Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Ads
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis. Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit saja sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Ads
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukan ular dan boleh dimakan.
Ads
Nenek selalu memberikan nasihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain. Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setelah berehat agak lama, Team Lan Lubuk (TLL)yang merupakan antara kelab pemancing yang popular dengan konsep pancingan kolam air tawar, kembali
melangsungkan aktiviti yang sememangnya senonim dengan kelab mereka, iaitu komplot memancing.
Bertempat di Kolam Gadong Jaya, sebuah kolam pancing air tawar yang terletak di Seremban, TLL dengan kerjasama jitu pengurusan kolam, satu aktiviti memancing atau komplot penutup tahun 2018 telah diadakan pada Ahad lalu.
Menurut boss TLL iaitu Lan Lubuk sendiri, program ini bertujuan bagi ketengahkan generasi muda atau pemancing baru menimba ilmu dari sahabat lama sambil bersilaturahim.
Program komplot ini bermula jam 10.00 pagi dengan bacaan doa. Seterusnya diikuti program membuat demontrasi bancuhan umpan, penyediaan perambut dan teknik
memancing terutamanya cara-cara pengendalian ikan untuk didaratkan. Program ini diketuai oleh Lan Lubuk selaku owner Kedai Umpan Pacak dengan bantuan dari admin kelab yang berpengalaman.
Jam 12.00 tengah hari barulah bermula acara memancing yang sangat dinantikan oleh semua ahli komplot.
Acara memancing yang lebih mirip mini pertandingan ini turut disediakan hadiah hamper,barangan pancing serta sedikit wang tunai bagi kategori ikan terberat.
(Sedutan video aksi komplot)
Acara memancing berehat seketika sejurus masuk waktu Zuhur dan memberi ruang kepada semua pemancing bersolat dan menikmati juadah kambing bakar yang ditaja oleh saudara Man Sate.
Pukul 2.00 petang kami meneruskan sambungan acara memancing. Suatu yang amat memeranjatkan, puluhan malah mungkin lebih dari seratus ekor berjaya didaratkan.
Rata-rata pemancing melahirkan rasa puas hati kerana hampir setiap masa strike. Jelas keriangan di wajah para ahli dalam suasana harmoni.
Kami menamatkan komplot pada jam 5.00 petang dengan tangkapan saudara Lebai Patin seberat 14.15 kg muncul selaku juara.
Seterusnya penyampaian hadiah di adakan sebelum kami berangkat pulang dengan kepuasan di hati.
Walaupun perairan yang bakal menjadi padang pancing rombongan media tidak sejauh dan sedalam lokasi pertandingan, impian untuk bertarung dengan ikan-ikan monster seperti itu sukar untuk ditegah dari merasuk fikiran.
Sebelum memulakan trip, John Kiew dan Brian Ang dari Miri Anglers Club (MAC) yang dijemput menyertai trip membawa kami ke kedai pancing di Bandar Miri untuk mendapatkan kelengkapan memancing yang bersesuaian. Terutamanya saiz batu ladung.
Tepat jam 10.00 pagi, bot khas pancingan laut dalam yang amat selesa, lengkap dengan kabin berhawa dingin bertolak dari Miri Wharf.
Lubuk yang dituju adalah gugusan karang Batu Mat yang memakan masa 3-4 jam perjalanan.
Di semenanjung, jika berhajat dan memancing di kawasan pelantar minyak memakan masa berbelas hingga puluhan jam perjalanan, sebaliknya di perairan Miri, tak sampai satu jam perjalanan dah boleh jumpa pelantar minyak.
Lebih kurang macam nak ke kelong saja jaraknya di semenanjung.
Menghampiri lubuk pertama di gugusan karang Batu Mat, boleh dikatakan merata tempat aksi frenzy ikan tongkol atau aya memburu makanan. Geram memang tak terkata.
Dan hajat untuk casting tongkol-tongkol tersebut terlaksana juga apabila tekong berpengalaman, Lex Bin Mulu melabuhkan sauh berdekatan dengan gerombolan tongkol tersebut.
Hasilnya, dapatlah lenguh tangan. Ini kerana, baik spoon mahupun popper langsung tak diendahkan oleh tongkol-tongkol tersebut yang akhirnya lenyap begitu saja.
Biarpun tongkol bukanlah ikan sasaran, malah bakal digunakan sebagai umpan, setidak-tidaknya dapat juga merasa tarikan dan larian padunya.
Dengan kedalaman hampir 70meter dan dasar yang berarus deras, batu ladung paling berat yang dimiliki seberat 300gram ternyata bukan lawannya.
“Ada lagi berat ke?” itulah pertanyaan Presiden MAC apabila melihat penulis menggunakan batu ladung tersebut.
Penulis hanya mampu tersengih dan terpaksalah gabungkannya dengan sebiji lagi ladung 200gram.
Lubuk Ibu Kerisi
Tindakan penulis memilih port di bahagian depan bot, kononnya senang untuk casting dan jigging sambil menanti umpan bottom mengena, menjurus kepada `terkena’ kerana aksi di bahagian tengah dan belakang lebih produktif.
Tambah pula pada catatan sonar, lubuk kawah dan gerombolan ikan banyak dikesan di bahagian belakang bot. Ia bermula dengan aksi senyap Kadir Bachok, rakan media menaikkan aruan tasik seberat 5kilogram.
Dan aksi mula menjadi rancak dan panas apabila pemancing jemputan yang juga anggota keselamatan tempatan, Matali Haji Yan dan rakan setugas, Izahar melakukan double hook up.
Tambah panas, masing-masing berjaya menghasilkan full house. Perambut appollo 3 mata milik Matali mendaratkan 3 ekor ibu kerisi, begitu juga rakan setugas yang menggunakan perambut appolo 2 mata.
Berpindah ke lubuk kedua di Batu Mat, port di bahagian belakang terus rancak. Berterusan mendaratkan ibu kerisi dan spesies-spesies lain.
Menjelang senja barulah tekanan pemancing di bahagian bot reda apabila Nasir Abd Wahab menaikkan ikan tapak kasut.
Walaupun ia bukanlah spesies ikan yang dikehendaki, setidak-tidaknya ia adalah petanda yang positif. Bahagian hadapan bot pun ada ikan.
Ia terbukti apabila tidak lama kemudian penulis menaikkan ibu kerisi, begitu juga dengan Abu Bakar Atan menaikkan spesies yang sama serta merah.
Sementara Ariffin Nordin yang memancing bersebelahan dengan Izahar di belakang bot turut sama mengakhiri kumpau apabila menaikkan serkot.
Cuma rezekinya tak lama apabila ikan tersebut terlepas dari tangan dan berenang ke habitat asal ketika acara bergambar.
Sesi malam
Pancingan malam ternyata lebih meriah dan riuh. Tiada lagi port istimewa di atas bot kerana setiap penjuru dan setiap pemancing berjaya menaikkan.
Merah, ibu kerisi, serkot, landok, kaci, malah seekor pari turut dinaikkan. Alip yang tekun melakukan jigging berjaya menaikkan seekor pari dengan menggunakan jig yang dicangkut sotong sebagai umpan tambahan.
Sekitar jam 2 pagi, tiupan angin membuatkan laut yang tenang mula beralun. Penulis mengambil keputusan menggantung pancing. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.
Kabin berhawa dingin disulami ombak yang membuai, nikmatnya umpama tidur di hotel 5 bintang.
Namun tidak lama, sekitar jam 4 pagi, seluruh isi kabin dikejutkan dari tidur apabila bot dipukul ribut.
Tiupan angin selaju 30 knot menghasilkan ombak besar dan menyebabkan bot berayun kuat. Cemas dan panik jugak seketika.
Setelah ribut sedikit reda, tekong mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Meskipun trip singkat tidak sampai 24 jam dan tempoh memancing kurang dari 12 jam, ternyata
perairan Miri kaya dengan ikan-ikan gred A dan masih banyak tersembunyi ikan-ikan tahap monster. Malah layak dianggap sebagai syurga memancing laut dalam.
Ini kali pertama saya menjejaki Sungai Rompin. Itu pun selepas termakan `racun’ dan pujukan Zaidi, anak jati Rompin. Zaidi beria mengajak saya bertandang ke lubuk permainan sebaraunya di Sungai Rompin.
Sempena cuti umum yang jatuh pada hujung minggu, saya bersama Andy dan Azlan bertolak menuju ke Rompin dari Lembah Kelang.
Seawal jam 6 pagi kami tiba di Rompin. Selepas solat subuh, kami bertemu dengan Zaidi dan bersarapan di gerai kampung di Rompin.
Bersama Zaidi, rakannya Sidek, Zaini dan Ayie juga turut serta. Sebenarnya, untuk trip ini, saya telah pun merancang untuk berkhemah satu malam dan sebelum bergerak ke Sungai Rompin, kami singgah di kedai runcit berhampiran bagi melengkapkan keperluan untuk berkhemah.
Hari Pertama
Tepat jam 8 pagi, kami tiba di jeti perkampungan orang Asli dan memulakan final camping checking iaitu memastikan peralatan untuk berkhemah cukup dan lengkap.
Perjalanan menyusuri Sungai Rompin ke camp site menggunakan tiga buah bot milik Zaidi dan rakannya. Ia mengambil masa kira-kira setengah jam dari jeti.
Sepanjang trip ini, spesies sebarau menjadi sasaran utama kami. Ini kerana menurut kata Zaini, Sungai Rompin masih banyak menyimpan lubuk yang dihuni spesies sebarau.
Setelah tapak perkhemahan telah siap dipasang, bermula lah aktiviti survivor kami, iaitu misi mencari lauk tengah hari.
Untuk permulaan, kami hanya melakukan aktiviti casting tidak jauh dari kawasan tapak perkhemahan.
Alhamdulilah, cuaca pada hari kejadian cukup baik. Saya menggunakan gewang untuk melontar ke seberang sungai betul-betul di celah reba kayu. Ada miss call tetapi rabut.
Selepas beberapa kali percubaan keadaan sunyi sepi. Rakan saya yang berada tidak jauh dari saya telah pun berjaya memperoleh lesen sebarau.
Selepas menapak beberapa minit, saya melihat deburan air menandakan ada pemangsa sedang mengejar sesuatu, betul-betul di bawah sepohon dahan yang rendang.
Saya menukar kepada spoon AXZ. Dua lontaran sahaja, hujung joran saya disergap kuat, tanda ada sebarau telah menyambar.
Sebaik sahaja melayannya, akhirnya sebarau yang saya anggarkan bersaiz lebih sekilogram berjaya diperolehi.
Cukup puas hati bertarung dengan sebarau sungai bersaiz begini. Lebih-lebih lagi sebarau sungai yang begitu kuat kudratnya.
Tiba di camp site, kami semua berjaya memperoleh 3 ekor sebarau bersaiz memuaskan dan semuanya dijadikan hidangan makan tengah hari.
Selepas makan tengah hari, aktiviti casting disambung semula sehingga lewat petang. Hasilnya beberapa ekor sebarau juvenil bersaiz 200 – 400g berjaya diperolehi .
Tidak ada spesies yang kasar diperolehi sebagaimana pagi tadi. Hanya Andy yang berjaya memperoleh saiz melebihi sekilogram.
Mana-mana sebarau bersaiz kecil, kami lepaskan semula selepas hanya bergambar dengannya.
Aktiviti Malam
Malam hari, kami menikmati menu masakan yang simple sahaja, iaitu masakan dalam ikan sardin dalam tin, ayam goreng, sayur kubis goreng dan ikan kering ia tetap menu yang terhebat buat kami.
Apatah lagi Zaini menyediakan sambal tempoyak dan jering muda sebagai ulam. Fuhh terangkat, apatah lagi sambalnya cukup pedas.
Sebagai persediaan, kami telah pun memasang unggun api besar berdekatan khemah di mana sejak awal petang tadi juga kami telah mencari banyak bangkar kayu untuk dijadikan unggun api.
Malam melabuhkan tirai, kami memulakan aktiviti pancingan dasar berhadapan khemah. Sasaran utama, sudah pastilah ikan baung. Umpan cacing dan sedikit umpan tapa menjadi umpan terbaik untuk dipertaruhkan.
Namun aktiviti membaung berlangsung selama 4jam berakhir dengan hasil yang tidak memberangsangkan.
Kami berpendapat lubuk di hadapan khemah ini bukanlah spot terbaik mencari spesies baung. Jam 11 malam, kami semua selamat memasuki khemah dan tidur.
Hari Kedua
Hari kedua, kami memutuskan untuk naik ke bahagian hulu sungai. Iaitu memasuki kawasan anak sungai yang lebih cetek airnya dan boleh diharungi separas pinggang.
Teknik casting sambil meranduk air memang memerlukan kesabaran, ketahanan fizikal dan mental.
Anak sungai di sini dipenuhi spot-spot menarik, bangkar-bangkar kayu sangat mudah ditemui. Mungkin ia kesan banjir besar pada musim tengkujuh yang melanda Disember lalu.
Di setiap selekoh sungai pasti ada sahaja spot-spot yang menarik. Memang berbaloi dengan hasil tangkapannya.
Strike demi strike diperolehi oleh semua ahl trip. Cuma tiada kelibat bersaiz 800 gram ke atas. Rata-rata saiz yang diperolehi 200-600 gram sahaja yang berjaya diperolehi.
Sekitar jam 4 petang, kami menamatkan trip ini. Walaupun trip ini singkat, namun bagi saya dan rakan-rakan yang datang dari ibu kota, menganggapnya ia trip yang memberi kenangan seribu makna.
Memandangkan masih ada ahli komplot yang kumpau dan lose control sekali gus belum merasai pecutan sang sebarau Sungai Rompin, kata putus diambil, satu trip susulan akan diadakan lagi selepas Aidilfitri nanti. Sungai Rompin, mu tunggu aku datang semula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...