Sejak Majalah Umpan ditransformasi ke era digital, amat jarang sekali kami bekas warga kerja Majalah Umpan dapat komplot bersama.
Disebabkan dah terlalu rindu nak memancing bersama seperti dahulu, satu trip mengejut pun direncanakan.
Trip yang bertemakan reunion team Umpan ini bukanlah untuk mencari spesies-spesies mega di lautan mahupun pemangsa ganas air tawar, sebaliknya hanyalah trip santai untuk mencari si sepit biru atau lebih mesra dipanggil jenggo.
Sesudah mendapat pelepasan daripada ketua masing-masing, akhirnya saya, Paez, Amang dan Pet Fitry memilih tarikh yang sesuai untuk komplot kami.
Lokasi yang dipilih ialah Sungai Dulang di Bagan Datoh, Perak yang merupakan lubuk baharu bagi saya, Paez dan Pet, manakala untuk Amang, lubuk ini pernah menjadi padang permainannya suatu ketika dahulu.
Malang untuk kami, tarikh yang dipilih itu agak kurang sesuai dek faktor cuaca yang sering hujan pada siang hari.
Atas faktor itu, paras air sungai menjadi semakin tinggi dan ia turut membawa sampah-sarap yang boleh memberi kesan kepada trip kali ini.
Setibanya di Sungai Dulang pada pagi Sabtu, cuaca dilihat agak baik dan tiada tanda-tanda menunjukkan hari mahu hujan. Ini mungkin petanda baik untuk kami. Tapi nampaknya, kami silap.
Masalah lain pula menyambut kami di sini. Bot yang sepatutnya kami naiki pada jam 8 pagi terpaksa dianjak lebih sejam dek masalah komunikasi dengan pemilik bot.
Sudahlah lewat, tekong yang sepatutnya membawa sebuah bot yang kami tempah tidak dapat turun dan tempatnya terpaksa diganti dengan tekong lain.
Hampir jam 10.00 pagi barulah dua bot kami dapat memulakan perjalanan ke lubuk udang galah.
Saya yang menaiki bot bersama Paez menjadi pembuka tirai trip kali ini. Seekor udang bersaiz sederhana cukup untuk membakar semangat kami.
Namun, disebabkan keadaan air yang masih tinggi di sebelah pagi, udang agak pasif memakan umpan yang kami hidangkan.
Sebaliknya, spesies ikan seperti duri dan lundu paling galak menyambar umpan.
Malang untuk Paez apabila joran yang diletakkan di belakang bot tidak semena-mena terjun ke dalam air dipercayai disambar ikan.
Cubaan kami untuk menyelamatkan joran itu gagal setelah beberapa kali mencuba.
Walaupun kecewa rod udang bertuahnya menjadi tukun di dasar sungai, tapi nasib Paez berubah selepas itu apabila joran lainnya disambar jenggo pertama trip ini.
Saiz yang agak baik untuk kami dan dapat dilihat senyuman kembali terukir di wajah Paez.
Selepas itu, kami bergilir-gilir menaikkan udang pelbagai saiz. Pet Fitry dan Amang di bot satu lagi turut memperoleh hasil yang diinginkan.
Menjelang tengah hari, hasil semakin kurang dan kami mengambil keputusan untuk berehat seketika. Apabila cuaca mulai redup pada sebelah petang, kami kembali meneruskan sesi pancingan.
Tapi hasil di sesi petang ini tidaklah semeriah seperti pagi tadi. Jenggo tidak menunjukkan kelibatnya sebaliknya ‘udang maggi’ (udang bersaiz kecil) yang galak memakan umpan.
Hampir menjejak senja, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti. Melihat kepada hasil yang diperoleh boleh dikatakan ianya agak kurang memberangsangkan. Faktor cuaca dan pelbagai masalah kecil lain menjadikan trip ini agak sendu.
Walaupun begitu, ini bukanlah satu kegagalan untuk kami. Sebaliknya, bagi saya ini satu kejayaan kerana bukan mudah untuk mengumpul kembali team Umpan (walaupun masih belum cukup kuorum).
Diharapkan, komplot ini tidak terhenti di sini. Saya menjangkakan akan ada lebih banyak trip dapat kami rangka bersama selepas ini kerana kebanyakan daripada kami sudah agak lama membiarkan rod bersawang di rumah masing-masing.
(penulis: Mohamad Fazrul Abdul Majid)