Merapoh boleh dikatakan agak kurang popular berbanding taman negara yang lain. Antara yang sering mengunjungi Taman Negara Merapoh ialah kaki gunung yang menggunakan laluan ini sebagai laluan untuk mendaki Gunung Tahan.
Selain itu antara tarikan lain di sini ialah tarikan daripada gua-gua di Merapoh yang mempunyai nilai estetika yang tinggi selain daripada sungai-sungai yang terdapat di sekitar kawasan ini.
Sebagai kaki pancing, pengalaman pertama ke Taman Negara Merapoh ini pastinya lebih cenderung untuk menduga sungai di sini.
Penulis bersama Muaz, Cikgu dan Amang berpeluang menghilir Sungai Relau dengan menaiki kanu dan kayak.
Dengan khidmat dua orang pemandu arah, kami memulakan aktiviti menghilir sekitar jam 11.00 pagi.
Keadaan cuaca yang begitu baik menyenangkan lagi perjalanan kami pada pagi itu. Dua buah kanu dan dua buah kayak dijadikan sebagai kenderaan rasmi trip ini.
Ketika menghilir jeram Sungai Relau, kami lebih menumpukan kepada aktiviti mengilat. Terdapat banyak lubuk-lubuk yang berpotensi.
Namun kami tidak boleh singgah terlalu lama kerana terpaksa mengejar masa seperti yang dirancang agar dapat tiba ke campsite tertentu.
Hari pertama kami dengan cuaca yang baik. Kelihatan banyak ikan bersimpang – siur di hadapan kami.
Mungkin kerana belum biasa dengan aktiviti kayak fishing, agak kelam kabut juga penulis di atas kayak. Begitu pun, Amang berjaya menaikkan 2 ekor kejor saiz sedap makan.
Cuaca mula tidak menyebelahi kami apabila mulai gerimis pada waktu petang. Mujur kami tiba di campsite seperti yang dirancang.
Malamnya hujan turun mencurah, dan kami berehat sambil mengharapkan rezeki hari esok pula.
Hari kedua aktiviti diteruskan, namun sayangnya air menjadi keruh akibat hujan semalam.
Kami teruskan juga perjalanan dan berhenti pada lubuk tertentu dan melakukan aktiviti pancingan dasar memandangkan teknik mengilat tidak berhasil.
Pertukaran teknik nampaknya membawa hasil juga apabila Cikgu menaikkan seekor kejor.
Harapan kami mengharapkan air kembali jernih tidak kesampaian apabila hujan kembali turun pada petang itu, lantas kami bergegas ke campsite kedua.
Malam itu walaupun kesejukan kami sempat melayan baung walaupun keletihan.
Harapan hari terakhir nampaknya tipis apabila melihatkan air yang masih keruh. Kami teruskan perjalanan sambil mencuba teknik mengilat sahaja sehingga ke destinasi terakhir.
Tiada rezeki kami nampaknya pada hari terakhir, namun keseronokan tetap terpancar setelah menyudahkan aktiviti menghilir ini.
Potensi Taman Negara Merapoh sebenarnya cukup besar. Keadaan di sini cukup terjaga dan kawalan ketat juga dilakukan.
Selain daripada laluan untuk mendaki Gunung Tahan, aktiviti meneroka gua Merapoh juga mendapat maklum balas sangat baik daripada pelancong.
Aktiviti menghilir Sungai Relau pula cukup berpotensi bagi menarik pemancing. Lubuk yang begitu banyak dan ikan-ikan di sini juga masih terjaga dengan baik.
Jika cuaca menyebelahi kami, kami yakin pasti banyak ikan yang dapat kami naikkan.
Penulis melihat Taman Negara Merapoh mampu menjadi lokasi tumpuan sedikit masa lagi.
Apa yang diperlukan sekarang ialah promosi dan juga perancangan yang sistematik secara berterusan.