Oleh: Ari Kelabau
Seminggu sebelum bertolak ke jeti Tasik Temenggor, kekalutan menyiapkan ‘senjata’ masing-masing amat memuncak.
Dari sudut joran yang nak dibawa hingga kepada ‘peluru’ untuk membedil lubuk-lubuk sasaran.
Tujuannya adalah untuk memburu ‘encik sebarau dan toman ’ yang dikhabarkan bermaharajalela di Tasik Banding.
Pada malam sebelum bertolak, Pengerusi Kelab Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan MPAJ Encik Shahrom Musa telah sudi untuk meluangkan masa hadir untuk melepaskan kami.
Semuanya 28 orang ‘hunter’ dengan menaiki bas coaster MPAJ, sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan sebuah kereta.
Selepas bacaan doa, ucapan ringkas Pengerusi KSKK dan pastinya acara bergambar, kami pun berlepas ke jeti Banding tepat jam 11.45 malam.
baca juga kenali spesies sebarau
Hari Pertama
Dengan dua perhentian di R&R Rawang dan Sungai Perak untuk melepaskan hajat, mengopi atau mengeteh, kami sampai di Gerik jam 5.30 pagi.
Selepas solat subuh di sebuah masjid, kami bersarapan di gerai nasi lemak sotong Pasar Awam Gerik.
Lebih kurang jam 10 pagi, kami telah bersedia di atas ‘boathouse Rafflesia Cruise’ 2 tingkat, untuk memulakan pelayaran selama empat jam menuju lokasi yang telah ditetapkan.
Sepanjang perjalanan para hunter pun menjalankan aktiviti membersihkan senjata serta menyediakan peluru masing-masing untuk menyerang sasaran yang akan ditetapkan kelak.
Ada yang membetulkan kail, memasang kekili, mesin, perambut dan batu ladung. Ada juga hunter yang tak sabar-sabar mencuba senjata masing-masing dengan melakukan teknik casting di atas boathouse yang bergerak perlahan.
Sambil melayan senjata masing-masing, dapat juga mata menikmati pemandangan yang menghijau serta hembusan angin yang nyaman.
Setelah empat jam belayar, maka kami pun sampai ke tempat yang dituju. Tak sempat boathouse nak parking, semua para hunter dah bersedia dengan senjata dan peluru
masing-masing untuk mencari ‘lesen’ dulu sebelum turun ke sasaran. Punyalah excited dan teruja.
Apa lagi semua joran yang ada digunakan untuk menjadi peserta pertama menaikkan ikan dengan pelbagai jenis umpan dicuba. Tiga puluh minit berlalu namun tiada hasil.
Maka cabaran pertama, siapa yang naikkan ikan akan mendapat hadiah RM10.00. Tunggu punya tunggu akhirnya Abang Ram berjaya menaikkan ikan pertama iaitu ikan lampam bersaiz kecil, jadi hadiah tersebut milik beliau.
Selepas itu, ramai yang berjaya menaikkan lesen masing-masing.
Tetapi ada juga yang tak dapat lesen dan ia dijadikan ‘bahan’ kepada mereka yang telah dapat lesen.
Bila boatman bersedia dengan bot-bot kecil maka para hunter dengan kumpulan mereka menuju ke sasaran masing-masing dengan semangat yang membara untuk memburu toman atau sebarau.
Beberapa orang tinggal di boathouse melayan senjata masing-masing yang kadang-kadang ada untung dengan menaikkan lampam atau baung.
baca juga teknik casting tasik cini
Sebahagian daripada kami yang bergerak untuk mandi sungai terpaksa berpatah balik ke boathouse kerana cuaca tak mengizinkan kerana langit mulai mendung dan air sudah mulai keruh.
Selepas itu, hujan pun turun dengan lebat menyebabkan suhu menurun sedikit menjadikan keadaan mulai sejuk.
Bila mendengar enjin-enjin bot kembali ke boathouse, semuanya menunggu dengan debaran siapa yang akan membawa balik ikan terberat atau ikan yang banyak atau langsung tak dapat apa-apa.
Seronok bukan kepalang apabila Jemey dengan bangga menunjukkan ikan toman lebih kurang 2kg yang dapat dibawa naik oleh beliau.
Terdapat juga antara mereka yang menaikkan ikan toman dan sebarau. Hujan yang turun bagaikan mutiara tersebut dibayangi dengan air kopi, teh ‘o’ panas serta biskut dan keropok.
Aktiviti memancing di atas boathouse diteruskan sehingga malam. Apabila senja melabuhkan tirai, pemandangan menarik di sekitar boathouse telah diabadikan dalam handphone masingmasing.
Hari Kedua
Hujan lebat yang turun sebelah malam telah menyebabkan air naik dan menjadi keruh. Pagi yang dingin dan sunyi menyebabkan suasana menjadi lembap.
Pemandangan menjadi sangat menarik dengan awan serta kabus yang menyelubungi bukit bukau menjadi subjek foto yang menarik.
Setelah semua bersedia, masing-masing melompat masuk ke bot masing-masing menuju lubuk sasaran.
Bagi yang tidak menyertai bot-bot tersebut, maka aktiviti memancing diteruskan di atas boathouse sambil menikmati pemandangan pagi sambil melayan suara unggas dan keletah monyet, burung enggang dan helang.
Pada sebelah tengahari setelah bot-bot hunter kembali ke boathouse, tekong telah membawa boathouse ke tempat yang baru kerana air sekitar yang deras dan keruh tidak sesuai untuk memancing.
Makan tengah hari kali ini agak special di mana chef Khamis telah menyediakan menu istimewa iaitu nasi beriani kambing masak kuzi, sayur, keropok dan sambal. Apa lagi kami makan dengan berseleranya hingga ada yang bertambah-tambah.
Selepas makan tengah hari sekali lagi para hunter menuju ke lubuk untuk mencuba nasib menaikkan sebarau atau toman.
Mana yang ada di boathouse, sekali lagi aktiviti memancing diteruskan dan ada yang melelapkan mata.
Bila para hunter kembali, masing-masing sibuk dengan hasil tangkapan atau ada yang berlenggang tangan maka mereka riuh-rendah menceritakan pengalaman masing-masing.
Pada sebelah malam, kami melayan hal masing-masing. Makan malam yang disediakan menyajikan lauk pauk hasil tangkapan dengan menu filet toman sweet & sour serta masak lemak cili api ikan sebarau, lampam dan baung.
Masih ada yang melabuhkan joran untuk mencuba nasib. Kebetulan ada rakan yang membawa movie dimuatkan dalam pendrive, memang layan la dan kemudian disusuli dengan sesi karaoke.
Sesi karaoke tersebut telah memecah suasana hening malam gelap gelita yang ditemani dengan alunan muzik rimba.
baca juga khasiat ikan toman
Hari Ketiga
Jam 5.00 pagi kami dikejutkan dengan bekalan elektrik terputus yang menyebabkan sebahagian kami terjaga dan mula mencari bilik air dalam keadaan yang gelap gelita.
Selepas sarapan pagi nasi lemak yang disediakan oleh chef Khamis, para hunter sekali lagi menaiki bot dan menuju ke lubuk yang dijangka ada ikan untuk kali yang terakhir sebelum pulang ke jeti.
Mana tahu ada yang dapat menaikkan ikan lebih berat daripada hasil sebelum ini.
Ada yang berjaya dan ada yang pulang hampa. Bagi yang memancing di boathouse, beberapa peristiwa mata kail tersangkut pada batang kayu di dasar tasik dan terpaksa tali pancing diputuskan.
Terdapat juga peristiwa di mana sang ikan melarikan joran ke dalam tasik. Jam 10.00 pagi tekong kemudiannya bertolak pulang ke jeti dan para hunter dan yang lain-lain berkemas dan bersedia untuk check out setiba di jeti.
Dalam perjalanan pulang dan bot mulai bergerak, pihak penganjur telah mengadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang berjaya menaikkan ikan terberat.
Tempat keempat disandang oleh Adnie, ketiga Black, kedua Fendi Keting dan tempat pertama dimenangi oleh Jemey.
Jam 12.00 tengah hari kami selamat sampai ke jeti Banding dan setelah berlabuh serta barang-barang diletakkan dalam kenderaan kami bertolak menuju ke Kuala Kangsar untuk makan tengah hari. Kami selamat sampai ke Menara MPAJ jam 9.00 malam.
Trip kali ini walaupun tidak mendapat hasil yang memberangsangkan, namun ia tetap berjaya menitipkan pengalaman suka duka sebagai pemancing serta pencinta alam semula jadi yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Ia tidak berakhir di sini dan penganjur exco rekreasi KSKK telah merancang dan menjanjikan destinasi yang lebih menarik dan mencabar.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan