Pemancing yang ingin menduga perairan antarabangsa, amat memerlukan perancangan rapi sebelum turun ke laut.
Perairan Selat Melaka di antara Malaysia dan Indonesia, antara lokasi pancing yang baik dan ia menjadi lokasi sasaran kumpulan kami dengan menaiki bot yang berpengkalan di Tanjung Karang.
Dalam misi kali ini, kami memburu siakap batu ataupun pecah periuk lengkap dengan persiapan memancing dan juga umpan yang menjadi subjek utama untuk memburu spesies ini.
Teknik serta ‘skill’ yang dipelajari dari tekong amat berguna dipraktikkan ketika bertembung dengan apungan atau sampah hanyut.
Apungan pokok nipah atau apa juga ‘sampah’ yang hanyut di laut dianggap sesuatu yang menganggu ekosistem habitat laut.
Tetapi di setiap apungan yang hanyut, terdapat penghuni yang sentiasa berlegar-legar dan bertumpu di bahagian bawah apungan untuk mencari makanan.
Saiz apungan juga memainkan peranan dalam menentukan populasihabitat spesies ini.
Dari apa yang pernah tekong ceritakan kepada penulis, saiz apungan yang sebesar padang futsal boleh didominasi spesies ini sehingga mencecah 500 hingga 700 ekor dengan pelbagai saiz.
Spesies ini akan berlegar sekitar kedalaman 5 meter dari apungan yang hanyut. Ianya lebih mudah dikesan mengunakan polarized sunglass yang membolehkan jangkauan penglihatan sehingga 2 hingga 3 meter dari permukaan air.
Kebiasaannya apabila kuantitinya terlalu banyak ianya dapat dilihat seperti wujudnya kerumunan hitam berlegar di bawahnya.
Perjalanan ke lokasi
Seramai 12 orang menyertai trip kali ini. Matlamat utama bukanlah hanya ingin menjejak siakap batu ini, tetapi kami lebih tertumpu kepada penghuni demersal yang mendiami lubuk lubuk dalam simpanan tekong Jaman yang cukup berpengalaman di perairan ini.
Setelah dua jam berlepas dari jeti, satu apungan pokok nipah kami temui.
Menggunakan perambut kabel 30lb dan mata kail saiz 4 serta dicangkuk umpan sotong, kami tidak menunggu masa yang lama untuk mendapat strike pertama dari penghuni apungan.
5 ekor siakap batu berjaya didaratkan berskala 2 hingga 3 kilogram. Dalam perjalanan menuju ke perairan antarabangsa teknik trolling dipraktikkan tetapi tiada sambutan langsung daripada tenggiri atau spesies pemangsa lain.
Sedang bot memecah ombak tiba-tiba tekong memperlahankan kelajuan bot. Dilihat seperti ada yang tidak kena pada laluan ini.
Rupa-rupanya terdapat satu apungan yang lebih besar daripada apungan pertama yang kami temui sebelum ini.
Tanpa membuang masa lagi semua pemancing tertumpu ke arah apungan dan umpan di lontar serapat yang mungkin agar ianya jatuh betul-betul hampir dengan apungan tersebut.
Hasilnya, hampir 6 orang menerima strike serentak. Indra yang ketika itu berada di tengah badan bot kelihatan menerima asakan yang lebih hebat.
Kekili bersaiz 4500 memuntahkan tali tanpa henti sehingga sebahagian tali telah keluar dari gelendungnya. Rod aksi ringan melentur mencecah permukaan air.
Mangsa cuba melarikan diri dan menyeret tali ke bawah bot. Bimbang tali sulam berkekuatan 40lb bergesel dibahagian perut bot, Indra sedaya upaya melenturkan joran
mengikut rentak larian mangsa dan cuba membawa mangsa di lapangan yang tiada penghalang.
Hampir 15 minit aksi tarik menarik berlangsung, akhirnya tewas seekor pecah periuk berskala 6 kg. Beberapa ekor juga telah berjaya didaratkan berskala 2-3 kg seekor.
Secara puratanya kami hanya berpeluang melontar umpan disekitar apungan dalam masa 20 hingga 30 minit sebelum apungan tersebut hanyut jauh dari bot.
Sesi apollo
Sesi petang pula, kami di bawa menuju ke lubuk cencaru dan kali ini mata Apollo bersaiz 10 sahaja yang diturunkan kerana cencaru di sini bersaiz sederhana berskala lebih kurang 150 gram seekor.
Henjutan demi henjutan dengan kebanyakkan 6 mata apollo dipenuhi cencaru yang tergoda dengan apollo berbulu hijau.
Hampir 50 kg cencaru berjaya di pancing di lubuk tukun ini sehingga ada yang kepenatan dan tidak mahu lagi melayannya.
Kami membuat persediaan yang lebih rapi untuk sesi waktu malam menggunakan set yang lebih kasar.
Padanan rod 15-30lb dan kekili multiplier 2 kelajuan digunakan untuk menduga penghuni dasar dengan kedalaman hampir 70 meter.
Arus yang agak laju memaksa batu ladung bersaiz 24 diturunkan ke dasar.
Umpan udang lipan dan sotong cumit digunakan untuk sesi pancingan dasar di waktu malam.
Puas menanti, hanya beberapa ekor gerut-gerut sudi menjamah umpan dan juga beberapa ekor gelama bersaiz dibawah 1 kilogram.
Sasaran utama, kerapu, jenahak dan penghuni dasar lain tidak sudi menjamah umpan kami walaupun tekong telah bertukar ke lubuk kedua dengan kedalaman dasar 40 meter.
Akibat dari kelesuan dan tiada getuan langsung diterima dari penghuni dasar, sesi malam dihabiskan dengan tidur untuk ‘mengecas’ semula tenaga yang berkurangan akibat sesi apollo dari petang tadi.
Santapan pagi
Air yang berarus menyorong pasang membuatkan tekong bergegas menuju ke lubuk kapal karam untuk menggantikan sesi malam yang begitu hambar malam semalamnya.
Tepat berada betul-betul di atas kapal karam melalui bacaan kordinat GPS, kami segera melabuhkan umpan menggunakan perambut ala apollo batu di bawah dengan dua mata digantung. Matakail bersaiz 3/0 digunakan.
Belumpun sempat umpan mencecah ke dasar satu sambaran kuat terasa. Bimbang mangsa melarikan diri ke kawasan kapal karam, sentapan kasar dibuat bagi melemahkan mangsa supaya bermain di luar lingkungan kawasan rumah mangsa.
Permainan singkat yang memakan masa sekitar lapan minit berjaya mendaratkan spesies merah berskala 1.5 kg.
Cuaca yang semakin meninggi mengingatkan kami supaya tiba di jeti sebelum air surut semula kerana dibimbangi bot tidak boleh melalui persisir pantai lumpur yang cetek boleh menyebabkan bot kami terdampar di atas lumpur.
Kami tiba di jeti tepat pada waktunya dan bersyukur dengan rezeki yang diberi. Setelah dikira hasilnya hampir 100 kilogram cencaru berjaya dipancing dan hampir 70 ekor pecah periuk dan beberapa ekor spesies lain.
Jika ada kelapangan pasti kami akan kembali lagi ke sini lagi.