Trip Retro: Terjah Lubuk Kenyir!!

Share

 

Selepas dua bulan merancang, akhirnya hujung bulan Mac lalu, satu trip trekking ke hulu Sungai Terenggan, Tasik Kenyir, lokasi kunjungan terdahulu Mus menjadi kenyataan.

Tujuh orang telah terlibat dalam trip yang begitu mengerah kudrat; berjalan kaki sekitar 6-8 jam meredah hutan dan sungai.

 

Manakala guide semestinya Karim, tekong yang tidak pernah miss dalam pilihan sepanjang tujuh tahun mengenali Tasik Kenyir. Selain Karim, trip kami turut dibantu oleh anak Karim, iaitu Yo.

 

Kami tiba di campsite kira-kira jam 4 petang, selepas 5 jam mengharungi perjalanan menaiki speedboat dari Jenagor sebelum berjalan kaki menghulu Sungai Terenggan. Lokasi campsite ini, sebenarnya bukanlah campsite yang pernah Mus bermalam dahulu.

 

Ia sebenarnya masih jauh. Disebabkan kami kesuntukan masa (agak lewat akibat beberapa perkara tidak dapat dielakkan), keputusan bersama telah diambil untuk berkhemah di sini dan esok perjalanan ke sebelah hulu akan disambung.

 

Sebelum menjelang malam, kebanyakan daripada kami cuba untuk casting di lubuk-lubuk yang dianggap berpotensi.

Kebanyakan spot memang menarik, tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Saya, Zul dan Mus cuba casting di bahagian bawah campsite, tetapi turut pulang hampa. Hanya sebarau bersaiz remaja dan anak bujuk sudi menyambar gewang.

 

Selesai sarapan, kami bersiap untuk memulakan trekking ke bahagian hulu. Kami bercadang untuk pergi sejauh mungkin iaitu tiba di port ‘Hulu Berdengung’, lokasi Mus mendapat banyak strike semasa kunjungan tahun lalu.

 

Hanya Padi dan Ayie yang tidak ikut. Padi yang baru sahaja selesai melakukan pembedahan tumor mengambil keputusan untuk cuba casting di bawah. Manakala Ayie meneruskan pancingan dasar di hadapan khemah selain ditugaskan untuk memasak.

 

Perjalanan naik ke hulu memang mencabar. Kami terpaksa meranduk air yang deras dan penuh dengan batu-batu licin.

Jika meredah hutan pula, ada kalanya trek baru terpaksa dibuat, kerana trek lama langsung tidak kelihatan. Mujurlah, kami tidak membawa beban beg seperti hari semalam.

 

 

Ujar Karim, di bahagian hulu ini, teramat jarang kaki-kaki pancing datang berkunjung, kerana faktor jauh dan kebanyakan jejak yang ada dibuat oleh penceroboh haram yang datang untuk mencari kayu gaharu yang dipercayai dilakukan warganegara Thailand.

Buktinya kami memang terjumpa bekas penempatan di dalam hutan, tidak jauh dari sungai.

 

Sepanjang perjalanan, kami cuba casting di lubuk-lubuk yang berpotensi. Semasa melalui kawasan jeram yang berarus deras, Wan yang berada paling hadapan menerima sambaran.

 

Lontaran sesudu Abu Island II, 12 gram, disergap rakus oleh makhluk yang berada di bawah sana. Sehingga terpaksa dia melompat ke batu dan meranduk air, lantaran larian pemangsa cukup laju.

 

Selepas 5 minit barulah nampak kelibatnya dan akhirnya muncul tengas dalam skala 1.2 kg. Walaupun ia hanyalah tengas, tetapi pada skala ini, ia sudah cukup memuaskan hati.

Zul yang setia dengan sesudu Abu Island II, 7 gram, paling banyak menaikkan tengas dalam sekitar 700 gram. Saya tidak terkecuali dan skala ini semuanya kami lepaskan semula.

 

Penat berjalan, akhirnya kami tiba juga di lokasinya. `Hulu Berdengung` yang dimaksudkan ialah sebuah jeram panjang yang terdapat lubuk-lubuk dalam dan juga cetek airnya.

 

Ketika kami tiba, airnya sedikit keruh. Batuan di dasarnya langsung tidak berapa kelihatan. Sekian lama cuba untuk casting, kelibat penghuninya, tidak kelihatan. Yo yang cuba untuk pancingan dasar, turut tidak mendapatkan hasil.

 

Sedikit perasaan kecewa membelenggu kami. Apa lagi yang mampu dilakukan, selain cuba juga untuk casting dan terus casting.

Menurut Karim, berkemungkinan faktor hujan di kawasan hulu yang membuatkan air keruh dan sejuk, punca utama mengapa, penghuninya tidak aktif.

 

 

Mus yang melalui situasi menggembirakan tahun lalu, juga turut ralat kerana kunjungannya berbeza benar.

Jelasnya di Hulu Berdengung inilah, banyak tengas bersaiz kasar dan juga kelah tewas dengan gelekan sesudu. Bahkan akan nampak penghuninya mengejar walaupun hanya batu yang dilontarkan.

 

Walaupun sudah merancang sebaik mungkin, faktor ketentuan tiada siapa yang mampu menghalang. Bagi saya, inilah faktor alam yang semua kaki pancing tidak boleh jangkakan.

Mungkin juga ikannya berhijrah semasa musim tengkujuh lalu atau dikaut banyak dengan cara tidak bertanggungjawab.

 

 

Jam 3.30 petang, kami mengambil keputusan untuk turun semula ke bahagian hilir, menuju ke khemah dalam keadaan hujan renyai-renyai selepas sasaran casting kelah di Hulu Berdengung tidak kesampaian.

 

Kali ini, Karim mengurangkan memasuki semula trek jalan hutan, sebaliknya lebih banyak menyusuri sungai bagi membolehkan kami casting di lubuk-lubuk yang berpotensi yang tidak dilalui pagi tadi.

 

Di aliran jeram yang deras, giliran Zul mendapat tuah, apabila lontaran sesudunya disambut lagi. Karauan dilakukan, tetapi beberapa detik kemudian, lariannya beransur lemah.

Rupa-rupanya sang sebarau yang menyapa. Tidak kurang juga, ada tengas mengejar sesudu sebaik karauan laju dibuat, tetapi akhirnya berpatah balik apabila ternampak kami.

 

Kami tiba di campsite bila hari sudah senja. Padi menyambut kami dengan tersenyum lebar, kerana dia turut berhasil juga menaikkan tengas dengan casting, bermodalkan Siam Spoon 10 gram. Jadilah lesen katanya, walaupun kecil sedikit daripada saiz lengan orang dewasa.

 

Malam terakhir kami gunakan sebaik mungkin. Selesai menjamah hidangan makan malam, Mus, Karim dan anaknya mengambil keputusan memancing di bahagian hilir khemah. Selebihnya memancing di satu kawasan lata yang mengalir tenang di bahagian hulu.

Ragutan demi ragutan diterima oleh kami, tetapi kebanyakannya ikan tengas yang saiznya masih belum memuaskan hati. Banyak yang dilepaskan semula.

 

Lewat malam saya, saya dan Zul berpindah lokasi dan bergabung dengan Karim, Mustakim dan Wan. Hasil terbaik diperoleh di sini, apabila joran milik Wan yang diletakkan di pancang di depan matanya terbang ke dalam air. Mujur lampu pendaflour stick menjadi penanda bila joran sudah tenggelam dalam air.

 

Bergasak sekitar 4-5 minit, akhirnya tewas juga tengas saiz kasar hampir 2kg di tangan Wan. Umpan isi ikan nyata tidak mengecewakan, walaupun terpaksa menunggu lama.

Bahkan dengan umpan inilah juga kami menaikkan banyak baung akar. Tidak perlu susah payah bawa umpan tapa.

 

 

Sekitar jam 12 malam, giliran joran Mus dan saya sekali telah dikejutkan dengan joran terbang masuk ke dalam air. Akhirnya tengas yang saiznya sekitar lengan dewasa masing-masing tetap berjaya dinaikkan.

 

Hari terakhir.

Walaupun saya tidak berjaya menaikkan tengas atau kelah bersaiz kasar menggunakan casting, sekurang-kurangnya, saya tidak kumpau walaupun dengan kaedah pancingan dasar.

 

Tahniah kepada Wan, Mus dan Zul yang akhirnya berjaya juga menaikkan ikan tengas yang saiznya sudah cukup memuaskan dengan kaedah casting.

 

Sekali gus trip sejauh ini ‘ada bahan’ untuk kami kongsikan kepada pembaca. Semasa pulang, kami melalui banyak lubuk-lubuk yang berpotensi yang sesuai untuk pancingan

dasar dan casting kerana semasa balik, kami pulang dengan keadaan lebih rileks dan tidak lagi perlu mengejar masa serta mengikut langkah tekong yang sememangnya macam lipas kudung walaupun di dalam hutan.

 

Azam saya, saya akan kembali lagi ke sini dan perbincangan demi perbincangan memang ada kami suarakan semasa perjalanan pulang.

Mungkin semasa hari betul-betul musim kemarau dan tibanya musim buah neram gugur nanti.

Tapi bila musim kemarau, bermakna Sungai Terenggan sudah begitu cetek dan maknanya perjalanan trekking juga akan bertambah. Kenalah kerap berjogging lagi gamaknya.

Published by
Amang