Sebaik saya mendapat khabar daripada rakan mengenai toman frenzy di daerah Pilahdifornia (Kuala Pilah) saya bersama geng komplot terus mengatur trip boating di Empangan Kuala Pilah.
Boleh dikatakan empangan di sini memang terkenal dengan lubuk toman dan seawal pagi lagi kami sudah bersiap sedia untuk merasai karen spesies snakehead di sini.
Untuk trip kali ini, sebanyak 3 buah bot fiber disediakan untuk 9 orang yang menyertai komplot kali ini.
Setelah semua peralatan dimasukkan ke dalam bot, kami meneruskan perjalanan ke lubuk yang mempunyai banyak boiling.
Untuk sesi awal pagi ini, rata-rata kami menggunakan gewang top water dan ternyata ia memang benar-benar menjadi.
Hanya 3 kali lontaran sahaja, Buzzbait Eupro VMC saya telah berjaya memujuk “sang negro” keluar dari sarang. Letupan ketika ia menyambar gewang sememangnya paling didambakan.
Larian yang bertenaga memang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ketika matahari terpacak di kepala, kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di pondok sekitar empangan tersebut memandangkan toman tidak aktif ketika ini.
Hasil separuh masa pertama ini boleh dikatakan agak mengecewakan kerana hanya seekor mama dan seekor toman rempit tewas di tangan kami.
Setelah tenaga diperolehi, kami meneruskan sesi second half kami.
Kali ini, saya lagi menjadi pemecah suasana apabila gewang Buzzbait saya sekali lagi berjaya menawan seekor negro bersaiz kurang 4kg.
Tak lama lepas tu, giliran Mohd Hazwan pula berjaya memujuk seekor lagi mama toman. Gewang jenis Risto Rap pula yang disambar sang mama, sekali gus memperbaharui lesen beliau.
Setelah sambaran berkurangan di lubuk tadi kami mengambil keputusan untuk berpindah lubuk.
Suak demi suak kami redah, akhirnya kami berjaya menemui satu lubuk yang sangat frenzy.
Di sini saja tidak menang tangan kami melayan toman bujang. Ada masanya sampai mendapat double strike!
Melayan si bujang di sini membuatkan kami tidak sedar hari sudah lewat petang. Sebelum gelap, kami mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Walaupun hanya trip singkat, tapi banyak suka duka kami di sini.
InsyaAllah bila tiba masanya kami akan kembali lagi dan bermalam di sini untuk memperbaharui rekod dan merasai pengalaman yang lebih ekstrem memujuk sang toman pada malam hari.
(Oleh Zai Max)