Tasik Kenyir, sememangnya lokasi memancing tahunan wajib buat saya & rakan-rakan kaki pancing yang lain khusus di tempat kerja. Dalam setahun, ada kalanya dua tiga kali kami mengatur trip ke sana, mengikut ikan target.
Sebelum tibanya musim monsun tak lama dulu, saya, Wan, Zul, Nasir (Puyu), Milo dan Sopi (Bomoh) dan beberapa orang rakan lain mengatur trip 3 hari 3 malam ke sini. Berlainan dari biasa, kali ini kami memilih untuk trekking dengan misi mencari kelah.
Lokasinya Hulu Berdengung dan kami menggunakan khidmat Tekong Karim membawa kami ke lokasi yang mengambil masa sekitar 6-8 jam berjalan kaki untuk sampai.
Ads
Persiapan rapi telah diatur dan selepas, entah berapa puluh kali berhenti, akhirnya kami tiba juga ke lokasi ini yang disifatkan tekong sebagai tempat ‘jin bertendang’. Terlalu sedikit orang yang pernah sampai ke sini.
Lokasinya hanyalah sungai kecil, berarus deras, ada dalam dan cetek. Tetapi yang paling mengujakan saya dan rakan-rakan yang lain adalah, sebaik sahaja spoon dilemparkan ke
kawasan jeram kecil dan kawasan cegar yang airnya berarus laju, berbondong-bondong kumpulan tengas berebut menyambar spoon.
Ads
Ini sudah bagus! Asal kami melontarkan spoon sahaja, paling tidak dalam lima kali lontar, pasti bersambut.
Hairannya gewang tak laku di sini. Bahkan tengasnya juga tidak takut melihat kelibat kami, hingga berani mengejar spoon yang hanya beberapa kaki jaraknya dari kami sebelum berpatah balik.
Betullah kata tekong, tempat ni, jarang dikunjungi orang. Sebab itulah tengas di sini, tidak takut dan menyambar spoon yang dilontarkan. Boleh dikatakan bermacam-macam saiz tengas yang kami naikkan. Yang kecil, semuanya kami lepaskan semula.
Ads
Walaupun lokasinya berpotensi didiami kelah, masih tidak ada tanda-tanda kelah yang sudi menyambar spoon yang kami lontarkan.
Begitu juga dengan kaedah bottom pada sebelah malamnya berumpankan sawit. Mungkin kelah sudah berhijrah ke tempat lain agaknya kata tekong kami.
Walaupun agak ralat tiada kelah, tetapi dek kerana rakus tengas menyambar gewang, kekecewaan kami sebenarnya cukup terubat.
Ujar rakan saya Zul, memang inilah syurga tengas, berbaloi kita jalan jauh. Tiba hari dijanjikan kami pulang semula ke boathouse. Kata sepakat akhirnya diambil kami akan berkunjung lagi ke sini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Oktober tahun lalu, trip light jigging king mackerel perairan Kelantan telah dilangsungkan oleh Team Paradorm Simphat dengan kekuatan 7 jigger kental terdiri daripada saudara Adnan Su, Fadzley, Zeman, Hilman, Fakarul Bakri dan Aliff.
Jam 7.30 bot keluar dari Jeti Kuala Sabak Menuju ke unjam bot pukat jerut sekitar 45km dari daratan.
Sesampai di spot pertama Skipper Chin menghanyutkan bot (teknik drifting) sebelah kanan unjam, balingan dan henjutan pertama menerima 3 strike dari 7 pemancing. Namun hanya seekor saja yang berjaya dinaikkan.
Ikan tenggiri pertama diperolehi oleh saudara Fakarul Bakri. Drifting kedua dan ketiga ada sambaran dari penjaga unjam (tenggiri) namun rabut dan tiada rezeki. Skipper bergerak ke spot kedua tidak jauh dari spot pertama kurang lebih 3km.
Selepas dapat arahan dari skipper, kami dengan pantas menjatuhkan kepingan jig masing-masing. Ketujuh-tujuh jigger mendapat strike dari spesimen yang menghuni unjam tersebut.
Alhamdulillah, 7 ekor tenggiri bersaiz gadang berjaya dinaikkan hanya dalam satu hanyutan bot.
Selepas itu tinggiri mula menyedari kehadiran kami lalu kurang rakus untuk mengejar kepingan jig yang dilemparlan. Skipper kemudiannya menuju ke spot ketiga (unjam bot pukat jerut) lebih kurang 2km saja. Kami diasak dengan kawanan barracuda.
Selepas berpuluh-puluh ekor barracuda berjaya ditewaskan, jig juga banyak putus ekoran leader dipotong sang gigi tajam ini akibat memperlahankan teknik henjutan.
Kami masih lagi berhanyut di situ namun tiada lagi sambaran dari barracuda atau spesies pemangsa yang lai. Skipper mengambil keputusan ke spot ke-4 (5km dari spot ke-3).
Di sini kami diasak oleh ikan belitong dan aruan tasik. Fazley berjaya strike dan mendaratkan aruan tasik mega seberat 17kg.
Manakala saya pula dapat dalam skala 9kg. Di situ sesekali kami dapat menjerat tenggiri yg rata-rata bermain di luar unjam. Selepas keadaan tenang dan tiada sambaran, skiper mengajak ke spot ebek.
Di spot ini kami digasak oleh ebek bulat. 8 kali strike, hanya saya, Aliff dan Adnan Su berjaya menaikan spesis diamond travelly ini.
Menuju ke spot seterusnya di tapak unjam saya, Hilman, Fakarul dan Aliff silih berganti menahan asakan tenggiri dari belakang bot.
Manakala Zeman, Fadzley dan Adnan Su sesekali dapat menaikkan tenggiri dengan kaedah casting bulu ayam 3 rasa.
Antara kepingan jig yang rakus dibaham tenggiri adalah dari jenis yang berwarna silver dan terdapat sedikit luminos. Jam menunjukkan 5.00 petang, skipper menyatakan untuk pulang kerana jarak kami dari spot ini dgn jeti adalah 55km.
Dalam perjalanan kami singgah sebentar di unjam untuk memancing teknik apollo untuk mencari ikan lauk. Kembung dan selar dalam 6kg berjaya dinaikkan dengan kaedah apollo, ia sebagai lauk tambahan sebenarnya.
Jam 6.30 petang kami selamat smpi di Jeti Kuala Sabak. Kami sangat berpuas hati dengan khidmat skipper untuk trip kali ini.
Skipper Chin Sabok berpengkalan di Jeti Kuala Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Tempoh trip dari 7.00 pagi hingga 6.00 petang, spot unjam pukat jerut sekitar perairan Kelantan.
Hasil yang kami perolehi; 36 ekor tenggiri, 36 ekor cobia, 3 ekor belitong, 20 ekor barracuda dan 3 ekor ebek bulat.
Memancing ikan memang perkara normal, tetapi memancing belut (fluta alba) satu perkara baru buat saya.
Memang saya akui, begitu naif untuk memancing spesies berbadan licin ini. Macamana menangkapnya, apa tekniknya, bila masa sesuainya.
Semasa kecil dahulu, pernahlah belut yang disangka ular ini terpancing dengan tidak sengaja.
Bila bapa saudara saya mengajak untuk mencuba memancing belut sawah, lantas ajakan beliau dipersetujui.
Jelasnya, musim menuai di kawasan ‘Jelapang Padi Selangor’ telah siap dan inilah masa yang terbaik untuk memancing belut di tepi-tepi parit kecil yang airnya sedang mula mengering.
Beberapa orang teman sekerja yang kaki pancing juga turut serta. Masing-masing teruja untuk melihat bagaimana caranya memancing belut.
Macam-macam persediaan yang kami bawa, termasuklah set pancing yang kasar untuk jigging ke laut dan juga set casting (kononnya untuk feel).
Memang agak lawak, memandangkan masing-masing belum pernah cuba memancingnya.
Umpan jantung ayam
Nak dijadikan cerita, kami bertolak awal-awal pagi lagi dari Shah Alam menuju Sungai Besar.
Kerana menurut bapa saudara saya, memancing belut sebaiknya awal pagi dan juga lewat petang.
Selain aktif masa makannya, ia juga bagus kerana pada waktu itu, tidaklah terasa sangat bahang mentari.
Sebelum bertolak, kami terlebih dahulu singgah ke pasar awam Seksyen 16 untuk mendapatkan jantung ayam bagi dijadikan umpan.
Untuk memancing belut, sebenarnya tidak perlu risau pasal umpan sebab apa sahaja yang jatuh ke dalam lubangnya pasti akan dibedal, termasuklah katak, cacing, hirisan daging atau jantung ayam, udang busuk.
Kami memilih hati ayam kerana ia lebih kenyal, murah dan senang didapati.
Sedang dalam perjalanan, bapa saudara memberitahu agak lewat sedikit kerana ada kematian di kariah tempatnya, jadi dia terpaksa terlibat sama.
Jadi untuk menunggunya, kami lewatkan sampai dengan singgah dahulu di pinggir jalan selepas melewati pekan Sekinchan untuk pekena mentarang bakar (sejenis siput laut) dan air kelapa muda. Habis dua pinggan mentarang bakar kami kerjakan. Fuhh memang sedap.
Hampir tengahari jugalah kami sampai di Sungai Besar dan sebaik tiba terus sahaja peralatan memancing disiapkan. Pelik dia melihat yang geng set memancing lembut terutama set casting untuk memancing.
Jelasnya, sebaik belut menggetu umpan dan membawanya masuk ke dalam lubangnya, bukan satu perkara mudah untuk memaksanya keluar.
Tapi bila kami mengatakan untuk feel, lantas pakcik saya menggelengkan kepala melihat gelagat kami. (mungkin dalam hatinya berkata… ikut koranglah).
Selesai sahaja menyiapkan set memancing, lantas kami terus sahaja meniti batas-batas sawah untuk mencari lubang-lubang belut.
Sebelum itu, beberapa orang kanak-kanak termasuklah anak saudara saya menjadi jurupandu untuk kami mencari lubang-lubang belut dan juga mengajar teknik sebenar macamana untuk memancing belut.
Kedatangan saya rupa-rupanya diketahui oleh dua orang anak saudara saya yang sememangnya rajin mencari belut bersama rakan-rakannya.
Terus sahaja mereka menjadi ringan mulut dan ringan tulang membantu dan mengajar kami.
Teknik Dan Cara
Memang tanpa bantuan dari mereka ini, kami sendiri entah berjaya atau tidak memancing belut. Caranya adalah cari lubang kecil yang berair di tepi parit utama.
Gunakan batang padi, kocakkan air di permukaan dan tunggu ada pergerakan naik turun air atau tidak.
Jika ada, maknanya lubang tersebut dihuni oleh belut. Kadang-kadang kami langsung tidak mengenali mana satu lubang belut atau bukan.
Tetapi budak-budak ni dengan selamba jer berkata “Eh, itu bukan lubang belut pakcik, yang ini…itu lubang ular air, sini lubangnya…”
Alamak!
Bila lubang belut telah dikenalpasti, hulur mata kail yang telah dicangkukkan dengan hirisan jantung ayam tadi ke dalam lubang dan goyang-goyangkannya.
Jika ada, biasanya dalam jangka masa singkat huluran anda pasti akan disambut. Apabila ia mula memakan umpan dan mula membawa masuk ke dalam sarangnya, tunggu beberapa saat dan lakukan sentapan supaya mata kail tertacap kukuh di mulutnya.
Bila belut telah memakan umpan, saat inilah betapa ‘feelnya’ terpaksa lawan tarik tali dengannya.
Sungguhpun ia hanyalah ikan, tetapi kuasa tarikannya yang kuat, hujung rod melentur kuat, boleh diibarat seperti memancing ikan di laut.
Ini disebabkan belut akan menahan dirinya melalui sarangnya yang dalam dan berbelit-belit.
Apa yang kita perlukan adalah lakukan ‘sorong-tarik’ tali bagi melemahkan belut berkenaan.
Jika terlalu sukar untuk memaksanya keluar, jalan terakhir adalah terpaksa mengorek lubang belut berkenaan. Di sinilah sebabnya mengapa, set pancing, ringan tidak sesuai.
Pendek kata, kalau nak guna set untuk memancing belut, lupakan ajelah, Risau hujung rod sepatutnya mahal yang mahal harganya tu patah dan membuatkan menangis tak berlagu la jawabnya.
Jika berlaku ‘miss’ beberapa kali di sesebuah lubang, belut akan culas untuk memakan umpan dan perlu cari lubang lain dulu. Kemudian barulah bolehlah kembali ke lubang berkenaan.
Apa Yang Terbaik
Ketika kami semua menggunakan set pancing, saya sebenarnya cukup tertarik dengan pancing buatan sendiri yang digunakan oleh kanak-kanak ini, iaitu menggunakan rim basikal yang dibentukkan seperti mata kail.
Ia diikat menggunakan tali pengikat guni padi dan batang jorannya hanyalah menggunakan batang buluh pendek. Ringkas… tetapi cukup mudah untuk mendapatkan belut.
Set inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan pencari-pencari belut untuk dijual. Mudah dan cepat.
Untuk umpan, bebas nak guna apa pun boleh. Tetapi menurut kanak-kanak ini, umpan yang paling mujarab untuk memikat belut adalah katak sawah, kerana ia lebih cepat digetu.
Bila difikirkan semula, memanglah logik kerana di persekitaran semulajadinya, katak dan juga ikan-ikan kecil memang diet utama belut.
Tetapi bagi mereka yang geli menggunakan katak, bolehlah menggunakan umpan seperti yang dinyatakan di atas tadi.
Lewat petang, kira-kira 15 ekor belut berjaya dipancing oleh kami. Beberapa ekor belut, diambil oleh bapa saudara saya untuk disiang dan digoreng.
Bila siap dan dihidangkan kepada kami… Sedap rupanya belut ini, rasa macam ikan keli goreng.
Selesai menjamu selera, kami bertolak semula ke Shah Alam dan sewaktu dalam kereta, masing-masing mengeluarkan persepsi…
“Seronok rupanya memancing belut ni!”
“Bila nak mancing belut lagi?”
“Alamak… aku tak lalu la nak makan belut sebab bentuk dia macam!“
Perjalanan saya dari Lembah Klang menuju ke Kuala Selinsing di Perak mengambil masa 4 jam. Walaupun agak jauh ia sama sekali tidak mendatangkan kepenatan kepada saya. Kuala Selingsing merupakan satu lubuk yang menjadi kegilaan bagi pemancing-pemancing tempatan.
Macam-macam teknik boleh digunakan dilubuk ini. Lain padang lain belalang… lain lubuk lain tekniknya. Bagi Kuala Selingsing, teknik yang saya selalu guna adalah casting menggunakan umpan udang hidup. Balingan dibuat ke atas reba dan tarik atau karau perlahan tanpa henjut.
Bagi Spesis MJ atau siakap merah, ia adalah spesies yang suka membawa dan melilitkan tali pancing kita pada kayu-kayu dan ranting-ranting yang berada disekitarnya setelah ia menyambar umpan kita. Ia juga pemangsa yang ganas dan rakus, mempunyai gigi yang tajam adalah kelebihan spesies ini untuk memotong tali pancing (leader) kita.
Oleh itu kita haruslah tarik secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya kembali ke dalam reba dan memotong tali pancing. Siakap putih (barramunddi) pula sikapnya yang selalu terbang di permukaan air untuk menanggalkan mata pancing anda. Ia tidak punya gigi tetapi spesies ini mempunyai permukaan bibir yang kasar. Lambat tarik pun boleh putus jua.
Bagi siakap putih ini, jangan sesekali anda angkat hujung rod ke atas kerana ianya akan memberi peluang untuk ikan naik dan terbang di permukaan air. Semasa karauan dibuat, tali pancing anda haruslah sentiasa tegang dan selam hujung rod anda ke dalam air bagi mengelakkan ianya naik di permukaan air.
Oleh itu, saya sarankan kepada caster-caster yang ingin memujuk spesies ini gunalah peralatan pancing yang sesuai sebelum anda berputih mata. Para caster juga perlu memilih tarikh air yang sesuai untuk memburu pemangsa-pemangsa di lubuk sungai air masin ini.
Tekong dilubuk ini juga banyak memberi peranan dengan meronda mencari lubuk berpenghuni dan sentiasa memberi tunjuk ajar. Beberapa kali saya turun memburu di lubuk ini ia tidak pernah menghampakan saya. Dari dulu sampai sekarang saya masih menggunkan teknik yang sama.
Antara spesis yang ada dilubuk ini kerapu, siakap putih dan siakap merah. Mana-mana caster yang ingin memburu di lubuk ini bolehlah berhubung dengan tekong-tekong handalan Kuala Selinsing di FB seperti Amir Hamzah, Herry Ramly, atau Azeem Asyraf.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...