Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi. Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini. Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB. Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama. Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau. Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!