“Ikan apa yang selalu naik di kelong tu, wak?” tanya saya berbasa-basi sambil menanti air pasang di Jeti Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor.
Masalah mendapan lumpur menyebabkan bot dan sampan tidak boleh keluar masuk ke kuala ketika air laut sedang surut. Maka kami terpaksalah melangut sementara tunggu air pasang.
“Bukan ada ikan pun… kalau nak mancing sembilang bolehlah.”
Mak aii… bersahaja betul jawapan Wak Anuar tu. Tak ubah jawapan kawan-kawan bila minta pendapat hasil pancingan di kelong kupang milik Wak Anuar tersebut. Tersentap juga semangat dibuatnya. Rasa macam nak kensel saja trip ke kelongnya itu.
Namun, kejujuran Wak Anuar wajar dipuji kerana berani menyatakan situasi sebenar pancingan di kelong kupangnya. Menurut Wak Anuar, pada asalnya kelong kupangnya itu bukanlah kelong memancing sebaliknya pondok yang dibina untuk memantau ternakan kupangnya lebih 10 tahun yang lalu.
Gelaran kelong kupang itu hanya wujud hasil panggilan pemancing. Setelah kupang tidak sesuai lagi diternak ekoran pelbagai masalah, terutama mendapan lumpur yang menebal sehingga 13 kaki dalam tempoh 5 tahun terakhir, maka kelong itu bertukar status menjadi kelong memancing.
Perjalanan dengan sampan selama 10 minit ke kelong kupang dari jeti persendirian Kampung Banting tatkala air pasang, tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar situasi yang dinyatakan oleh Wak Anuar.
Yang pasti, kelibat 10 orang pemancing yang sedang memancing di atas gelegar buluh yang ditenggelami air pasang membukti Wak Anuar berkata benar bahawa hanya sembilang yang banyak bermukim di kelongnya. Itu pun tidak menyeluruh sebaliknya perlu pandai mencari lubuk-lubuknya di tiang-tiang pelantar kelong.
Cerita dari mulut ke mulut mengenai lubuk pari yang menjadi tujuan sebenar saya ke kelong kupang ini sebenarnya bukan cerita kosong. Sebaliknya ia terbukti dengan deretan ekor pari yang dipaku pada alang kelong.
Lantaran, 50 ekor udang hidup yang dibeli sebagai umpan pari tidak dibiarkan lama di dalam tong umpan. Balingan umpan udang hidup segera disambut. Tapi bukannya pari, sebaliknya dikerjakan oleh gelama yang merupakan penghuni lain selain sembilang.
Apabila air surut sepenuhnya, barulah terserlah dilema yang diluahkan oleh Wak Anuar. Sekeliling kelong seluas mata memandang umpama keadaan padang datar yang dilapisi lumpur selepas banjir.
Aktiviti memancing bukan saja tidak boleh lagi dilakukan, malah kelong sudah terputus hubungan dengan daratan. Situasi inilah yang membingungkan Wak Anuar tentang masa hadapan kelong kupangnya.
Hendak diusahakan ternakan kupang sudah tidak bersesuaian, hendak dibiarkan usang dimakan usia, ramai pemancing yang masih mahu menziarahinya, hendak dijadikan kelong memancing, bukan sedikit pula belanja baik pulih.
Ikan pun dah tak banyak masuk selain sembilang dan gelama. Yang pasti, hari ini atau esok para pemancing bakal kehilangan spot memancing yang sedia ketandusan.