Kebiasaannya setiap kali trip memancing, kereta atau pacuan empat roda menjadi kenderaan rasmi untuk membawa kami ke lubuk atau spot memancing.

Kalau tempat yang dituju jauh memang terasa penat memandu terutama ketika pulang. Oleh yang demikian, kali ini kami memilih untuk menaiki bas dan membawa kami dari Shah Alam ke Alor Setar.

 

Untuk mengelak kepenatan memandu pergi dan balik, Hazrizal bersama lima lagi rakan iaitu Pachai Ramli, Fithry, Zai Maxx, Dude dan Bahar nekad menaiki bas ekspres menuju ke Alor Setar.

Setelah beberapa jam perjalanan, kami tiba di Terminal Shahab perdana dan beberapa rakan dari Geng Micro Mega Caster menyambut ketibaan kami sebelum membawa kami ke homestay untuk berehat.

 

Pagi esoknya, kami semua menuju pula ke Jeti Kuala Kedah dan sempat singgah untuk merasa sarapan nasi lemak ikan temenung.

Fuhh, terangkat beb! Trip kali ini sebenarnya dibuat untuk memburu tenggiri di Tuas Payar.

 

Kami masing-masing begitu teruja ketika sarapan apabila mendengarkan cerita bahawa tenggiri menjadi sejak minggu lepas.

Sebanyak tiga buah bot digunakan dalam trip kami dan penulis menaiki bot kedua bersama-sama Bang Cik, Fithry, Bahar, Pachai dan Zai Maxx.

 

 

Tiba di kawasan tuas, seperti biasa acara apollo bermula untuk mencari umpan hidup terutama selar dan kembung.

Namun kali ini spesies cencaru mendominasi hasil apollo melebihi selar dan kembung.

Saiznya pula memang besar dan cukup puas jika dilayan dengan jig mikro. Setelah umpan hidup diperoleh, masing-masing mula memasang teknik untuk memburu sang tenggiri.

 

baca juga Mengenal Tabiat & Habitat Tenggiri

 

Berbagai teknik digunakan selain teknik popular iaitu drift atau menghanyutkan umpan hidup menggunakan belon.

Penulis pula memilih teknik jigging dan jig cast sementara beberapa rakan lain ada yang menggunakan teknik casting gewang serta casting umpan kembung dan ikan temenung.

 

Beberapa ekor tenggiri berjaya dihenjut naik namun saiznya agak mengecewakan, kata orang masih juvenil lagi.

Tak lama kemudian, tekong bot iaitu Mat Bujai mendapat strike daripada seekor tenggiri yang agak besar.

Namun sayangnya perambut berjaya diputuskan oleh gigi sang tenggiri yang tajam biarpun sudah hampir dengan bot.

Kemudian giliran Bang Cik pula untuk kempunan setelah seekor tenggiri sekitar 6kg terlepas apabila tali terbelit pada kipas bot sebelum putus.

 

 

Selepas itu hanya tenggiri bersaiz 1kg-3kg sahaja yang dinaikkan. Spesies belitung nampaknya mendominasi trip tenggiri kami.

Ketika memancing, kami terserempak dengan kawanan paus dan layaran berhampiran tuas dan menurut tekong, kehadiran ikan paus dan layaran menyebabkan tenggiri takut untuk masuk ke tuas.

 

 

Sedang asyik bercerita hal ikan paus dan layaran, joran Mat Bujai dengan teknik drift belon tiba-tiba disentap oleh layaran.

Namun sayangnya hanya sempat melayan seketika apabila dengan pantas pemecut lautan itu membawa tali ke tiang tuas untuk diputuskan.

 

Menjelang petang angin semakin kuat dan air semakin berkucah lantas kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti.

Di jeti, rakan-rakan dari bot 1 dan 2 juga mengatakan tenggiri agak kurang berbanding minggu lepas namun mereka masih berjaya menaikkan tenggiri bersaiz 8 kg.

 

baca juga Trip Retro – Tenggiri Makan Petang

 

Setelah mandi dan bersiap, kami sempat dibawa oleh Bang Cik selaku chief trip ini untuk ‘pekena’ nasi kandar, menu wajib jika berkunjung ke sini.

Terima kasih juga kepada geng Micro Mega Caster dan Team Akula yang mengalu-alukan kunjungan kami serta melayan kami sepanjang trip naik bas ke tuas ini.

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan