Sesampainya di spot, kami semua melabuhkan umpan sotong yang baru diperoleh tadi. 10 minit berlabuh, akhirnya joran Juslin digetu oleh sang dasar.
Dengan tarikan kurang agresif akhirnya Juslin berjaya menaikkan kerapu seberat hampir 600 gram.
Saya yang menggunakan teknik jigging turut mendapat sambaran. Kelam kabut penulis melayan asakan sang misteri dasar yang mengakibatkan hanya suku lagi braided line yang tinggal di spool.
Setelah hampir 5 minit bertarung, akhirnya sang kerapu seberat hampir 3 kg menampakkan diri.
Kenangan manis buat penulis kerana ini ialah lesen pertama menaikkan kerapu menggunakan jig.
Selepas aksi memancing hambar selepas itu, kami sepakat berpindah ke muara sungai untuk sesi trolling dan casting.
Tidak lama menunda di satu kawasan anak sungai, kekili Pioneer Altitude Prestige milik Hasnor berdesing memuntahkan tali mengejutkan pemancing yang lain di atas bot.
Hampir 3 minit pertarungan, GT dianggarkan 1.5kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Storm Thunder Crank warna clown.
Walaupun menggunakan set yang agak heavy, kehebatan GT melarikan diri masih berjaya membuatkan Hasnor kelam kabut meleraikan pertarungannya.
Tiba-tiba kami semua dikejutkan dengan aksi Juslin dengan set castingnya di hadapan bot dengan gewang ekonomi Bakau Jointed Red Headnya yang disedut dengan bunyian boof!.
Tidak sampai 5 saat pertarungan, gewang Juslin melompat di atas air. Rabut. Terkejut kami setelah gewang ditarik split ring dan treble hook gewang beliau hilang entah ke mana.
Ujar tekong, kes patah split ring dan hook ini mungkin disebabkan angkara siakap atau selungsung, nama panggilan orang Sabah yang cukup terkenal dengan sifat rakusnya.
Juslin yang tidak berputus asa kembali melontarkan gewang yang sama ke satu suak kecil disambut kasar penghuni bakau.
Akhirnya setelah puas mengepam kekili Pioneer Karman 2000 akhirnya seekor siakap merah seberat 2 kg yang merupakan siakap merah tunggal kami pada trip ini.
Memang Juslin cukup bertuah kerana gewang yang digunakan tidak mempunyai hook belakang. Itulah namanya rezeki.
Takut berlaku misshook, Juslin dengan segera memasang hook belakang menggunakan treble hook extra.
Namun disebabkan terlupa membawa split ring, terpaksalah idea kreatif dijana. Hasilnya Juslin menggunakan snap atau pin sebagai pengganti split ring.
Ya memang betul rezeki tidak ke mana. Sekali lagi balingan Juslin menuju satu reba yang sunyi disambar rakus sang kerapu. Hanyir betul gewang Bakau Jointed ini.
Azrul yang dari tadi senyap terus mendapat sambaran daripada baby kerapu di satu suak menggunakan gewang Salmo Butcher warna Fire Tiger.
Sedang asyik casting dan trolling, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Berkat pengalaman tekong Ruby yang tahu selok-belok kawasan sungai telah membawa kami ke satu kawasan teduhan di tepi bukit menunggu hujan reda.
Selepas hujan reda, sesi trolling diteruskan menuju ke arah laut dalam perjalanan pulang ke Jeti Beluran.
Hampir 1 jam menunda tiada hasil, akhirnya sekali lagi joran Daiwa Palie bengkok menahan larian ikan.
Pertarungan hampir 3 minit hingga ke bawah bot, akhirnya sekali lagi gewang Strike Pro Alpha Minnow 95 Red Head berjaya mendaratkan seekor barracuda bersaiz kasar, dianggarkan seberat 3kg.
Bahagian belakang bot dimeriahkan lagi dengan kerapu yang dinaikkan tekong menggunakan Rapala TDD9 Parrot.
Juslin yang memulakan trip kami dengan ‘first catch’ GTnya menggunakan gewang Halco Sorcerer sekali lagi mengakhiri trip ini dengan menggunakan gewang Halco Sorcerer yang
berjaya menaikkan seekor barracuda anggaran seberat 2kg selepas hampir 2 jam kami menunda.
Dengan selamatnya barracuda dinaikkan ke atas bot, berakhirlah trip newbies yang betul-betul memberi seribu macam kenangan manis buat kami yang pertama kali menduga penghuni air masin ini.
Terima kasih daun keladi Azrul atas trip yang bermakna ini.