Trip Retro – Trip Dulang Kechil Yang Berbaloi (part 2)!!

Share

 

Trip Retro – Trip Dulang Kechil Yang Berbaloi (part 2)

Mad Nord juga tidak ketinggalan apabila bertukar menggunakan peluru berantai (mata appolo) kepada sebutir peluru yang berbulu. Aksi casting beramai-ramai di atas bot memang tidak digalakkan.

 

Ini menyebabkan perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Sebelum membuat balingan mesti lihat keadaan sekeliling atau memberitahu rakan sebelah supaya memberi laluan untuk lontaran anda.

 

Melihat keadaan yang agak sesak dengan lontaran-lontaran liar, saya mengambil keputusan untuk berhenti aksi casting dan mula memasang satu strategi baru iaitu menggunakan teknik hanyut atau drift.

Dengan menggunakan teknik ini dapatlah saya merehatkan badan dari penat lelah casting dari tadi.

 

Sedang masing-masing rancak melontarkan, kali ini strike berpihak kepada Hj Salleh. Dia yang menggunakan teknik casting ikan temenung yang dibeli di pasar yang menggunakan 3 mata kail.

 

Jika menggunakan kaedah ini karauan hendaklah dibuat secara perlahan tidaklah selaju menggunakan peluru torpedo. Ini menampakkan umpama ikan yang dikarau seolah-olah sedang sakit (tidak boleh berenang laju).

 

Suasana kembali rancak dengan Pak Long mula strike diikuti dengan Mad Nord, masing-masing strike anggaran sekilo hingga 2 kg. Mereka menggunakan peluru torpedo sebagai senjata utama untuk menewaskan mangsa di sini.

 

Lunch Di Restoran Terapung

 

Jam menunjukkan 2 petang, agak lewat waktu makan tengah hari. Ini semua gara-gara berpesta dengan sang tenggiri yang sedang mengamuk. Abang Di mula mengambil seekor ikan tenggiri untuk menyiang untuk santapan kami.

 

“Seekor mana cukup Abang Di, nah tambah lagi seekor” ujar Din kepada tekong.

“Mentang-mentang la tenggiri banyak, kenduri la hampa noh,” balas Abang Di.

 

Menu kali ini adalah gulai ikan tenggiri fresh bertemankan kacang bendi. Chefnya adalah Abang Di sendiri. Suasana tidaklah sehebat seperti di dapur hotel 5 bintang yang serba lengkap tidak seperti dapur ala koboi bot Abang Di.

 

Masakan Abang Di memang terangkat, terutama ketika bab tumis menumis rempah ratus, bau keharumannya seolah-olah memanggil kami untuk menikmatinya. Ikan pula baru tidak seperti di hotel stok ikan dah lama kena kurung dalam peti berhawa dingin.

 

Abang Di meminta air 100 Plus kepada Din supaya dihulurkan kepadanya. Takkan dalam proses pembedahan tenggiri haus lupa kot, itulah fakta yang bermain di fikiran saya. Rupa-rupanya air 100 Plus digunakan untuk membuang hanyir ikan tersebut.

‘Mag Giver’ juga Abang Di ni dikala bahan yang kita sering dengar tiada di atas bot seperti limau, tepung, asam dan macam-macam lagi untuk membuang hanyir ikan.

 

Nasi pula ditaja oleh Pak Long yang ditapau dari rumahnya. Jelas Pak Long 2 kg beras telah dimasak untuk bekalan kami di sini. Memang kenduri la kami. Terima kasih kepada Pak Long kerana atas pemberian ikhlas anda. Jasamu akan dikenang.

 

Pukul 3 petang jugalah kami baru sarapan tengahari. Dengan satu jenis menu ini sudah cukup mengenyangkan perut kami.

Sungguh menyelerakan masakan Abang Di walaupun hanya satu menu sahaja, dinikmati pula di atas restoran terapung bertemankan belaian angin laut yang sungguh mengasyikkan.

 

Ketika Mad Nord menikmati hidangan tengah hari, tiba-tiba joran milik Hj. Salleh menerima sentapan hebat yang menyebabkan jorannya melentok sehingga mencecah air. Berlaku aksi perlawanan tarik tali antara 2 makhluk berbeza ini.

 

Ikan temenung pasar yang dipotong dua menjadi umpan istimewa bagi teknik bottom yang menggunakan perambut 50lb dan tali utama 30lb. Berbekalkan jentera Banax 5000 dan rod Vipernya sudah cukup untuk melemahkan mangsa dari melepaskan diri.

 

Pertarungan berlaku kira-kira 10 minit akhirnya timbul juga untuk memperkenalkan diri di permukaan air. Satu spesies yang dipanggil jenahak seberat hampir 3 kg menjadi habuan kepada Hj. Salleh. Apa lagi senyum lebar la pak haji ni.

 

Misi Berjaya

Setelah kami semua kekenyangan ikan juga turut sepi tanpa ragutan, mungkin kenyang juga kot. Hal ini ramai di kalangan kami melayan bottom sahaja melainkan Mad Nord yang setia kembali kepada aksi appolo untuk mencari cencaru. Dapat juga habuan untuk bekalan di rumah nanti.

 

Jam menunjukkan pukul 4.30 petang dan tekong memberitahu supaya berkemas barang untuk pulang ke darat. Seekor alu-alu seberat 2 kg menjadi penutup trip kami kali ini yang menggunakan teknik drift.

 

Bot-bot pemancing yang lain mula meninggalkan tuas masing-masing untuk kembali ke daratan. Setelah sampai di darat kerja-kerja pemunggahan ikan dilakukan di samping mengambil foto sebagai kenangan.

 

Trip kami kali ini membawa hasil 19 ekor tenggiri, seekor jenahak, seekor alu-alu, seekor kerapu, 6 ekor anak talang dan satu tong cencaru. Memang satu trip yang menghiburkan dan menguntungkan bagi kami.

Terima kasih kepada Abang Di kerana beliau seorang tekong yang banyak membantu dalam misi kami kali ini.

Published by
Amang