Setelah lebih kurang sejam berjalan meredah hutan, Fuad, salah seorang daripada ahli kumpulan kami mengalami kekejangan otot. Perjalanan terpaksa dihentikan seketika bagi memberi peluang Fuad merehatkan badan dan mengurangkan kesakitan.

 

 

Tetapi, oleh kerana semangat yang kuat untuk memburu raja sungai, kesakitan yang dialami tidak begitu dihiraukan sambil dia tetap berazam untuk sampai ke destinasi yang dituju.

 

Namun, kami tidaklah memberi tekanan kepadanya, sambil perjalanan berhenti rehat beberapa kali. Sekitar jam 6 petang, kami akhirnya berjaya sampai ke Lubuk Panjang (Lubuk Berdengung). Kami mengambil keputusan untuk berkhemah memandangkan Fuad sudah tidak berdaya lagi.

 

Setelah khemah siap dipasang dan makan malam, Karim dan Pak Mat membina para untuk menyalai ikan yang ditangkap nanti, manakala Pak Chom, Zack, Aiman dan Milo menuju ke bawah untuk mencuba nasib sebelum malam berlabuh.

 

Pada pengamatan saya yang sudah beberapa kali trekking bersama Karim, lazimnya jika dia membuat awal para untuk menyalai ikan, akan ada rezeki kelah buat kami.

 

Bagi penjejak kelah, suasana bising perkara yang perlu dielakkan. Bahkan cahaya lampu suluh juga mesti dielakkan dari disuluh di permukaan air terutama di kepala dan ekor lubuk, kerana di sinilah kelah dan kejor bersaiz besar akan mula berkeliaran mencari makanan.

Ads

 

Lewat malam, Mus dan Karim beralih mencuba di lubuk dalam di bahagian atas. Sekitar jam 12.30 malam satu sentapan kuat berlaku yang menyebabkan joran Mus hampir terjun ke lubuk. Mujur batang joran sudah berikat.

 

Pertarungan hampir 10 minit tetapi kelibat mangsa belum kelihatan, Karim sudah bersedia di tepi tebing untuk menarik mangsa ke darat, malangnya dengan kudrat yang masih ada mangsa membuat henjutan terakhir memutuskan tali utama (tali sulam 20lb). Hampa sungguh wajah Mus ketika itu.

 

Mangsa dikhuatiri meloloskan diri mungkin terkejut dek cahaya lampu yang disuluh ke dalam air sewaktu pertarungan tadi malah struktur batu-batu besar yang terdapat di dasar membantu mangsa memutuskan tali pancing.

 

Melihat aksi Mus yang digasak begitu hebat, ada di antara rakan-rakan yang tidur-tidur ayam, terus sahaja cerah biji mata. Iyelah memang satu kerugian, trekking jauh-jauh tetapi tidur di dalam khemah. Apa salahnya berjaga sedikit. Bukan selalu dapat sampai ke sini.

Ads

 

Malam itu, rata-rata di antara kami galak menerima sambaran. Paling memeranjatkan kami bila joran milik Karim patah dikerjakan mangsa selepas diasak kuat sebelum mangsa berjaya meloloskan diri. Kecewa lagi bila gagal menaikkan kelah bersaiz besar.

 

Pada malam itu, seekor kelah dan dua ekor kejor yang dianggarkan sekitar 1 kg setiap seekor berjaya juga dinaikkan di samping baung akar yang tak terkira banyaknya memenuhi jut.

 

Hari kedua, kami mengambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan. Pak Chom, Fuad, Zack, Milo, Nasir dan Aiman menghala ke bawah lubuk khemah. Manakala saya, Mus, Karim dan Pak Mat naik ke atas hingga sampai ke Ulu Pering.

 

Saya yang membaling umpan di hujung ekor lubuk akhirnya mendapat sentapan kuat. Dek kerana air yang jernih memang jelas kelah bara memecut untuk melepaskan diri.

Ads

 

Dengan berhati-hati saya melayan mangsa agar tidak terlepas dan akhirnya puas, bila kelah dalam skala 1.5kg berjaya saya pangku.

 

Akhirnya dapat juga lesen, setelah tiga trip sebelum ini gagal membuahkan hasil. Sejam kemudian, giliran Mus pula menerima sentapan kuat, larian padu mangsa di kepala lubuk membuatkan Mus tak senang duduk kerana terdapat batuan besar yang mungkin dapat memutuskan perambut 20lb yang dipakai.

 

Benar kata pepatah, kalau dah rezeki memang tak ke mana. Kelah hampir sama saiz berjaya didaratkan. Sekitar pukul 4.00 petang kami menamatkan pancingan dan pulang semula ke khemah.

 

Dua ekor kelah bara dan 5 ekor kejor berjaya didaratkan (yang kecil dilepaskan semula ke habitat asal). Perkhabaran daripada rakan di bawah pula, gagal menaikkan kelah bara. Hanya kejor yang berjaya dinaikkan.

 

Trip Throwback – Menjejak Kelah Hulu Terengganu!!

 

Hari terakhir di lubuk ini, kami memutuskan untuk membuat sebuah rakit buluh untuk membawa barang-barang. Lega rasanya bila bahu tiada lagi beban memikul beg. Kami tidak begitu terlalu memancing pada hari ini dan hanya casting pada lubuk-lubuk tertentu di sepanjang kembali turun ke bahagian hilir.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI