Penulis sendiri secara peribadi, sudah lama mendengar cerita perihal Empangan Klang Gate yang pernah dilabel sebagai ‘Mini Tasik Kenyir’ ini pernah memasang hajat untuk memancing di Klang Gate tetapi tidak pula berusaha untuk merealisasikannya.

 

Ini kerana dikhabarkan tiada jalan masuk ke Klang Gate selain trekking melalui denai dan bukit yang memakan masa satu hingga dua jam. Sama melalui Kampung Pusu atau Kemensah, kedua-duanya wajib trekking untuk ke pintu masuk Klang Gate.

 

Trekking bukanlah menjadi penghalang kepada penulis, cuma khuatir buku lali penulis yang pernah kondem ketika aktif bersukan dulu tidak berupaya untuk menampung badan yang sedia berat.

 

Justeru, bila ada rakan menyatakan Klang Gate sudah boleh masuk dan tak perlu trekking, penulis dengan penuh girang untuk menyertai komplot Team Sentap berkhemah dan memancing di Klang Gate selama 3 hari 2 malam.

 

Sebelum pergi, penulis buat homework sikit. Laman web Google dan juga bertanyakan rakan-rakan pasal pancingan di Klang Gate.

 

Rumusan yang diperolehi, memang tiada jalan masuk ke Klang Gate melainkan harus trekking juga. Kemudian, sebelum hari kejadian penulis bertanya lagi untuk pengesahan dan jawapannya, hanya perlu trekking 10 minit saja.

 

Ads

Terbuktilah tiada masuk selain trekking dan jika hanya 10 minit itu sudah kira satu bonus!. 10 minit?!! Ternyata penulis dah terkena. Dari tempat parkir kenderaan di kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan sehingga ke tebing sungai Klang Gate memakan masa melebihi setengah jam!

 

Tambah memeritkan, akibat hujan lebat sebelumnya denai sempit yang menjadi laluan motor menjadi dalam dan licin. Silap percaturan boleh tergelincir dan bergolek bersama barang-barang sepanjang lereng bukit. Dan penulis tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan bila pulang nanti memandangkan sepanjang jalan pergi hanya perlu menuruni lereng bukit yang curam dan licin.

 

Di tebing sungai, Brader Arip, guide pancing kami sedia menanti kami berlapan. Termenung dia sekejap melihat jumlah kelengkapan kami untuk diangkut dengan dua bot fibernya yang salah satunya tidak berenjin.

 

Nasib kami agak baik juga bila seorang rakan Brader Arip yang juga guide pancing sudi menyertai kami. Dengan 3 bot fiber dan 2 buah enjin 4 lejang 3-5 kuasa kuda, perlahan-lahan kami bergerak tapak perkhemahan.

 

Ads

Ekoran musim hujan, paras air di Klang Gate naik agak tinggi menyebabkan kawasan berkhemah agak terhad. Mujur juga Brader Arip awal-awal lagi sudah booking tapak perkhemahan dengan mendirikan khemah di kawasan yang terbaik.

 

Hasil casting dan trolling di petang hari pertama ternyata agak memberangsangkan. Empat ekor sebarau berjaya didaratkan. Paling besar berskala 1.8 kilogram trolling dengan gewang Rapala Shad Rap Deep Fire Tiger.

 

Selain dijadikan hidangan malam, seekor sebarau bersaiz kecil dijadikan umpan untuk memburu toman yang menurut Brader Arip memang sukar untuk membaham gewang. Pada sebelah malamnya pula, baung dan temperas agak rajin memagut umpan cacing.

 

Hujan pada malam pertama dan cuaca yang agak mendung pada pagi hari kedua, umumnya petanda yang bagus untuk keluar mengilat sebarau dan toman. Ia terbukti benar apabila kerap sesudu dan gewang selaman dalam kami di ligan oleh sebarau berstatus juvana yang kemudiannya dilepaskan kembali ke habitatnya Aksi toman pula banyak mengajar kami erti kesabaran. Pelbagai gewang dilemparkan langsung tak dipedulikan.

 

Ads

Malah seperti mengejek kami agar terus berdayung mengejarnya. Menjelang awal tengah hari, tiupan angin yang agak kuat menyukarkan kami untuk terus mengilat dan kembali ke tapak perkhemahan bagi memburu sang toman dengan cara pancingan bottom pula.

 

Awal petang ketika ramai ahli komplot ke hulu sungai untuk mandi-manda dan tiada aktiviti sampan-sampan nelayan sungai lalu lalang di kawasan perkhemahan, barulah sang toman berani membaham umpan sebarau yang dilontarkan. Dua kali ia membaham dan memecut pergi membawa umpan namun kedua-duanya gagal dijinakkan. Tak lekat dan rabut.

 

Tapi dari gaya sentapan dan pecutan menggambarkan ia bukanlah berstatus juvana. Sementara pada petang harinya, hasil casting dan trolling membukti lagi sebarau masih menghuni lubuk Klang Gate dengan sihat. 3 ekor sebarau bersaiz hidangan dibawa pulang untuk dimasak stim pula setelah malam sebelumnya dibakar dan digoreng.

 

Angin yang bertiup kencang pada hari ketiga menyulitkan kami untuk mengilat manakala trolling pula kurang menjadi. Maka terpaksalah menghabiskan masa dengan pancingan bottom sebelum bergerak pulang.

 

Sekali lagi toman memperlihatkan aksinya ketika kami sedang menghadap juadah makan tengah hari. Dan sekali lagi juga toman yang menang. Kemenangan yang membuatkan kami berazam untuk kembali.

 

Hanya laluan denai menegak sejauh mata memandang saja sedikit sebanyak merubah azam untuk kembali ke Klang Gate. Terutamanya pada penulis. Nak pecah dada dibuatnya mendaki bukit menuju jalan keluar. Setelah lebih satu jam dengan beberapa kali berhenti, hanya setelah melihat kawasan perumahan barulah dapat bernafas lega.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI