Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi. Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Ads
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini. Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB. Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama. Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Ads
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Ads
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau. Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bertemankan angin laut musim luruh, pertandingan memancing tahunan Malaysian Community Of Cheetam Hill (MCCH) Manchester kali kedua telah dianjurkan dengan jayanya. Bagi edisi kali ini, Pantai Barat United Kingdom atau tepatnya di Fairhaven Lake, Lytham St. Annes berdekatan bandar pelancongan Blackpool menjadi pilihan.
Meskipun Fairhaven Lake merupakan sebuah tasik (sesuai dengan namanya), pertandingan ini sebenarnya dijalankan di sepanjang pantai bertembok menghadap ke pertemuan Laut Irish dan muara Sungai Ribble, kurang seratus meter dari Fairhaven Lake.
Pertandingan kali ini turut bertujuan untuk mengutip dana sumbangan kepada rakyat Gaza. Sumber kewangan diperolehi daripada yuran penyertaan sebanyak £3.00, sewa rod, perambut, ladung dan jualan umpan yang disediakan pihak penganjur.
SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN
Jika sebelum ini hanya pemancing-pemancing dalam kalangan pelajar postgraduate dan permanent resident yang menyertai, edisi kali ini menyaksikan percubaan pertama sekumpulan pelajar undergraduate untuk mencabar orang-orang yang lebih berpengalaman.
Ternyata faktor umur dan pengalaman tidak menghalang anak-anak muda ini untuk turut sama bersaing dalam meraih kejuaraan untuk sesi kali ini. Secara keseluruhan, seramai 21 orang pemancing mendaftar sebagai peserta.
Memandangkan suhu sejuk musim luruh kali ni agak luar biasa berbanding selalu, Dr Mohd Idzam Zakaria selaku ketua jawatankuasa penganjur telah pun menasihatkan peserta dan penonton agar memakai jaket musim sejuk dibawa di samping baju dua persalinan, sarung tangan, dua pasang stoking, kasut dan sebagainya.
Tambahan lagi, pertandingan dijalankan pada waktu malam. Jelas bahawa cabaran kali ini bukan sekadar bertempur dengan angin laut musim luruh yang tidak menentu, tapi juga dengan tahap suhu yang menggila.
Para peserta tiba sekitar jam 12.00 tengah malam dan pertandingan dimulakan dengan penerangan peraturan pertandingan dan bacaan doa. Para peserta terpaksa menunggu air untuk naik hampir ke tembok bagi membolehkan lontaran dilakukan.
Kira-kira jam 1.30 pagi, barulah paras air sesuai untuk para peserta memulakan pancingan. Persisiran pantai bertembok Blackpool menjadi semakin meriah saat kawasan perumahan sekitar semakin sunyi ditelan malam.
Satu demi satu tempikan berkumandang apabila setiap peserta mendapat ikan. Para pengadil terpaksa bergegas dalam keadaan gelap dan hanya berbekalkan lampu suluh untuk mencari para peserta yang duduk secara bertebaran.
Markah setiap tangkapan dikira berdasarkan panjang ikan dan ditukarkan kepada mata mengikut jadual SAMF (Shore Anglers Match Federation) yang sudah disediakan. Markah akhir adalah berdasarkan jumlah mata yang terkumpul sepanjang waktu pertandingan.
Kebanyakan hasil tangkapan adalah flounder (Platichthys flesus) atau lebih dikenali sebagai ‘ikan sebelah’. Tidak kurang peserta yang mendapat lesser spotted dogfish (Scyliorhinus canicula) dan belut (Common Eel-Anguilla anguilla) yang mempunyai kelebihan dari aspek panjang iaitu sekitar 50 cm.
Ikan yang tidak mencapai panjang minimum mengikut klasifikasi IFCA (Inshore Fisheries and Conservation Authority) masih dapat dikira sebagai markah pertandingan. Namun ikan di bawah panjang minimum ini haruslah dilepaskan semula ke laut untuk menjamin ekosistem yang berterusan, selaras dengan undang-undang yang dikeluarkan pihak berkuasa IFCA di United Kingdom.
ERATKAN PERSAHABATAN
Aktiviti sampingan sepanjang pertandingan ini adalah jamuan ringan yang dibekalkan melalui konsep ‘pot luck’ oleh para peserta sendiri. Ada yang membawa kopi panas, nasi goreng, bihun tom yam, pasta, sup daging dan sebagainya. Sememangnya enak untuk menikmati makanan panas dalam cuaca sejuk sambil menanti mata kail menemui hasil.
Pemenang pertandingan ini adalah saudara Abdul Razak Yacob dari Warrington dengan kutipan sebanyak 117 mata, diikuti dengan Ruslan Omar (Manchester) dengan 74 mata di tempat kedua dan tempat ketiga Harris Mohd Idzam (Manchester) dengan 71 mata.
Pertandingan seumpama ini sememangnya merapatkan silaturahim antara pemancing-pemancing sekitar kawasan Barat Laut England di samping memperkenalkan aktiviti memancing kepada mereka yang baru hendak berjinak dengan hobi memancing ini.
Diharapkan agar semangat para pemancing akan terus membara meskipun bumi United Kingdom bakal dikunjungi musim sejuk untuk bulan-bulan mendatang. Selain itu, kutipan terkumpul sebanyak £380.00 (RM2005.00) untuk Gaza sedikit sebanyak menyumbang dalam meringankan penderitaan mereka di sana.
Info
Pertandingan Memancing Malaysian Community of Cheetam Hill (MCCH) adalah pertandingan memancing yang dianjurkan oleh sekumpulan komuniti rakyat Malaysia di UK yang begitu meminati hobi memancing. Ia dicetuskan oleh Dr Mohd Idzam Zakaria, yang berkhidmat Bahagian Kecemasan di Hospital Manchester selepas mendapati ramai rakyat Malaysia yang menetap di sana meminati hobi memancing.
Ujarnya yang telah menetap selama 15 tahun di sana, walaupun berbeza bidang, ia tidak membataskan aktiviti komuniti rakyat Malaysia di sana untuk memancing bersama!. Hobi memancing bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia, bahkan ia sebagai satu wadah perjumpaan sesama mereka apabila mereka kerap pot luck, bersiar bersama keluarga masing-masing sambil mengadakan aktiviti memancing di serata pelosok United Kingdom.
Tanggal 12 April 2015, terpahat sebagai tarikh berlangsungnya acara Battle of Jigger, Pelindung Challenge 2015 yang mana merupakan edisi sulung pertandingan light jigging yang diadakan di Pantai Pelindung, Beserah, Kuantan.
Edisi sulung ini memperlihatkan sambutan penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada kaki pancing khususnya peminat light jigging.
Menariknya, pelan asal pertandingan ini merupakan sekadar battle sesama rakan terdekat hasil usaha daripada Shah Right, Kay Red D, Nazim Nordin dan Epu Burn, namun tanpa diduga menjadi sebuah acara yang menghimpunkan 37 orang peserta dengan 9 buah bot digunakan sepanjang pertandingan.
Malah pertandingan ini juga turut menarik minat penaja iaitu Angler Buff Malaysia dan Pure Fishing Malaysia untuk turut sama menaja bagi memeriahkan pertandingan ini.
Menurut Shah Right, salah seorang pengelola utama pertandingan, melihatkan sambutan daripada kaki pancing terutama sekitar Kuantan dan Lembah Klang, pihak penganjur bercadang mahu menjadikan Pelindung Challenge sebagai acara tahunan.
Penganjuran yang lebih besar mungkin akan dirancang pada edisi seterusnya dan diharap Pantai Pelindung mampu menarik penaja yang lebih banyak untuk lebih memeriahkan edisi akan datang.
Pada hari pertandingan, para peserta berkumpul seawal jam 7.30 pagi untuk sesi taklimat ringkas dan bergambar. Jam 8.00 pagi, peserta menaiki bot masingmasing di Pantai Pelindung untuk terus memulakan pertandingan menaikkan ikan buruan menggunakan teknik jigging sehingga jam 6.00 petang. Hanya ikan hasil tangkapan dengan teknik jigging sahaja layak dipertandingkan.
Di akhir pertandingan, Sahbudin Selan berjaya mencipta reputasi sebagai juara sulung Pelindung Challenge 2015 apabila menaikkan gerong belang seberat 4.96 kg. Muhammad Zuhari Rosli dan Muhammad Imran Hafiz Muhammad Azzam pula tidak kurang hebat memberi saingan untuk keluar sebagai pemenang tempat ke-2 dan ke-3 dengan masing-masing menaikkan ebek (3.2 kg) dan talang seberat 2.98 kg.
Bertitik tolak daripada liputan kejohanan memancing tahunan yang dianjurkan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) di perairan Pelabuhan Klang, saya diundang untuk menyertai komiti penganjur ini bersantai-santai memancing di perairan air tawar, Tasik Kenyir.
Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL yang merupakan pemancing-pemancing otai serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.
Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini.
Bukan senang nak dapat peluang memancing bersama, berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.
Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.
Mandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.
Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan.
Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.
Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.
Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.
Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7kg berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan.
Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.
Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan.
Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.
Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan.
Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.
Secara peribadi pula, penulis gembira kerana masih ada ikan belida yang masih mahu memakan umpan yang dilabuh berdekatan dengan boathouse.
Bukan mudah sebenarnya ikan belida untuk ditewaskan kebelakangan ini di Tasik Kenyir. Tak mustahil suatu hari nanti ia satu usaha yang mustahil sebagaimana untuk menaikkan seekor kelah merah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...