Trip Retro: Trip Berdengung Di Hulu Berdengung

Share

 

Tasik Kenyir, sememangnya lokasi memancing tahunan wajib buat saya & rakan-rakan kaki pancing yang lain khusus di tempat kerja. Dalam setahun, ada kalanya dua tiga kali kami mengatur trip ke sana, mengikut ikan target.

 

Sebelum tibanya musim monsun tak lama dulu, saya, Wan, Zul, Nasir (Puyu), Milo dan Sopi (Bomoh) dan beberapa orang rakan lain mengatur trip 3 hari 3 malam ke sini. Berlainan dari biasa, kali ini kami memilih untuk trekking dengan misi mencari kelah.

 

Lokasinya Hulu Berdengung dan kami menggunakan khidmat Tekong Karim membawa kami ke lokasi yang mengambil masa sekitar 6-8 jam berjalan kaki untuk sampai.

Persiapan rapi telah diatur dan selepas, entah berapa puluh kali berhenti, akhirnya kami tiba juga ke lokasi ini yang disifatkan tekong sebagai tempat ‘jin bertendang’. Terlalu sedikit orang yang pernah sampai ke sini.

 

Lokasinya hanyalah sungai kecil, berarus deras, ada dalam dan cetek. Tetapi yang paling mengujakan saya dan rakan-rakan yang lain adalah, sebaik sahaja spoon dilemparkan ke

kawasan jeram kecil dan kawasan cegar yang airnya berarus laju, berbondong-bondong kumpulan tengas berebut menyambar spoon.

 

Ini sudah bagus! Asal kami melontarkan spoon sahaja, paling tidak dalam lima kali lontar, pasti bersambut.

Hairannya gewang tak laku di sini. Bahkan tengasnya juga tidak takut melihat kelibat kami, hingga berani mengejar spoon yang hanya beberapa kaki jaraknya dari kami sebelum berpatah balik.

Betullah kata tekong, tempat ni, jarang dikunjungi orang. Sebab itulah tengas di sini, tidak takut dan menyambar spoon yang dilontarkan. Boleh dikatakan bermacam-macam saiz tengas yang kami naikkan. Yang kecil, semuanya kami lepaskan semula.

 

Walaupun lokasinya berpotensi didiami kelah, masih tidak ada tanda-tanda kelah yang sudi menyambar spoon yang kami lontarkan.

Begitu juga dengan kaedah bottom pada sebelah malamnya berumpankan sawit. Mungkin kelah sudah berhijrah ke tempat lain agaknya kata tekong kami.

 

Walaupun agak ralat tiada kelah, tetapi dek kerana rakus tengas menyambar gewang, kekecewaan kami sebenarnya cukup terubat.

Ujar rakan saya Zul, memang inilah syurga tengas, berbaloi kita jalan jauh. Tiba hari dijanjikan kami pulang semula ke boathouse. Kata sepakat akhirnya diambil kami akan berkunjung lagi ke sini.

Published by
Amang