Trip Retro – Sejenak Di Kelong Abu

Share

 

Kelong menjadi salah satu tempat pilihan yang mudah bagi para pemancing untuk beriadah bersama keluarga atau bersama kawan-kawan.

Melalui perbincangan bersama rakan-rakan, Abang Key, Saliman, Senyum, Din Bagak dan Ajied, kami berenam telah sepakat memilih untuk ke Kelong Abu sebagai tempat pilihan untuk memancing sambil menyaksikan keindahan pulau-pulau berhampiran dengan kelong tersebut.

 

Kelong Abu terletak di Pantai Siring, Melaka dan menjadi tumpuan pada kaki-kaki pancing untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga atau bersama rakan-rakan.

Kemudahan yang disediakan di kelong ini termasuklah tandas, bilik tidur, dapur memasak dan lampu untuk pancingan pada waktu malam.

 

Kami sampai di Jeti Nelayan Pantai Siring, Melaka pada jam 5 petang dan tanpa berlengah kami terus mencari En. Abu untuk menghantar kami ke kelong beliau.

Kemudahan tempat meletak kenderaan di Jeti Pantai Siring ini amat baik kerana kenderaan pemancing akan dijaga dengan bayaran dikenakan hanya RM2 sahaja.

 

Jadi pemancing boleh memancing dengan tenang tanpa memikirkan keselamatan kenderaan yang diletakkan di jeti. Perjalanan dari jeti ke kelong mengambil masa 10 minit menaiki bot fiber yang disediakan.

 

 

Bayaran yang dikenakan untuk memancing di kelong ini ialah RM30 seorang. Pada hari tersebut hanya group kami sahaja yang turun memancing, maka dapatlah kami memancing dengan penuh privacy.

 

Setibanya di Kelong, kami tidak membuang masa memasang semua kelengkapan untuk memancing. Umpan udang hidup dan udang mati menjadi taruhan. Kami tidak menunggu lama untuk umpan direnggut ikan tapi kami hanya berjaya menaikkan ikan duri, gelama dan beberapa ekor ikan ketuka sahaja.

 

Menjelang malam, cuaca yang sebelumnya cerah menampakkan bintang tiba-tiba bertukar gelap dan hujan lebat turun berserta angin kuat memaksa kami berehat sahaja di dalam bilik dan tidur.

 

Keesokan hari, seawal jam 5 pagi, kami telah memancing semula dengan harapan ada ikan yang bersaiz lebih besar sudi menjamah sarapan pagi yang kami sediakan. Mungkin disebabkan hujan dan angin kuat semalam telah membuatkan ikan-ikan bertempiaran lari bersembunyi di karang-karang kerana tiada berlaku renggutan ikan pada waktu pagi.

 

 

Setelah menunggu hampir 2 jam, akhirnya joran saya direnggut seekor ikan yang bersaiz agak besar. Seekor ikan tebal pipi atau nama saintifiknya ‘pomadasys kaakan’ berjaya dijinakkan di atas kelong. Dengan berjayanya menaikkan ikan ini, kami percaya memang terdapat ikan-ikan bergred A di kawasan sekitar Kelong Abu ini.

 

Trip kedua akan menyusul pada tarikh yang akan ditetapkan nanti. Kami berkemas-kemas untuk pulang memancing pada jam 10 pagi. Meskipun trip kali ini hanya seekor sahaja ikan yang bersaiz besar tapi kami tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Published by
Amang