Kebiasaannya kita mengimpikan perjalanan dan hasil trip yang memuaskan walhal kita tahu memancing adalah satu percaturan yang kesudahannya tidak diketahui.

Rezeki itu semuanya datang dari Yang Maha Esa dan kita hanya jadi perancang sesuatu trip.

 

Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

 

Lokasi Kumpau 1 – Sungai Selangor 

 

Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil.

Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.

 

Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia.

Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.

 

Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

 

Lokasi Kumpau 2 – Sungai Bentong, Pahang

 

Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.

 

Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur.

Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.

 

Ads

Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai.

Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang.

Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

 

Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami.

Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.

Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.

 

Lokasi Kumpau 3 – Sungai Tekai, Pahang

 

Mendengar cerita-cerita daripada mulut Zahar, anak peneroka Felda Kota Gelanggi telah membuatkan kami teruja untuk meneroka spot ini.

Menurut Zahar, ikan kelah, sebarau, tengas dan lain-lain banyak mendominasi sungai pergunungan ini.

Cuma cabaran untuk meneroka tempat ini adalah dengan hanya menggunakan motosikal kerana ia perlu melalui denai yang mungkin telah lama tidak dilalui.

 

Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini.

Ads

Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

 

Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan.

Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi.

Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!

 

Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway.

Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler.

Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.

 

Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai.

Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

Ads

 

Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan.

Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.

 

Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini.

Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.

 

Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami.

Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami.

 

Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan. Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk

membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!

 

Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya.

Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit.

Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.

 

Trip Retro – Trip Kumpau Kuasa 3

 

Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan.

Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.

Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya.

 

Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.

(Catatan: Mohd Fadzil)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI