Cuti semester, memang waktu yang seronok bagi saya. Bukan sahaja seronok bercuti pulang ke kampung, tetapi seronok sangat kerana dapat casting dengan member-member sekampung.
Sememangnya hobi utama saya adalah gemarkan casting, tidak kiralah ikan apapun, janji casting.
Tetapi saya lebih gemar casting sebarau sungai. Memang feel bila ia menyambar gewang. Tambah-tambah kalau terkena sebarau bersaiz badong yang menyambar.
Lagi satu yang cukup saya suka adalah, betapa thrillnya mencari sebarau, kena trekking jauh ke dalam hutan, menghendapnya lubuknya, baling gewang kena tepat ke celah-celah bangkar kayu.
Macam sniper! Sebab itulah juga saya menyambung pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional. He…he.
Botok, Mat Alin, Sulaiman adalah rakan casting tegar saya. Dengan mereka, sebut mana sahaja sungai pergunungan sekitar daerah Kuantan yang disyaki ada sebarau, pasti akan kami kunjungi. Biasanya saya bermotosikal sahaja.
Jika sungai itu jauh dari rumah, kami semuanya akan menaiki kereta dan akan berjalan kaki atau berkhemah sahaja di tebing sungai.
Pengalaman paling menarik yang saya ingin kongsikan adalah ketika cuti semester ketiga lalu, apabila Botok mengajak saya ke salah sungai kecil, iaitu cabang anak Sungai Lembing. Katanya di situ ada banyak port menarik sebarau.
Lantas satu trip singkat diatur. Walaupun ia bukanlah waktu terbaik kerana airnya agak keruh akibat hujan kerap turun, tapi ‘ belum cuba belum tahu’.
Kami berpecah mencari port menarik. Biasanya sebarau sungai suka menghendap anak ikan di celah reba-reba kayu, balak tumbang.
Jadi balingan harus setepat mungkin ke port yang kita pilih, kalau tak alamatnya, boleh lebur gewang jadi perhiasan di atas pokok atau reba kayu.
Balingan yang saya agak kali ke 10 di celah kayu balak tumbang, menyaksikan gewang killer pilihan saya Rapala Shad Rad warna oren meletup disambar ikan target.
Paling mengujakan, satu gewang disambar dua ekor sekaligus. Sah ini sebarau jantan betina. Ini sudah menarik. Berbaloi sangat.
Pulang dari port, Botok pula mendapat toman seekor. Toman sesat katanya. Mungkin air dari tasik melimpah, menyebabkan toman ini termasuk ke dalam sungai.
Apapun, trip tersebut menjadi memori indah buat saya. Pasti cuti semester akan datang, saya akan berkunjung lagi ke sini.