Monster Tokong Yu
Menjelang senja kami berpindah ke Pulau Tokong Yu untuk berlindung sekiranya angin kuat pada malam nanti. Selesai sahaja bot melabuhkan sauhnya, Fauzi tanpa membuang masa menurunkan umpan udang hidup. Sekejap sahaja sudah mendapat ragutan.
Hampir 5 minit bertarung, Fauzi sudah tidak dapat bertahan dan meminta pertolongan daripada saya untuk menggantikan tempatnya.
Saya juga cuma mampu bertahan selama 5 minit sahaja sebelum rod diserahkan kembali kepada Fauzi. Tidak sampai seminit pertarungan disambung, akhirnya kami kecewa apabila mata kail terlucut dari mulut mangsa. Menurut Abang Mat, kemungkinan besar ebek bersaiz mega yang memakan umpan.
Satu tip apabila memancing ebek ini ialah tidak melambat-lambatkan pertarungan. Mulut ebek yang sedikit lembut akan mudah membuatkan mata kail tercabut sekiranya pertarungan berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama.
Saya dan Fauzi terlantar keletihan sambil mengurut pinggang bahana pertarungan dengan pemangsa misteri itu tadi. Sedang kami berehat, tiba giliran Abang Mat dan awak-awaknya Puyoh untuk bergasak.
Mereka hanya menggunakan koyan dengan berumpankan sotong plastik pendar cahaya. Umpan akan diturunkan separuh air. Sasaran adalah ikan jemuduk. Bersilih ganti mereka berdua menaikkan ikan.
Memang agaknya ketika itu kawanan jemuduk mungkin sedang mencari makan di sekitar Pulau Tokong Yu. Saya dan Fauzi yang sama-sama menurunkan umpan terus mendapat ragutan serentak.
Posisi kami yang agak dekat membuatkan kami berhati-hati supaya tali tidak akan berbelit sesama sendiri. Fauzi telah berjaya menaikkan ikan jemuduknya sedang saya masih lagi bertarung. Keletihan akibat bertarung dengan ebek mega sebelum ini masih lagi belum hilang.
Matahari mulai terbenam dan keadaan mulai menjadi gelap. Namun ikan yang ditunggu tidak lagi timbul. Akhirnya setelah hampir 20 minit, secara tiba-tiba dirasakan tekanan ke atas rod mulai kendur.
Rupanya jemuduk yang meragut umpan pada awal tadi telah dicukai oleh monster di bawah. Berdasarkan kepada bekas gigitan, sama ada alu-alu bagak atau ikan yu yang punya angkara.
Tapi menurut Abang Mat, kemungkinan besar ia angkara yu kerana Pulau Tokong Yu memang menjadi tempat ikan yu mencari makan.
Mungkin kerana itulah pulau ini dinamakan Pulau Tokong Yu. Malam itu kami tidur awal kerana ‘terlebih kerja’ pada petangnya.
Keesokan paginya, awak-awak menunjukkan kepada kami seekor yu kemejan hasil pancing pada malam ketika kami sedang nyenyak tidur.
Abang Mat mencadangkan supaya kami berpindah ke lubuk ebek yang hanya terletak sebelah sana Pulau Tokong Yu. Mendengar saja ebek, semua bersetuju.
Sampai sahaja di sana, saya menjadi orang pertama yang menurunkan umpan. belum sempat umpan mencecah dasar, sudah mendapat ragutan kasar.
Pertarungan hanya mampu bertahan seminit sahaja sebelum tali putus. Terus saya ‘dibahankan’ oleh rakan yang lain. Selepas itu keadaan sepi. Tiada ragutan daripada penghuni dasar. Kami kembali berpindah ke unjam darat.
Aya Vs Tenggiri
Sampai sahaja ke unjam darat, sudah banyak bot yang berlabuh. Sudah ada aksi tarik-menarik. Kelihatan tenggiri dan ikan aya bersilih ganti dinaikkan.
Umpan terbaik untuk menjerat ikan aya di sini ialah ikan tamban. Mata kail akan dicucukkan di bahagian tengah betul-betul di bawah siripnya. Seterusnya umpan akan dilepaskan hanyut.
Oleh kerana kami tiada tamban, ikan selar pun boleh digunakan. Jika nasib tak baik, tenggiri yang meragut dah sudah pasti rabut atau putus.
Ini kerana tenggiri boleh dikategorikan sebagai ikan yang cerdik. Sedangkan jika menggunakan 3 mata pun kadangkala rabut, inikan pula menggunakan 1 mata.
Teknik memancing tenggiri di perairan laut Sedili mungkin sedikit berbeza jika dibandingkan di tempat lain.
Di sini digalakkan untuk memakai tali mono sebagai tali utama. Kekuatan tali utama pula adalah sekitar 20-30lb.
Begitu juga dengan perambut. Perambut hantu atau fluorocarbon berkekuatan 20-30lb sepanjang 3-4 depa akan digunakan.
Sekiranya anda memakai tali utama yang berdiameter besar seperti Daiwa Crystal Clear, tali utama bolehlah disambung terus dengan perambut dawai 20-30lb sepanjang sejengkal.
Perambut dawai ini pula akan diikat mata kail bersaiz 2/0. Pada waktu saya mula turun memancing di perairan Sedili ini, perambut dawai ini akan diikat dengan 3 mata serangkai.
Tapi sekarang hanya 1 atau 2 mata sahaja yang digunakan. Rod dengan kekuatan PE 1-3 adalah terbaik untuk teknik ‘drift’ tenggiri. Ada juga rakan yang menggunakan rod casting dengan kekuatan 8-17lb atau 10-20lb untuk lebih ‘thrill’.
Bagi kekili pula, kekili dengan saiz 2500-4000 (saiz kekili shimano) sesuai digunakan. Pastikan tali yang boleh dimasukkan ke dalam kekili sekurang-kurangnya 200 meter. Ini kerana tenggiri terkenal dengan daya pecutannya ketika di awal perlawanan.
Pengalaman bertarung dengan tenggiri sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk diceritakan. Terutamanya bagi orang yang baru.
Pernah saya ditegur oleh awak-awak suatu ketika dahulu kerana tangan saya masih lagi menggigil walaupun telah hampir 1 jam setelah saya berjaya menaikkan tenggiri.
Bagi yang masih belum pernah ‘bertarung’ dengan si panjang ini, bolehlah mencubanya di perairan Sedili.