Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan soft frog mini pada hujung joran.
Ads
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Ads
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuk ekoran kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Ads
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang.
Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kunjungan saya bersama lima orang rakan dianggap memang langkah kanan kerana berpeluang melihat mahligai toman yang sebenar. Kedatangan kami disambut dengan timbulnya pokok-pokok kayu mati yang berceracak, lantaran pintu air Empangan Kenering yang berada di bawah Tasik Air Ganda dibuka. Hampir 80 peratus pokok-pokok ini akan tenggelam, jika air penuh.
Tiga buah bot siap dengan tekong yang ditempah awal telah siap menanti kehadiran kami yang tiba sekitar jam 7.30 pagi. Selepas memasukkan barang dan bot melepasi kuala jeti, masing-masing mencari haluan.
Bila sahaja Tekong Anip kata sudah boleh casting, alamak saya dan Pachai bingung seketika jadinya. Ye lah macam mana nak baling walaupun toman rancak menimbulkan diri di permukaan, tetapi semuanya muncul di celah batang-batang kayu.
Selain nampak renangannya melepasi celahan pokok, saat toman menyambar di permukaan, itulah yang paling didambakan. Tetapi kes ‘tersangkut pokok’ tidak boleh dielakkan semasa gewang dilontar.
Sambaran pertama saya perolehi, betul-betul ketika toman timbul di permukaan. Baru dua kali karauan dilakukan, gewang Ofmer Gold berjaya mendatangkan amarah seekor toman dalam anggaran 1kg.
Pachai juga naik lenguh tangan dibuatnya. Gewang yang dilontar di sebelah kiri bot disambut, mujur toman tidak bermain kasar dengan cuba membelit kayu dan toman anggaran hampir 2 kg berjaya didaratkan. Di suak pertama ini, saya dua kali mendapat strike, satu sahaja yang berhasil.
Tetapi sambaran kasar yang diterima betul-betul di antara batang kayu yang bercabang. Puas menahan asakan daripada membelit batang kayu walaupun bot menghampiri lokasi, sayangnya ia terus sahaja membenam dan terus senyap. Kami terus mencuba di suak ini sambil Anip mengemudikan botnya menghampiri sang toman banyak menimbulkan diri.
Bila jam di tangan menunjukkan angka ke jam 11 pagi, kami mula bergerak keluar. Kali ini bot dipacu keluar tengah tasik untuk mencuba toman yang bermain di kawasan highway tasik. Tekong Anip berhenti di satu kawasan. Ujarnya di toman-toman di kawasan ini bersaiz besar. Tetapi yang tidak menariknya, tempoh ia timbul semula agak lama dan timbulnya agak cepat.
Jika situasi ini berlaku, tomannya tidak begitu agresif mengejar gewang, kecuali betul-betul gewang jatuh di hadapannya. Pachai yang menggunakan Rapala Fat Rap berjaya mendapat sambaran seekor toman yang saiznya boleh tahan.
Menjelang tengah hari, kami bergerak menuju ke satu wakaf (pondok) yang didirikan di atas sebuah pulau untuk berehat dan makan tengah hari. Rakan-rakan dari dua bot lagi juga turut sama sampai tidak lama kemudian.
Sambil menikmati hidangan bekalan makanan yang dibawa, kami rancak berkongsi cerita. Menurut Ujang dan Faizal lokasi yang dikunjunginya bersama tekong Usop banyak menerima strike, sehingga leka tidak berganjak untuk ke spot lain. Sedar-sedar juga hari sudah meninggi.
Begitu juga dengan Adi dan Onn (adik Ujang) yang menaiki bot tekong Faiz, masing-masing berkongsi cerita, termasuklah kisah mereka yang terjumpa banyak kumpulan anak toman bersaiz lengan bayi, tetapi sayangnya tiada ibu yang menjaganya.
Selain menyasarkan casting toman, sebenarnya saya sudah standby satu lagi set casting untuk sebarau. Senang tidak perlu tukar gewang jika terserempak dengannya walaupun saya dimaklumkan, sebarau Air Ganda amat kurang dan sukar dijejaki.
Mereka juga tidak mencari kumpulan sebarau dan kebetulan akan berhenti sekiranya terserempak dengan kumpulan sebarau yang sedang frenzy mengejar anak ikan.
Ujar Anip lagi, sebarau Air Ganda sukar dicari dan jika ada pun ia bukan berada dalam kelompok besar. Faktor ketiadaan anak sungai dan populasi toman yang menguasai hampir keseluruhan Air Ganda menjadi punca mengapa sebarau agak kurang di sini.
Tapi, bagi kaki casting naluri sebarau hunter tetap ada. Nak dijadikan rezeki, saya dan Pachai bertemu juga gerombolan sebarau rempit yang asyik mengejar anak ikan loma. Mudah sahaja bila sudah terjumpa kes seperti ini. Lontarkan gewang dan sesudu sehampir mungkin, terus sahaja disambut. Walaupun bersaiz juvenil, apa yang penting ada kami ada lesen sebarau Air Ganda.
Lewat petang sebelum pulang, kami kembali singgah ke spot yang dikunjungi pagi tadi sambil bergabung kembali dengan bot tekong Usop dan Faiz. Dua strike diterima Faizal dan Adi, tetapi hanya seekor sahaja diperolehi oleh Faizal.
Sebaliknya Rapala Fat Rap warna Fire Tiger sekali lagi berjaya dileburkan oleh toman, langsung tidak boleh control. Walaupun menggunakan lure retriever, bila berlaku kes tali terbelit teruk di bahagian dahan pokok di dalam air, agak sukar gewang dapat diselamatkan. Akhirnya lebur juga gewang berkenaan.
Kami terus casting sehingga hari betul-betul gelap melewati angka 7.30 malam. Ketiga-tiga tekong ini memang tidak berkira tentang hal lebih masa ini, asalkan kami semua puas hati.
Saya, Arman, Ah Chong dan Renly bertolak menaiki kereta dan tiba di Jeti Lumut ketika hari masih gelap. Selesai solat Subuh dan bersarapan, kami bertemu tekong, Thomas.
Tidak dilupakan bekalan makanan yang sudah siap ‘ditapau’ sebagai bekalan di atas bot nanti.
Jam 7.30 pagi bot terus dipacu menghala ke Pulau Sembilan. Sebelum bertolak, kami mendapat khabar angin ikan sudah berkurangan di sini akibat kemasukan bot pukat.
Tetapi kami tidak terlalu gusar, kerana ikan bagi kami bot pukat pun sebenarnya tidaklah sesuka hati melabuhkan pukat di merata tempat, terutama berhampiran pulau yang mana akan merugikan mereka juga.
Kami berserah kepada Allah dan yakin masih ada banyak tempat yang sangat menyeronokkan untuk memancing dan melayan ikan yang kasar. Saya ke sini cuba untuk casting dan juga belajar untuk jigging.
Kami tiba di sekitar Pulau Sembilan sekitar jam 9 pagi. Thomas mengambil kedudukan berhampiran satu teluk di bahagian pulau dan kami cuba jigging di situ.
Cubaan saya menggunakan jig bewarna oren 20 gram, berjaya memperdayakan mangsa. Larian padu hingga ke bawah bot menunjukkan ia adalah ikan GT. Agak puas juga melayannya memandangkan saya menggunakan set ringan.
Selepas itu, beberapa ekor GT lagi saiz bawah 2 kg berjaya kami naikkan selepas itu. Menjelang tengah hari, kelibat GT yang dicari langsung tidak ada. Kesempatan itu, saya gunakan untuk cuba-cuba untuk bottom dengan menggunakan isi ikan kembung.
Disebabkan alun agak tenang, mata pun kian layu dan hampir terlelap. Ketika itulah drag kekili saya berbunyi kuat, lantas mengejutkan semua yang ada di dalam bot.
Saya menahan asakan, tetapi ikan di bawah cukup kuat membenam ke bawah. Namun 20 minit kemudian, akhirnya naik seekor jenahak yang saya anggarkan beratnya sekitar 4 kg.
Rakan lain yang melihat saya berjaya menaikkan jenahak turun mencuba bottom dan berjaya menaikkan beberapa lagi ikan bayan dan telinga gajah.
Sehingga petang, kami mencuba lagi untuk jigging dan akhirnya, berjaya menaikkan beberapa ekor GT, talang dan juga kerapu. Sekitar jam 5 petang kami mengakhiri trip dan kesimpulannya, walaupun ia singkat tetapi tetap lumayan.
Setelah menempa pelbagai sejarah dalam kelas tersendiri, pengurusan kolam pancing Seri Bayu Tekala mencipta satu lagi lembaran sejarah apabila menawarkan ganjaran RM80,000 bagi pemenang utama dalam pertandingan memancing Cabaran Tutup Tirai Finale 2017, Seri Bayu Tekala.
Pertandingan memancing yang bakal berlangsung pada 10 Disember dan bertempat di kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih itu bukan sahaja mencatat rekod hadiah tertinggi yang pernah dianjurkan oleh pengurusan kolam bahkan merupakan kolam pancing pertama berbuat demikian di Malaysia.
Menurut pengurus acara Eddie Rani, hadiah tempat pertama tertinggi pernah ditawarkan sebelum ini berjumlah RM76,000 pada Mac lalu, pertandingan memancing sempena ulang tahun kolam Seri Bayu Tekala.
“Sekiranya anda berpendapatan RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun, hanya bermodalkan RM100 sahaja, anda sudah boleh goyang kaki untuk tempoh 40 bulan atau tiga tahun setengah sekiranya memenangi pertandingan ini,” ujarnya lagi.
Selain tawaran RM80,000 bagi kejuaraan utama, pemenang di tempat kedua bakal memperoleh RM12,000 dan RM6,000 bagi tempat ketiga pelengkap podium. Manakala tempat keempat sebanyak RM1,000; kelima RM700; keenam dan ketujuh RM500 dan kelapan hingga kesepuluh RM400. Sementara tempat ke-11 hingga ke-30 RM300; ke-31 hingga ke-50 RM250; ke-51 hingga ke-100 RM200; dan ke-101 hingga ke-150 sebanyak RM150.
Sekiranya kurang bernasib baik untuk menduduki carta 150, para peserta masih berpeluang untuk memenangi cabutan bonanza berupa sebuah motosikal Modenas Kriss dan dua buah televisyen LED berjenama.
Sementara ikan tongsan sisik halus dan patin Chao Phraya yang tidak dipertandingkan, disenaraikan dalam kategori spesies yang mana pemenang bagi kategori ini akan membawa pulang RM 300 dan tempat kedua RM 200.
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftaran di kaunter pendaftaran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 8 Disember sehinggalah bermulanya pertandingan.
Seperkara lain menurut Eddie Rani, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam tidak lagi menyediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain para peserta perlu berlari membawa pancang sendiri dan acara pelepasan pancang akan dilangsungkan secara berperingkat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...