Hujung minggu yang bermakna bagi saya pada kali ini kerana saya telah dibawa memancing oleh saudara saya, Pak Jun ke sebuah rumah @ chalet terapung yang terletak di Teluk Bayu di Sungai Petani, Kedah.
Kami bertolak pada pukul 2 petang dan perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dari rumah.
Kami menyewa chalet untuk 1 hari 1 malam. Menurut saudara saya, tempat ini terkenal dengan ikan kerapu dan kunjungannya beberapa kali sebelum ini, berjaya menaikkan beberapa ekor spesies itu selain gelama.
Tibanya saya di lokasi, kami dibawa dengan bot untuk ke chalet. Saya yang pertama kali berkunjung ke sini, amat teruja kerana melihatkan chalet ini terapung dan berada di tengah-tengah kuala sungai.
Selepas memunggah barang, tanpa membuang masa, kami terus memasang set pancing yang dibawa. Kami menggunakan umpan isi udang untuk menawan ikan yang terdapat di sini.
Apabila mata kail kami mencecah air, anak-anak ikan mula menunjukkan minat namun umpan yang dipasang namun tidak mengena ikan yang besar.
Agak boring juga, apabila umpan yang dihulurkan asyik habis digetu ikan-ikan kecil. Apabila matahari sudah terbenam, kami mengambil keputusan untuk berehat dan BBQ sebentar.
Aktiviti diteruskan selepas solat Isyak, walaupun kami hanya mendapat anak ikan, namun kami tidak putus asa.
Kami mengubah strategi memancing dengan menggunakan mata kail kecil (mata kail udang) dengan tali sedepa bersama pelampung untuk memancing di dasar kuala pula.
Hasilnya tidak mengecewakan apabila ikan kitang mula menunjukkan minat terhadap umpan yang disuakan kami.
Setiap jam mesti ada ikan kitang yang berjaya dinaikkan. Penat sudah tidak terasa lagi sebaliknya perasaan tidak sabar sentiasa menjelma dan kami bersemangat untuk menaikkan ikan.
Kami berjaga sampai ke pagi bagi memanfaatkan masa yang ada. Apabila matahari mula menampakkan diri, kami terpaksa berhenti memancing kerana perlu mengemas barang untuk keluar dari chalet.
Secara keseluruhannya, kami berjaya menaikkan 20 ekor ikan kitang dan seekor ikan tamok/belanak. Walaupun tidak mendapat ikan kerapu dan spesies lain, kami tetap puas hati dapat menghabiskan masa di chalet terapung ini.
Perasaan yang tidak dapat digambarkan dan yang pasti kami akan menjejakkan kaki lagi ke sini. Lewat tengah hari, kami tiba di rumah dan kami bercadang untuk bermalam lagi di sini dalam masa terdekat.