dikelolakan oleh Johari Jamil selaku head tester daripada Team Expert Graphite yang terdiri daripada Faizal Nizam, Kaizer, Firdaus, Hidayat, Ajid Wagas dan Diana dengan misi menguji produk terbaru iaitu rod dan kekili keluaran Expert Graphite.

 

Usai mendarat setelah dua jam menaiki kapal terbang dari Semenanjung, kami dijemput oleh Tekong Haji Nasir dan dibawa menginap di apartmen yang diuruskan olehnya tidak jauh dari Jeti Labuan.

 

Apartment milik Haji Nasir ini memang disediakan khas untuk pemancing yang menggunakan khidmat beliau. Masa yang ada, kami menyiapkan semua peralatan memancing sebelum berjuang keesokan paginya.

 

 

Spot Karang Luas

 

Seawal jam 4 pagi kami bersiap untuk turun ke jeti memandangkan pertukaran masa di Labuan lebih awal berbanding Semenanjung. Kami mula bergerak ke spot pertama iaitu kawasan karang luas.

 

Jarak pancingan sejauh 35 batu nautika mengambil masa satu jam bersandarkan enjin bot kembar 115 kuasa kuda. Menurut Haji Nasir, target utama di sini spesies kerapu sunuh dan kerapu bara. Jig yang disarankan sekitar 40 g – 80 g.

 

Tiba di spot karang luas, kami mulai mengunjun jig. Tidak menunggu lama Hidayat mendapat sambaran pertama iaitu kerapu bara berskala 1kg dengan padanan rod Expert Graphite Independence kekuatan pe 2.5 dengan teknik slow jigging.

 

 

Tidak lama, Kaizer dan Firdaus pula mendapat sambaran di spot yang sama. Ternyata  kawasan batu karang ini penuh dengan spesies kerapu. Teknik slow jigging dengan menggunakan jig 40g hingga 60g amat efektif di sini.

 

Sedang saya tekun mengunjun jig besi di bahagian hadapan bot, kedengaran suara riuh rendah di belakang bot. Rupanya Johari Jamil mendapat sambaran padu yang datang dari dasar. Kelihatan di permukaan air seekor ikan kerapu anggaran 5 kg yang agak jarang ditemui.

 

 

Menurut Tekong Haji Nasir, spesies ini dikenali sebagai kerapu pulut oleh penduduk tempatan dan ikan ini tergolong antara ikan gred A selain harganya agak mahal di pasaran. Tidak beberapa lama selepas itu, Firdaus pula menerima strike daripada spesies sama dengan anggaran berat 2 kg.

 

Setelah seharian mengunjun jig, hasil tangkapan kami amat memuaskan dengan tangkapan kerapu bara dan kerapu tikus memonopoli hasil tangkapan. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, lantas tekong bersuara menyarankan kami untuk pulang ke jeti dan meneruskan aktiviti memancing pada keesokan harinya.

 

 

Spot Kapal Karam

 

Keesokannya, tekong membawa kami ke spot berdekatan pelabuhan iaitu kawasan kapal karam. Di sini target utama kami ialah kerapu ‘tong gas’. Tekong menyarankan kami melepaskan jig besi setelah hon bot dibunyikan untuk mengelakkan jig tersangkut di atas kapal karam ini.

 

Setelah mendapat kedudukan yang sesuai, Faizal Nizam menjadi orang pertama mendapat tarikan padu daripada dasar. Selang beberapa minit, seekor kerapu anggaran 2 kg tewas menyerah diri. Sang kerapu nampaknya tidak berdaya melawan padanan rod Expert Graphite Mirage PE 0.8 – 1.5.

 

Setelah kami jauh berhanyut dan tiada sambaran daripada penghuni dasar, tekong menyarankan kami berpatah balik kepada kedudukan asal tadi. Selang beberapa minit jig kami mencecah dasar, tiba-tiba seorang demi seorang mendapat tarikan padu.

 

 

Tidak semena-mena, bagai pesta suasana kami di atas bot apabila triple strike berlaku. Firdaus mendahului dengan ebek kapak berskala 9 kg hasil padanan rod pink Expert Graphite Genius PE1-3 diikuti oleh Hidayat dan Johari Jamil.

 

Masing-masing mendapat strike daripada ebek kapak yang cukup terkenal dengan larian spool outnya. Setelah berhempas pulas bertarung, kelihatan wajah kepuasan terpancar pada setiap team Expert Graphite ini. Hasilnya, sebanyak 8 ekor ebek kapak tewas pada hari itu tanpa sebarang masalah. Terbuktilah jenama mampu milik ini tidak kurang hebatnya dan ternyata lasak sepanjang trip di Labuan ini.

 

Jam menunjukkan tepat pukul 1 petang, menandakan tamatnya aktiviti jigging setengah hari kami di perairan Labuan. Meskipun hanya sehari setengah di perairan Labuan, namun pengalaman bertarung dengan spesies ikan di sini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

 

Published by
Amang