Trip Retro: Sedili Awal Musim – Bahagian 1

Share

 

Ketika kunjungan kami ke perairan Sedili sebelum trip, keadaan lautnya masih beralun dan angin juga agak kuat. Sedikit sebanyak ia merisaukan kami.

Setiap hari tekong dihubungi untuk mendapatkan maklumat terkini. Walaupun hati sudah tidak sabar untuk turun ke laut, tetapi faktor keselamatan perlu dititikberatkan.

 

Tiba harinya, kami memutuskan untuk ‘on’ trip ini. Kami terlebih dahulu singgah di Bandar Sri Saujana, Kota Tinggi untuk membeli umpan udang hidup.

Lokasinya ialah di ‘Kedai Kopi Mawaddah’ iaitu terdapat kolah udang terletak di bahagian belakang kedai kopi tersebut. Sekilogram (+/- 100 ekor) dijual dengan harga RM60.

 

Satu lagi kedai yang menjual umpan udang hidup adalah Kedai Umpan Ah Wei yang terletak Jalan Mawai, Kota Tinggi.

Di sini anda tidak perlu membawa bekas polisterin atau pam. Semuanya ada dijual disini. Cuma perlu bawa duit sahaja. Yang penting, harus menelefon dahulu untuk membuat tempahan.

 

 

Misi Bermula

Sampainya kami di jeti, Tekong Abang Mat memberitahu yang kami perlu keluar awal untuk mengelakkan air surut. Berada sahaja di atas bot, kami sedikit terperanjat dengan bahagian belakang dan ruang tempat tidur yang berwajah baru.

Tempat simpanan umpan hidup juga telah dinaiktarafkan. Tidak seperti kunjungan sebelum ini. Ha… ini sudah bagus.

 

Menurut Abang Mat, semua ini adalah idea dari pemancing-pemancing yang menggunakan perkhidmatannya. Kadangkala pengusaha bot pancing mungkin tidak tahu apa keperluan atau kehendak pemancing yang menggunakan khidmatnya.

 

Seperti biasa kami merebahkan badan kerana perjalanan ke lubuk pertama yang mengambil masa 3-4 jam. Ketika kami sampai ke unjam darat, keadaan masih lagi gelap. Tanpa membuang masa, kami terus menurunkan apollo. Langsung tiada hasil.

 

 

Abang Mat memberitahu perlu menunggu sehingga matahari keluar barulah ikan unjam akan menjadi galak. Memang betul seperti apa yang dikata.

Keluar sahaja matahari, barulah apollo yang diturunkan mendapat sambutan. Agak besar juga selar yang dinaikkan. Terasa sayang pula untuk dibuat umpan.

 

Selepas puas mengunjun apollo, kami menukar taktik dengan pancingan dasar. Seperti biasa, kerapu dan kerisi mendominasi hasil tangkapan.

Yang lebih mengejutkan, ikan merah yang sebelum ini agak kurang diperoleh kali ini agak ‘frenzy’. Asal umpan dijatuhkan sahaja, pasti diragutnya.

 

Walaupun saiz tidaklah sebesar mana, tetapi mendapat ikan gred A ini amat menggembirakan. Silih berganti merah, kerapu dan kerisi dinaikkan.

Tegak matahari di atas kepala, kami berhenti untuk makan apabila arus pun mulai tiada sambil berbincang dengan tekong lokasi berikutnya.

 

 

Penghuni Unjam Terbiar

Abang Mat kemudiannya membawa kami ke satu lokasi unjam terbiar. Agak sukar juga tekong hendak parking botnya di atas unjam kerana tiada langsung tanda pelampung unjam. Hanya berdasarkan pengalaman dan sonar sahaja.

 

Nasib kami baik barangkali kerana sekali lagi merah begitu ‘frenzy’. Mungkin kerana unjam itu jarang dikunjungi membuatkan penghuninya tidak culas dengan perambut dan mata pancing.

Abang Ram yang sibuk di dapur sekali-sekali sempat melayan apollo dengan memakai koyan. Mencari cencaru katanya untuk keluarga di rumah.

 

 

Ramli yang leka bersembang tiba-tiba terkejut apabila rodnya mendapat sentapan kasar. Agak kalut beliau kerana ikan yang meragut umpannya begitu kuat membenam ke bawah. Pada awalnya dijangkakan aruan tasik.

 

Setelah hampir 10 minit aksi tarik menarik, tiba-tiba ‘tusssss’ tali utama putus. Sedikit kecewa Ramli. Serentak itu juga koyan tekong yang di sebelah kiri bot mendapat ragutan.

Apabila ditarik, rupanya tali dari pancing Ramli yang terputus tadi terbelit dengan tali mono koyan milik tekong. Hasilnya sekor jahan yang boleh tahan saiznya. Kalau sudah rezeki tidak ke mana.

 

Pemancing yang berada di belakang bot juga tak menang tangan melayan kerenah penghuni dasar.

Abang Man, Abang Long dan Adi tak henti-henti menaikkan kerisi dan kerapu. Sebelum kami berpindah lokasi, Abang Man berjaya menaikkan seekor kerapu yang agak besar saiznya.

 

…bersambung

Published by
Amang