Trip Throwback – Dari Jitra Ke Kelong Lukut Mengidam Jenahak

Share

 

Jika memancing di kelong, hasilnya ibarat pasang surut air juga. Ada ketikanya meriah dan tak menang tangan jika ikan masuk, ada ketikanya pula ‘membangau’ sajalah sampai ke sudah. Pun begitu, tidak dinafikan jika kena arus dan umpan, tak terduga juga spesies yang dinaikkan.

 

Seingat penulis, penulis mula berjinak dan banyak mempelajari ilmu pancingan kelong ini daripada Cikgu Sabri atau lebih senang dengan panggilan Cikgu. Bagi saya, cikgu seorang yang tidak lokek ilmu pancingan kelong, selain masih tidak merasakan ilmu pancingan telah cukup.

 

 

Mendapat panggilan daripada Cikgu untuk turut serta naik ke Kelong Mamod di Lukut. Menurutnya, bersamanya nanti, ada sebuah keluarga dari Jitra yang akan turut serta ingin menduga Kelong Mamod. Setelah berkira-kira masa dan jadual kerja, penulis pun sempat menyelit waktu untuk turut serta walaupun tiba agak lewat daripada mereka.

 

Dari Jitra Ke Lukut

 

Tiba sahaja di Kelong Mamod, keadaan agak meriah. Rupa-rupanya seekor jenahak telah tewas di hujung pancing Wak Din yang naik ke kelong pada pagi tersebut. Jenahak yang beratnya lebih 2kg itu dinaikkan sekitar tengah hari. Agak mengejutkan juga kerana selera jenahak hari itu terbuka menjelang matahari tegak dengan umpan tamban.

 

 

Di atas kelong, keluarga Abang Mansor dari Jitra sedang sibuk memancing. Abang Mansor datang bersama isteri dan tiga orang anaknya. Menurut Abang Mansor, ini trip bercuti bersama keluarga. Melihatkan aksi di atas kelong, penulis dapat mengagak kesemua ahli keluarga Abang Mansor ini berkongsi minat yang sama.

 

Keluarga Abang Mansor dan Cikgu telah naik ke kelong sejak semalam. Namun hanya pagi tadi, barulah keadaan mula meriah dengan getuan ikan-ikan sekitar kelong. Setelah beberapa ekor talang dan bawal bulan tidak segan menjamah umpan, barulah keadaan di atas kelong meriah.

 

 

Penulis yang naik ke kelong bersama seorang rakan, Rizal mula menyiapkan set joran masing-masing. Masing-masing jadi bersemangat dengan tewasnya jenahak tadi. Selain umpan tamban dan beberapa ekor sotong kurita yang dinaikkan dengan menggunakan teknik apollo, kami juga menggunakan udang hidup sebagai alternatif umpan.

 

Disapa Ribut Malam

 

Petang itu, ikan agak galak menyambar umpan. Lebih-lebih lagi apabila mata kail dicangkokkan tamban. Umpan udang hidup ada juga yang sudi menyambar namun, hari itu umpan tamban paling laris. Merangkak ke senja, beberapa ekor anak talang berjaya dinaikkan.

 

Sedang leka mencari tamban untuk dibuat stok umpan pada malam hari, joran Rizal melendut laju ke bawah menandakan umpan tamban yang dihulur tadi sudah dijamah. Rizal tanpa membuang masa mula mengayuh kekili agar tali utama masuk ke gelendong.

 

 

Setelah beberapa ketika kelihatan seekor senangin dalam anggaran 2-3 kg di gigi air. Gancu pantas dihulur ke bawah untuk tugasan akhir. Malangnya, dua kali cubaan mengancu gagal sebelum senangin itu merentap putus perambut Rizal. Masing-masing berpandangan kosong. Bukan rezeki nampaknya.

 

Menjengah ke malam, beberapa kali juga sambaran kuat gagal dinaikkan akibat terputus dan lucut. Pun begitu beberapa ekor jenahak kecil, bawal bulan dan gerut-gerut masih berjaya dinaikkan oleh Wak Din dan keluarga Abang Mansor sebelum ribut datang menyapa. Masing-masing memilih untuk berlindung di bilik memandangkan ikan pun tak menjamah umpan sewaktu ribut.

 

 

Sudah Waktunya Pulang

 

Ribut malam itu membawa sehingga ke awal pagi. Setelah ribut reda dan matahari mula menampakkan sinar paginya, ikan kembali galak menyambar. Seperti semalam, beberapa ekor jenahak berjaya dinaikkan setelah matahari mula meninggi berbekalkan umpan tamban. Padahal waktu malam tadi, agak liat untuk menaikkan spesies ini.

 

Selain jenahak, talang dan todak juga ada dinaikkan pada sebelah pagi hari terakhir itu. Apabila matahari menegak, masing-masing mula berkemas menandakan sesi pancingan trip Kelong Mamod ini semakin ke penghujung.

 

 

Melihatkan kepada hasil tangkapan yang dinaikkan, boleh dikira berbaloi dan menjadi juga trip kelong ini. Secara keseluruhan, spesies yang dinaikkan termasuk jenahak, talang, todak, gerut-gerut, bawal bulan dan beberapa spesies kecil. Namun, spesies jenahak yang kerap menyambar umpan pada sebelah siang menjadi tajuk utama perbualan kami semasa pulang.

 

Tip Umpan

 

Seperti kebiasaan pancingan di kelong sekitar Kuala Lukut, anda boleh menggunakan umpan udang, sotong atau tamban yang mudah diperoleh menggunakan teknik apollo. Anda boleh menggunakan apollo dengan saiz mata 5 atau 6.

 

 

Antara spesies utama yang boleh dinaikkan di sini termasuk jenahak, talang, daun baru, pari dan tetanda.

 

Rajinkan diri bertanya dengan pemancing lain ketika memancing di atas kelong.

Published by
Amang