Walaupun kerap dan biasa memancing di perairan Selat Melaka di sebelah Utara tanah air, tetapi perasaan untuk mencuba di padang pancing berlainan tetap bergelora.
Ekoran daripada itulah satu trip telah diatur oleh kelab SFC untuk menguji kehebatan makhluk air masin di Kemasin, Bachok, Kelantan. Sasaran kami sudah semestinya ikan-ikan terbaik seperti ebek, tenggiri, jenahak, kerapu dan sebagainya.
Tekong pilihan kami ialah Asri atau lebih dikenali sebagai Mat Yie. Seorang tekong yang berpengalaman dan mahir dengan perairan berkenaan. Dua orang awak-awaknya iaitu Pak Chop dan Farid turut serta dalam trip kami.
Sebenarnya hamir setahun jugalah kami menempah bot Mat Yie, takut kalau-kalau ditempah dahulu oleh kaki pancing lain.
Kami seramai 9 orang tiba di Jeti Kemasin lebih kurang 3.00 petang selepas mengharungi perjalanan 5 setengah jam dari Pulau Pinang melalui Lebuhraya Timur Barat.
Apabila bot sudah diisi bekalan air tawar dan stok air, kini tiba masanya untuk memulakan misi kami. Kira-kira 5.00 petang bot mula bergerak. Sejam perjalanan tekong memberhentikan bot dan menyuruh kami memulakan aktiviti menyandat.
Kami mula menurunkan candat payung dan ada yang menurunkan candat mayat. Teknik mencandat adalah sama seperti bermain apollo. Cuma henjutan perlulah perlahan sedikit.
Lepaskan candat sampai ke dasar dan karau 2-4 pusingan dan mulakan mengunjun. Jika terasa berat atau ragutan jangan membuat sentapan. Cukuplah dengan terus mengarau kekili tanpa henti sehingga sotong dinaikkan.
Sotong candat yang bersaiz sejengkal disimpan di dalam bekas umpan hidup yang disediakan.
Tukar Plan
Memandangkan umpan sotong hidup tidak mencukupi, tekong mula mengubah tempat ke tengah laut untuk mencari stok umpan sotong bersaiz besar.
Perjalanan untuk ke lubuk sotong ini mengambil masa sejam. Di sini kami tidak lagi menggunakan candat payung. Sebaliknya menggunakan candat mayat merah putih dan di bawahnya diletakkan candat twist atau ladung.
Sotong bersaiz besar ini akan dipotong dan dibuat jurauan untuk pancingan bottom. Telong melihat stok umpan tidak terlalu banyak tetapi cukup untuk dibuat pancingan.
Satu perbincangan kecil antara saya dan tekong berlangsung sama ada hendak ke Redang atau Kapal Salleh. Memandangkan Redang masih jauh dan stok umpan sotong yang terhad, tekong mengesyorkan pergi ke kapal karam Kapal Salleh.
Memang perancangan awal kami untuk ke Redang tapi apakan daya stok umpan hidup menjadi penghalang.
“Karau!” teriak saya kepada rakan-rakan untuk menuju ke lokasi kapal karam Salleh yang memakan masa satu jam setengah lagi.
Kapal Salleh
Menurut cerita orang lama di kawasan ini terdapat sebuat bot nelayan milik Salleh yang telah karam. Sebab itu tukun ini ditandai dalam GPS bot pemancing sempena nama pemilik bot yang karam.
Tiba di lokasi, senjata mula dihulurkan mengikut citarasa sendiri. Ada yang membottom, casting dan mengunjun jig. Serangan mengejut pada subuh hari membuatkan semua orang kelam kabut dibuatnya. 5 set joran melentuk-lentuk menyembah lautan sekaligus.
Empunya joran menahan asakan padua entah apa jenis ikan dari melepaskan diri. 3 jentera bangla dan 2 jentera manual menjadi pilihan pertama serangan mengejut ini.
Banax Kaigen 1000 milik Azhar diasak teruk dan akhirnya putus mainline kerana musuh menyelinap masuk kawasan buluh yang penuh dengan berangas (sejenis siput cengkerang tajam yang melekat pada buluh).
Begitu juga dengan Pak Chop turut tewas. Meletup tali kekili Ryobi Kaiver 8000 beliau disebabkan mainline mono terputus.
Ketika Faizal tengah menahan asakan tiba-tiba kekili bangla Daiwa Tanacom GS80 slop sebentar membuatkan beliau terpaksa membuat henjutan kasar bagi mengelakkan mangsa menyelinap masuk ke kawasan buluh.
Ternyata teknik itu berjaya melemahkannya sehinggalah kelibatnya nampak di permukaan.
Habuan untuk Faizal, aruan tasik seberat 16.8kg berjaya didaratkan. Kekili bangla Miya Command x4 milik Roslee juga turut bekerja keras mengarau. Gaya permainan dan sentapan sudah dapat diteka dan akhirnya spesies sama seberat 8.5kg berjaya dinaikkan.
Kini giliran saya yang masih terkial-kial menahan asakan aruan tasik yang tak henti-henti memuntahkan tali 60lb. Almaklumlah guna kekili manual Ryobi AP Power II 8000. Joran dipam sambil mengarau sedikit demi sedikit sehingga menampakkan kelibat aruan tasik yang kepenatan.
Akhirnya ikan selamat didaratkan. Selepas ditimbang ia seberat 13.6kg, cukup puas bagi saya apabila beraksi hampir 20 minit.
Hari semakin cerah, kerancakan aksi memancing masih berjalan lancar. Kali ini umpan sotong hidup menjadi taruhan. Tekong turut serta menaruh nasih dengan hanya menggunakan koyan. Baru 5 minit beliau melabuhkan umpan sudah mendapat ragutan. Berlaku satu pergelutan dan awak-awak sudah standby dengan gancu.
Kiri kanan joran harus dikarau naik supaya tidak bersimpul tali. “Ebek keno doh,” seloroh Mat Yie. 10 minit keudian muncul jua ebek di permukaan air. Setelah ditimbang beratnya boleh dibanggakan iaitu sekitar 10kg.
Ebek mengena lagi, kali ini ia memilih joran milik Yazid pula. Joran dipam dan dikarau berulang kali sehingga ebek berjaya didaratkan. Beratnya 9.4kg hampir sama dengan berat ebek Mat Yie.
Selang beberapa minit kemudian umpan saya dan Suaznor dibaham rakus. Rod melentuk membuatkan saya terpaksa bekerja keras lagi. Perambut dawai lembut 40lb, shockleader 90lb dan mainline 60lb memang tiada harapan cobia ini melepaskan diri.
Karauan dibuat dengan berhati-hati sambil mengepam, sekali sekala ia meluru ke bawah kembali dan terpaksa bertahan sehingga ia letih. Akhirnya spesimen seberat 9kg berjaya didaratkan. Suaznor pula berjaya menaikkan spesimen 11.4kg.
Malam itu kami cuba mencandat di satu kawasan sambil ditemani beberapa buah bot lain. Malangnya belum puas mencandat, kami dikejutkan dengan kehadiran beberapa buah bot pukat tunda dengan selamba membolot hasil disekeliling kami dan akhirnya tekong mengambil keputusan meninggalkan kawasan tersebut sambil ke lubuk Kapal Salleh.
Kena Serang Lagi
Sebaik saja sarapan pagi, senjata masing-masing dihulurkan. Umpan sotong yang dibuat juraian dicangkuk dengan mata kail saiz 5. Desingan bunyi drag membuatkan semua orang berpaling ke arah bunyi tersebut.
Rupanya joran milik Hj Man yang mengena. Tuah kekili dan rod baru memang tidak menghampakan. Aruan tasik seberat 9.7kg menjadi mangsa beliau. Tangkapan lain pada pagi hari itu seperti jemuduk, yu dan kaci bersaiz remaja. 20 minit kemudian, Hj Man sekali lagi mendapat strike kasar sekaligus membuatkan rakan lain cemburu.
Jam 2.00 petang misi ditamatkan dan bot mula meninggalkan kawasan pancingan. Kesempatan ini kami manfaatkan untuk berkemas dan membersihkan badan.