Trip Retro – Trip Oil Rig Selepas Ribut!!

Share

 

Oleh: Oyabun

 

Melihat fenomena sebegini ia seperti apa yang pernah dialami ketika berada di laut Sabah awal tahun lepas.

Tatkala ramai yang menunggu di hadapan joran yang melenggok gemalai, penulis mengintai gelagat mereka dari tingkat atas kabin yang kosong.

 

Lebih mencabar apabila menaip artikel dalam keadaan ribut dan hujan di luar sana. Botol air mineral bergolek dari hujung ke hujung kabin.

Malah laptop turut sama ingin mengikuti alunan buaian bot ke kiri dan kanan. Manakala pemandu yang bakal menempuh perjalanan darat pula memilih untuk memaksakan diri lena dibuai mimpi buruk di tengah kekalutan ribut barat laut melanda.

5 hari terapung di dalam bot dengan pakej yang lengkap.

 

Alun besar

Lengkap dengan dugaan dan cabaran sepanjang trip berlangsung. Hambar aksi yang dimimpikan setiap malam, menanti sepanjang malam yang kosong.

Suku perjalanan cukup lancar dengan laut tenang memberi semangat pasukan menyiapkan peralatan pancing untuk pertempuran nanti.

Masuk suku kedua hujan mula mencurah lebat sehingga menyerlahkan kabin bot yang banyak tiris. Disusuli pula alun 3 meter. Ia kemudiannya berterusan sepanjang trip.

 

Alun yang mampu menumbangkan kekuatan mental pemancing sehingga mabuk dan pening boleh mencapai tahap ICU.

Khabarnya air cukup tenang bak kaca seminggu sebelumnya. Ikan pula amat galak di akhir musim mengail.

 

Perancangan mengadakan trip dalam tempoh kurang dari 3 bulan bukanlah tugas mudah untuk mencari satu pasukan untuk melengkapkan kuota bagi meringankan bebanan kos.

Ini adalah sedikit coretan perjalanan trip terbaru selama 4 malam di Laut China Selatan ini.

 

Pertama kali melihat pelantar minyak dari dekat pada malam pertama mengujakan buat sesetengah individu.

Bagi kaki pancing tiada apa yang dimimpikan selain sentuhan ikan ketika joran berada dalam genggaman.

Tapi apakan daya kuasa alam milik yang Maha Esa. Alun dan angin menggila menidakkan impian seorang pemancing.

 

Walaupun bot dapat berlabuh di tepian limpahan cahaya lampu pelantar dalam suasana terumbang ambing, ia bukanlah kedudukan yang sesuai.

Walaupun belakang bot menghala ke pelantar tetapi arusnya ke arah tali sauh.

 

Maknanya bot berlabuh di belakang kepala arus. Bila arus dan angina menyongsang, alun dan keputihan buih ombak memenuhi kawasan sekeliling.

 

Lubuk Sunyi sepi

Riak ikan di permukaan langsung tidak kelihatan. Dalam suasana sedemikian, digagahi juga menurunkan kepingan jig yang menjadi kegemaran cupak.

Waktu ini, kena berhati-hati, tersilap langkah boleh terhumban ke laut ketika berjigging pada tahap cuaca kategori ribut.

Manakala yang kaki layan dasar tetap bersemangat hulur umpan tanpa mengira alam sekeliling.

 

Hujan atau ribut soal kedua, hajat dan misi mesti dipenuhi. Beberapa kaki jig mula memperlahankan rentak, hilang satu persatu apabila aksi jig di belakang arus tidak mendapat sambutan.

Banyak jig yang dibeli sebelumnya langsung tidak terusik. Dalam suasana terumbang ambing, sekor aruan tasik bersaiz gadang menambahkan lagi perit dan derita pemancing.

 

Ia enggan mengalah dan sering berlegar di permukaan sekaligus mengaut banyak tali pancing orang lain.

Keadaan laut bergelora memaksa pemancing mengalah memotong tali yang berpintal sesama sendiri termasuk tali pancing sang aruan tasik.

 

Khayalan untuk berpesta di malam hari dengan pelbagai aksi masih belum ditemukan malah bak seperti cuaca ia berterusan menjadi mimpi buruk untuk 3 malam yang berikutnya. Aduhai…

 

Percaturan alam bukan hak milik pemancing, atas dasar tersebut ramai tetap menggagahi semangat untuk memancing.

Masing-masing terus mengharapkan ungkapan “ini kalilah” ketika setiap kali bot berpindah dari satu lubuk ke satu lubuk.

 

Dengan semua jenama kekili eletrik terdiri dari Command X4, X5, X6, Command AT5, Command ACs, SHIMANO 4000H, SHIMANO BeastMaster9000, Daiwa 500SP, Daiwa

Tanacom Bull 750, Daiwa Tanacom1000Fe dan BANAX Kaigen dipertaruhkan sepanjang trip.

 

Bermula dari sepanjang malam yang boleh dihitung dengan jari hasil yang berjaya di pancing, siangnya pula lebih banyak ‘membangau’ di celah riak ombak berirama sayu.

Setiap kali berpindah banyak masa terbuang menanti sentapan seekor ikan. Dengan jumlah lebih dari 20 jenis umpan yang terhulur ke dasar, kadar ragutan pula adalah kurang dari 10%.

 

Pindah lubuk

Dalam 5 kali pindah barulah ketemu dengan seekor dua kerapu dan merah yang menjadi sasaran pemancing di atas bot.

Tidak seperti dahulu apabila satu lubuk yang diziarah boleh dapat berbakul hasil. Kali ini satu lubuk gerenti dapat lepak dan santai sepuasnya sehingga tekong membunyikan hon “karau” pindah kira-kira 30 minit hingga 2 jam ke lubuk baru.

 

Jemu menanti teknik apollo berumpan hirisan sotong pun jadi sebagai selingan adegan geli-geli.

Baju dipakai kejap basah dan kering dalam cuaca hujan dan panas berselang seli. Tatkala ramai mengharapkan ikan yang bersaiz berkilo-kilo, tekong pula lebih menumpukan kumpulan ikan cermin dibawa pulang.

 

Pun begitu jumlah ikan cermin yang biasanya mudah dipikat dengan apollo 3 mata terus merudum jika di banding dalam trip sebelumnya. Mana pergi ikan?

Sama ada ketentuan atau kebetulan alun yang membadai kami adalah kesan dari taufan di Filipina namun ianya jarang mempengaruhi mood ikan dengan umpan.

 

Bulan mengambang penuh dengan air besar mengikut jadual pasang surut tapi di sini arus boleh dikatakan lemah sekali.

Ia pula sentiasa berlawanan dengan arah angin yang melanda.

 

Tentunya tekong juga mengalami kesukaran untuk parkir tepat pada kedudukan.

Tapi pengalaman kami yang lepas-lepas biasanya sebelum bot beralih kedudukan, umpan pertama yang cecah dasar adalah hampir tepat dengan spot di lubuk dan ia jarang dinaikkan dengan hasil yang kosong.

Banyak rekod merah gadang diperolehi melalui teknik begini.

 

“Ketua” ikan merah akan terlebih dahulu menyerang umpan yang jatuh di kawasannya sebelum diikuti oleh ahli kumpulan.

Petua ini menjadikan ramai pemancing berebut untuk menurunkan umpan sebaik sahaja isyarat “on” kedengaran.

Dalam trip ini hanya dua kali sahaja kami dapat habuan begini dengan satu lubuk pada hari kedua dengan dua ekor merah mengena pada dua pancing.

 

Di spot yang berlainan pula mengena pula dua ekor kerapu juga serentak untuk joran yang berlainan pemilik. Yang aneh, tiada lagi apa-apa strike selepasnya.

Kalau kawasan karang persoalannya kenapa banyak ikan tok mudim yang menyambar umpan?

 

Semua yang berada di atas bot termasuk tekong berusaha keras selaras dengan peranan tugas masing- masing.

Terkadang kala pemancing disergah tekong apabila tidak menurut kata dan usul yang disarankan olehnya.

Banyak persoalan yang timbul di benak penulis, cuma malas nak diajukan pada tekong kerana bimbang masalah lain akan timbul.

 

Mengalah kerana beliau saban minggu menakluki kawasan sekitar dan lebih banyak pengetahuan dari kami pemancing semua.

Namun begitu tekong juga perlu mengambil kira kemahuan pemancing mahupun pelanggan untuk meredakan gian menggila sebelum trip.

 

Perundingan muafakat perlu diatur bagi mengelakkan kepincangan program serta dapat mesrakan lagi suasana.

Akur ketentuan Illahi Sepanjang 120 jam masa yang dihabiskan di dalam bot, hanya 30 minit sahaja kami menemui sentuhan jackpot. Tak menang tangan dibuatnya.

 

Cecah umpan di dasar terus diragut merah saiz purata 2kg, dua ekor serentak satu perambut.

Taruk makan taruk makan sehinggalah ia senyap dan hilang tidak lama selepasnya. Dalam waktu tersebut hasil yang diperoleh lebih dari 80% dari hasil keseluruhan sepanjang trip.

 

Usaha dan tawakal di samping rezeki dari Allah tatkala waktu itu menceriakan lantas menutupi hampir sepenuhnya waktu yang suram sebelumnya.

Apa-apa pun kami akur dan terima ketentuanNya dengan rela hati. Mungkin ada yang merasa serik untuk bertandang ke mari dan ada juga yang tidak patah semangat untuk kembali lagi. Pisang khabarnya tidak berbuah dua kali.

 

Selain itu ramai juga kurang prihatin dengan teknik yang betul serta persembahan umpan dalam proses memikat ikan idaman.

Bila waktu laut terlalu jernih maka perambut lebih halus dan tidak jelas ketika di dalam air memiliki peluang lebih tinggi berbanding yang malas tukar perambut kasar 100lb sepanjang waktu walaupun saiz ikan yang ketika itu dipancing kurang dari 5kg.

Apa pun pengajaran dan pengalaman yang ditimba ketika di lautan mampu dijadikan inspirasi untuk kejayaan pada trip mendatang.

 

Tirisan air dari celahan bumbung bot semakin teruk, ribut barat terus menggila di luar sana, menaip dalam suasana sebegini amat membebankan.

Cara terbaik ialah mengakhiri sahaja coretan ini sambil duduk peluk jaket keselamatan.

 

 

baca juga Trip Trobek – Rezeki Senangin Selepas Hujan

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang