Negeri Sabah memang terkenal dengan lokasi pancingan sungai pegunungan yang menarik untuk memburu spesies pelian dan sebarau. Antara yang popular ialah di daerah Sipitang yang terletak di bahagian paling selatan negeri Sabah.
Dengan kawasan hutan yang masih terpelihara serta sistem sungai yang jauh dari kawasan penempatan manusia menjadikan spesies ikan mampu berkembang biak dengan jumlah yang banyak.
Trip Musim Kemarau
Saya bersama beberapa orang rakan berpeluang menjelajah ke satu bahagian Sungai Meligan yang terletak di kawasan Sipitang. Jarak perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam dari Pekan Sipitang menuju ke Kampung Meligan sebelum bergerak ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.
Trip kali ini disertai oleh saya sendiri, Supari dan isteri, Adi, Reon selaku pemandu arah serta saudara Faidey bersama isteri. Kami bergerak dari Pekan Sipitang menggunakan 2 buah kenderaan dan tiba di Kampung Meligan sekitar jam 9 malam.
Setibanya di rumah penginapan yang diaturkan oleh Reon kami mengambil keputusan untuk berehat sambil menyediakan segala kelengkapan untuk dibawa hari berikutnya. Keesokan hari, setelah bersarapan, kami bergerak ke lokasi dengan menggunakan 2 buah kenderaan.
Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang sejam setengah menggunakan pacuan 4 roda melalui jalan balak. Perjalanan kali ini agak mudah disebabkan cuaca panas dan kering menjadikan laluan agak mudah dilalui.
Trip kali ini kami disertai oleh beberapa orang malim dari Kampung Meligan sebagai jurupandu serta membantu mengangkut segala kelengkapan kerana kami akan bermalam di lokasi.
Setibanya di lokasi terakhir yang boleh dilalui kenderaan, kami terus bersiap untuk menyambung perjalanan dengan berjalan kaki. Perjalanan menuruni bukit mengambil masa lebih kurang 1 jam melalui denai pemburu.
Perjalanan agak selesa kerana cuaca yang sedikit redup serta suhu yang agak sejuk. Sekitar jam 11 pagi kami sampai ke tapak perkhemahan di kaki bukit betul-betul di atas tebing sungai. Kru malim yang turut serta banyak membantu menyiapkan khemah serta persediaan lain sebelum aktiviti memancing diteruskan.
Bebas Pencemaran
Kawasan Sungai Meligan yang jauh daripada pembangunan serta tiada pencemaran memberi pengalaman indah sepanjang perjalanan kami. Tujuan utama kami bukanlah untuk mengambil ikan sebanyak mungkin, tetapi lebih kepada aktiviti riadah.
Perjalanan tidaklah begitu sukar memandangkan kebanyakan bahagian sungai menjadi kering akibat musim kemarau yang berpanjangan. Namun begitu terdapat banyak lubuk yang cantik di mana kebanyakan spesies sebarau dan pelian berkumpul.
Sepanjang 4 jam perjalanan menyusuri sungai kami sempat casting menggunakan set ala kadar dan menggunakan sesudu ekonomi. Oleh kerana sistem sungai yang masih terpelihara, banyak strike yang kami dapat sepanjang perjalanan. Terdapat juga lubuk yang dalam yang sesuai diduga dengan teknik pancingan dasar.
Apa jua teknik yang digunakan di kawasan ini hampir pasti akan mendatangkan hasil. Setelah jauh berjalan akhirnya kami sampai ke salah satu lubuk besar. Di situ kami menggunakan teknik mengilat serta pancingan dasar menggunakan umpan buah sawit masak. Ternyata banyak spesies sebarau serta pelian yang mendiami lubuk berkenaan.
Pengalaman Bernilai
Setelah berjaya mendaratkan spesimen sebarau dan pelian yang mencukupi akhirnya kami membuat keputusan untuk balik ke tapak perkhemahan. Kami bergerak pulang dengan kepuasan dan kegembiraan dapat menikmati seluruh pemandangan dan pengalaman indah sepanjang hari itu.
Setibanya di tapak perkhemahan, kru sudah siap sedia dengan pelbagai menu masakan termasuk pelian dan sebarau yang berjaya dipancing pada hari berkenaan.
Begitu segar rasanya dapat menjamu selera dengan juadah masakan sambil ditemani alam semula jadi yang masih terpelihara. Kepenatan sepanjang perjalanan bagaikan tak terasa sepanjang berada di sini.
Saya berharap sesiapa pun yang berpeluang untuk menjelajah ke Sungai Meligan akan merasai pengalaman yang menyeronokkan lagi berharga ini. Diharapkan juga agar keindahan sungai serta hutan kita akan terus terpelihara bagi menjamin kelestarian spesies sebarau dan pelian yang menjadi antara identiti sungai pegunungan.