Terletak di dalam kawasan Gerik, lubuk Air Gadong boleh dikatakan antara lubuk pancing sungai pergunungan yang sangat berpotensi.
Lokasi ini terkenal dengan spesies seperti tengas, baung, sebarau dan juga spesies bujuk.
Kunjungan penulis ke sini beberapa tahun lalu membuktikan spesies-spesies tersebut masih banyak menghuni kawasan ini.
Oleh kerana agak lama tidak turut serta dalam trip air tawar, pengharapan itu agak tinggi untuk mengubat kerinduan larian serigala air tawar atau henjutan deras sang tengas.
Apatah lagi terbayang-bayang menghabiskan masa pada waktu malam dengan melayan sang baung ditemani kopi panas dan biskut kering.
Peluang datang lagi ke sini saya ibaratkan sebagai siaran ulangan dan spesies sebarau, baung dan bujuk menjadi spesies sasaran utama saya dalam kunjungan ke Air Gadong kali ini.
Kalau dapat kelah, ia satu bonus seperti mana dalam kunjungan terdahulu, namun saya tidak terlalu meletakkan harapan.
Sangka Panas Ke Petang, Hujan Pula Di Tengah hari
Sewaktu tiba di kem utama, air sungai yang agak keruh sedikit sebanyak menggusarkan kami namun tidak mematahkan semangat kami.
Setelah berehat, awal pagi hari kedua, masing-masing sudah bersiap untuk menduga penghuni di sini bersama set pancing di tangan dan bergerak dalam 3 kumpulan kecil menghala ke arah Lubuk Besar.
Tidak lama bergerak, mangsa pertama iaitu seekor bujuk juvenil tewas di tangan Nasrul hasil godaan spinner kos rendah.
Walaupun saiz juvenil, ini merupakan petanda yang baik bagi kami. Lantas semakin rajin balingan sesudu berhampiran struktur kayu.
Selang beberapa ketika seekor sebarau menghentam sesudu Abu Island II 7 gram. Mungkin tak tertahan dek lenggok sesudu yang digayakan oleh AJ. Selepas itu, suasana terus sepi.
Sehingga tiba di Lubuk Besar, balingan demi balingan hanya membuahkan penat. Cuma seekor tengas berjaya dijinakkan berhampiran Lubuk Besar sewaktu hampir tengah hari, juga hasil gelekan sesudu Abu Island II.
Puas kami geledah, malah teknik dasar berumpankan cengkerik juga hanya sesekali dicuit tengas. Berbeza betul berbanding dengan kunjungan terdahulu.
Berita daripada rakan lain juga agak hampa dengan jumlah tangkapan ikan yang tewas.
Cuma Ah Hong berjaya menaikkan seekor sebarau, 2 ekor tengas dan seekor bujuk hasil mengilat. Bujuk itulah juga pengubat duka bagi spesies sasaran pada trip kali ini.
Populasi Lubuk Besar Yang Makin Kecil
Trip kali ini jelas memberikan bayangan tentang keadaan Lubuk Besar di Air Gadong yang makin uzur.
Perbezaan yang sangat ketara dalam jumlah tangkapan dan sambaran sedikit sebanyak menunjukkan populasi ikan di sini semakin berkurang.
Jika dibuat perbandingan dengan trip terdahulu, perbezaan ketara jelas dilihat dalam jangka masa hanya sekitar 2 tahun.
Baik dari segi kuantiti dan juga saiz ikan, masing-masing mencatatkan arah yang negatif.
Benar, pandangan ini bukan angka sebenar tahap sumber perikanan kita, namun sekurang-kurangnya saya menulis berdasarkan pemerhatian saya, yakni apa yang berlaku di depan mata saya.
Dan benar juga, ikan masih menghuni di sini, namun mungkin tidak bertahan lama.
Hasil perbualan penulis dan rakan-rakan ketika memancing dasar pada malam hari, kami merumuskan punca utama keadaan ini ialah hasil aktiviti manusia.
Beberapa orang rakan tidak menolak aktiviti seperti mengebom ikan dan menjaring ikan tanpa kawalan menyumbang kepada penurunan populasi ikan di sini.