MAG telah mengadakan beberapa siri komplot melayang sang bulan yang dianggotai oleh saya sendiri, Ruzain Narumy, Kelvin Chua, Tomato Bey, Emily Lai Malie dan Sally LC. Set yang kami gunakan adalah sekadar set berharga ekonomi bermula dari WT2 hingga WT 4/5.
Tali utama pula adalah daripada jenis floating line & sinking line yang disambungkan kepada perambut sekasar 18-20 paun dan tippet pula adalah dari jenis mono berkekuatan 8-10 paun sahaja.
Manakala penggunaan umpan lelayang tradisional seperti nymph Zonker Gurgler, Damsel dan sebagainya jarang kami gunakan setelah beberapa kali bereksperimentasi tentang mata pancing yang sesuai untuk menjerat bulan.
Kejadian ‘miss call’ dan kadar rabut yang tinggi membuatkan kami memilih untuk menggunakan mata pancing udang bersaiz no. 2 dan 3. Material mata pancing layang yang halus dan tajam amatlah sesuai untuk mengatasi masalah rahang sang bulan yang keras.
Kadar tancapan dengan menggunakan mata pancing udang terbukti berjaya mengurangkan kes rabut yang tinggi. Cuma kelemahannya adalah tatkala ikan bersaiz besar dan kuat seperti bandang serta siakap putih, yang mencuri umpan lelayang, kejadian mata kail patah sering kali berlaku.
Pada hujung tahun lepas, kami berkumpul di spot yang dikenal pasti dan berada cuma lebih kurang 10 km dari pusat bandar Mukah. Spot ini didiami banyak si ikan bulan, malah sang bandang dan juga siakap putih.
Dengan berbekalkan setup wt2 dan wt4/5, kami mula membuat layangan sambil berkongsi teknik dan umpan lelayang. Ternyata umpan lelayang yang diikat sendiri menggunakan sedikit bulu serta rumbai berkilat amat berkesan. Saya sendiri berjaya mendaratkan lebih 30 ekor ikan bulan pelbagai saiz dengan hanya bersenjatakan setup wt2 untuk sesi pagi.
Namun dalam keterujaan melayan sang bulan yang tengah frenzy, kelibat sang bandang ada kalanya turut merampas umpan. Acap kali juga terjadi kes tippet putus, cuma sekali henjut dek sang bandang yang membuat pecutan bak peluru ala-ala Usain Bolt sambil meluncur ke udara membuatkan suasana menjadi riuh seketika.
Namun begitu, beberapa ekor bandang juvenil berjaya juga kami daratkan meskipun ada yang ‘foul hooked’. Kesemua hasil tangkapan kami lepaskan semula demi menjaga stok ikan sukan agar terus berkekalan pada masa hadapan.
Pada lewat petang untuk sesi komplot tersebut, timbul suasana agak kelam kabut dan cemas apabila tiba-tiba umpan lelayang Sally LC mainkan disergap sesuatu yang amat kasar. Dia yang cemas dan dalam keadaan terkejut sempat juga melayan keras pecutan dan larian ikan tersebut.
Saya yang melayangkan umpan dalam jarak 30 meter dari tempat kejadian pun berasa terkejut mendengar suara Ruzain dan Emily yang memanggil dan menyatakan Sally tengah bergasak dengan ikan yang kuat.
Sedang berlari lari anak sambil meranduk air separas lutut, tiba-tiba bunyi sorakkan daripada Ruzain menyatakan bahawa ikan yang mengonggong lelayang Sally adalah seekor mama bandang apabila ianya meluncur ke udara lantas menunjukkan badannya yang sasa, tegap dan panjang.
Saya sempat menyaksikan kejadian tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa apa apabila sang bandang berjaya meloloskan diri bila mata pancing udang yang disasarkan untuk sang bulan patah.
Sally yang pertama kali bertembung spesies pemecut itu tidak dapat berkata apa-apa sambil terduduk terkejut. Pada masa yang sama, dia seakan masih tak percaya yang sang bandang sebesar dan sekuat itu menjadi tentangan petang tersebut.
Saya bersama Ruzain meneruskan layangan petang tersebut tetapi kelibat sang bandang tidak muncul lagi. Cuma beberapa bulan juvenil sahaja yang menjadi penghibur.
Berikutan kejayaan sesi melayang 100% tersebut, komplot susulan lantas di rancang. Komplot ini di sertai oleh beberapa caster yang ingin mendapatkan lesen bulan dan bandang.
Setelah semua ahli komplot hadir di tempat yang dijanjikan, sedikit taklimat dan perkongsian daripada saya selaku penganjur komplot berkenaan agenda komplot pada hari tersebut.
Ini disebabkan ahli-ahli komplot kali ini pertama kalinya disertai oleh caster dari Sabah di samping orang kuat persatuan pemancing Bahagian Bintulu serta pemancing dari Sibu, Matu dan Mukah sendiri. Tanpa membuang banyak masa, semua ahli komplot segera beredar ke spot pertama pada pagi Ahad tersebut dengan kenderaan masing masing.
Setelah bergambar sebagai kenang kenangan, komplot terus bermula. Agak malang sedikit untuk sesi pagi tersebut kerana tiada langsung kelibat sang bulan bermain air. Tetapi semua ahli komplot tetap berusaha menjejaki penghuni spot ini memandangkan ianya didiami pelbagai jenis ikan. Akhirnya ramai ahli komplot mencuba kaedah casting sebagai usaha mendapatkan tangkapan masing masing.
Sedang penulis asyik membuat layangan ke atas sekawan tarpon juvenil yang mula bermain air di satu penjuru, tiba tiba kedengaran suasana sedikit riuh serta ada yang memanggil penulis agar cepat datang ke tempat kejadian. Setelah diperiksa, rupa rupanya si Ysp Yby telah dapat mendaratkan seekor siakap putih dengan kaedah casting.
Setelah mengambil sedikit gambar, sesi pancingan diteruskan semula. Penulis dan Ruzain Narumy yang masih setia dengan pancingan layang akhirnya mendapat habuan masing masing. Ruzain berjaya mendaratkan seekor bulan yang agak kasar setelah umpan lelayang yang dibuat menggunakan mata pancing udang tertancap kemas di bibir sang bulan.
Penulis juga berjaya mendapatkan beberapa tangkapan selepas itu sambil diselang seli dengan tangkapan casting dari ahli komplot yang lain. Memandangkan keputusan pancingan pada pagi tersebut kurang memberansangkan, ahli ahli komplot bersetuju untuk berpindah ke spot yang seterusnya.
Berbekalkan semangat yang masih tinggi, sesi pancingan di spot yang kedua adalah lebih meriah. Ini berikutan spot tersebut hanyalah berada di pinggir jalan sahaja, maka kedudukan ahli komplot memancing pun agak selari dengan jalan raya.
Walaupun kelibat sang bulan bermain air memang rancak kali ini, tetapi segala lelayang serta gewang yang dimainkan kurang mendapat sambutan. Akhirnya setelah beberapa kali rabut, penulis akhirnya berjaya mendaratkan seekor ikan bulan remaja.
Semua ikan hasil pancingan kami pada hari tersebut selamat dilepaskan semula ke habitat asal. Sebagai kesimpulannya, pancingan layang memang mempunyai potensi yang cerah untuk berkembang seperti mana kaedah pancingan yang lain seperti kaedah mengilat. Cuma sedikit masa diperlukan untuk memperkenalkan atau mempromosikan seni pancingan layang itu sendiri.