Pancingan togok bukanlah jenis pancingan yang sentiasa menjadi perbualan pemancing, namun ia sangat popular bagi pemancing zon selatan. Kos yang dikeluarkan tidaklah terlalu besar berbanding pancingan kelong. Togok dibina seumpama sangkar ikan, bezanya tiada sangkar dipasang melainkan hanya ruangan untuk memancing.
Gara-gara diracun rakan-rakan pemancing di perairan selatan, Team Moh Redah dengan kerjasama Kolej Profesional Mara Bandar Penawar (KPMBP) Anglers telah merancang satu operasi untuk menggempur penghuni perairan Johor Lama. Rakan-rakan yang berpengalaman pantas menghubungi pemilik togok.
Tarikh pancingan yang dipilih jatuh pada hari bekerja lantaran permintaan yang tinggi bagi sesi hujung minggu dan hari kelepasan am. Kebiasaannya tempahan perlu dibuat selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh yang dikehendaki. Jika tidak, togok yang dikehendaki akan dihuni oleh para pemancing yang dahagakan aksi-aksi penghuni dasar.
Sebaik tiba, ahli-ahli komplot dengan tidak sabarnya terus melempar umpan ke dasar. Pelbagai variasi umpan dihidangkan kepada penghuni dasar mengharapkan ia dijamah oleh ikan.
Pada masa ini, pemancing perlu peka dengan umpan apa yang dipasang bagi setiap pancing yang digunakan. Seandainya ada ragutan dari penghuni dasar yang dikehendaki spesiesnya, lebihkan penggunaan umpan mengikut apa yang telah dimakan oleh ikan sasaran.
Umpan udang segar dan ruat lebih banyak mengundang gerombolan ikan duri dan gelama untuk menjamah umpan. Kombinasi pelbagai umpan selain untuk mencari umpan terbaik, juga bertujuan untuk mengelakkan kebosanan menunggu ikan sasaran. Gerombolan duri dan gelama ini menjadi hiburan kami sementara menunggu kemunculan ‘tetamu’ undangan.
Di tengah kerancakan duri membaham umpan, tiba-tiba joran Viper Venom berumpankan ruat milik saya mengendur talinya. Tindakan pantas penulis menterjemahkan seekor jenahak selepas melalui pertempuran yang mendebarkan.
Amir pula berbangga apabila jorannya yang berumpankan udang pasar membuahkan seekor kerapu bersaiz sederhana. Pak Lang Rahimi pula hanya mampu termenung apabila rentapan kasar yang diperolehi putus di tengah jalan. Selepas aksi tersebut, keadaan kembali seperti sedia kala.
Hanya duri dan gelama yang sudi menjamah umpan, yang kesemuanya dilepaskan kembali. Tidak perlu disimpan semua tangkapan, hanya ambil apa yang ingin dimakan.
Menjelang senja, gerombolan sembilang karang pula menyerang. Bukan setakat umpan pancing, umpan ikan di dalam perangkap ketam juga di lahapnya.
Penggunaan perangkap ketam kadang kala membuahkan hasil yang tidak disangka. Kami bukan sahaja dapat memerangkap ketam, bahkan ikan kerapu, belangkas dan sotong katak.
Pernah dalam satu kejadian, kami mendapat seekor siakap yang mungkin berhasrat membaham ikan tamban yang dijadikan umpan menangkap ketam. Ironinya dalam kejadian tersebut, kami mendapat seekor ketam yang membaham umpan pancing. Sayangnya, kamera tidak dibawa bersama untuk merakam kejadian tersebut.
Variasi Umpan
Pancing yang diletak di bahagian belakang togok direntap kasar. Penggunaan loceng sebagai tanda amaran amatlah efektif untuk mengelakkan kejadian pancing terbang dan ikan terlepas.
Tentangan kasar yang diberi amatlah mengujakan. Hasilnya, penulis berbangga dengan siakap bersaiz kasar. Melewati waktu Isyak, di saat air laut mula bergerak pasang, keadaan kembali rancak.
Seketika, kami terhenti sejenak apabila joran kepunyaan Firdaus direntap kasar. Firdaus yang telah bersedia bertindak membuat henjutan balas. Sekali lagi perlawanan yang mengujakan kami membuahkan spesies yang dicari-cari, iaitu seekor jenahak berskala kasar.
Selepas sesi bergambar, joran kepunyaan penulis pula digetu sesuatu namun putus di tengah jalan. Mungkin dari spesies yang sama kerana kebiasaannya jenahak memburu secara berkumpulan.
Seketika, keadaan menjadi sunyi. Kesempatan yang digunakan sepenuhnya untuk menjamu selera, menjamah bekal yang dibawa. Malang tidak berbau, milo ais ikat tepi penulis tertumpah ke baju. Nasib baik baju tambahan ada dibawa bersama. Jika tidak, bersejuklah sepanjang malam tatkala baju dibasuh.
Hasil seterusnya menjadi milik Shahida apabila jorannya direntap halus. Rentapan sederhana oleh Shahida dibalas dengan lompatan oleh mangsa. Mangsa akhirnya menyerah kalah apabila ruang-ruang untuk memboloskan diri tidak ditemui. Shahida berbangga dengan ikan siakap pertamanya.
Kami dihidangkan dengan hiburan apabila Khairi memperolehi seekor ketam bunga bersaiz besar yang membaham umpan udang pasar miliknya.
Menjelang tengah malam, kami sekali lagi dihidangkan dengan aksi-aksi rancak. Joran milik penulis dan salah seorang rakan pancing, Khalis, berjaya memerangkap ikan jenahak. Shahida pula memperolehi seekor ketuka, manakala Khairi berbangga dengan tangkapan kerapu bersaiz kasar. Joran berumpankan udang pasar yang dilabuhkan bersebelahan togok ternyata mendatangkan tuah buat Khairi.
Umpan udang hidup, ruat, dan potongan ikan tamban laku umpama goreng pisang panas, dengan hasil yang sangat memberangsangkan. Adat memancing, ada kalanya hasilnya banyak, ada ketika ‘membangau’ sahaja. Apa yang penting, jangan berputus asa.
Sentiasalah rajin bertanya kepada pemilik kelong dan pemancing tempatan mengenai tarikh yang sesuai, juga umpan yang efektif. Rajin bertanya, mewahlah hasilnya.
Pulang dari komplot, segala hasil yang diperolehi dibawa ke kedai makan untuk dijadikan menu hidangan. Tiada yang dibawa pulang memandangkan anggota-anggota komplot terdiri daripada orang bujang.
Secara keseluruhannya, setiap daripada kami berpuas hati dengan hasil dan juga perjalanan komplot. Memandangkan ada di antara kami yang tinggal jauh dari sini terutama anggota Team Moh Redah, komplot ini menjadi wadah mengeratkan silaturahim yang terjalin. Biarpun ada di antaranya baru pertama kali bersua, namun mesra umpama telah kenal lama. Itulah istimewanya hobi memancing.