Konvoi ke Tasik Kenyir bermula sekitar 10.30 malam dari Kuala Lumpur ke Kuala Berang dan berehat seketika di hentian Temerloh sekitar pukul 12.00 tengah malam bagi

menyegarkan dan membasahkan tekak para pemadu setelah penat menempuh kesesakan di Lebuh raya Karak akibat satu kemalangan jalan raya.

 

Perjalanan diteruskan dan kami tiba di bandar Kuala berang sekitar jam 7.00 pagi. Setelah segala keperluan seperti bekalan barang basah dan ais dibeli, konvoi terus bergerak ke Pengkalan Gawi di mana House Boat milik Pak Karim sudah sedia menanti kami di sana.

 

Kegembiraan terpancar di wajah rakan-rakan setelah melihat kebiruan air tasik, maklumlah kebanyakan daripada mereka merupakan pertama kali sampai ke sini. Setelah semua barang diangkut ke dalam boathouse dan kami bertolak sekitar jam 10.00 pagi.

 

Menurut Pak Karim kedatangan kami tepat pada masanya kerana hujan mula turun dan menaikkan paras air tasik yang mana pada masa inilah ikan-ikan mudik ke hulu sungai untuk bertelur dan ada juga mencari makan.

Sebarau, baung, lampam, toman, kelah, temperas, siakap dan lain-lain galak mencari makan sekiranya hujan lebat yang menurunkan air keruh ke dalam tasik.

Ads

 

Perjalanan dari Pengkalan Gawi ke Sungai Berua yang mengambil masa kira-kira 5 jam memberi kesempatan pada ahli-ahli untuk merehatkan badan dan ada juga yang menyiapkan peralatan memancing bagi memulakan sesi pancingan petang nanti.

 

Hujan lebat mengiringi perjalanan kami ke destinasi yang dituju dan akibat hujan lebat juga terdapat banyak alur sungai terbentuk sekitar tebing-tebing bukit yang menjadi tempat ikan mencari makan.

 

Kami tiba di Berua sekitar jam 4.30 petang, setelah bot di parkir, sesi pancingan pun bermula. Ada yang keluar casting di sekitar kawasan berdekatan bersama Pak Karim dan anaknya Yol.

Ads

Ada juga yang melayan lampan dan baung di house boat, hasil nya 8 ekor sebarau bersaiz sederhana petang itu berjaya didaratkan melalui kaedah casting.

 

Pada malam hari sesi pancingan baung bermula. Berbekalkan umpan cacing, banyak baung berjaya didaratkan dan banyak juga yang rabut akibat tarikan mengejut sang baung yang berjaya membawa tali pancing ke celah reba-reba kayu yang terdapat di bawah tasik.

 

Pada hari kedua, dua buah bot keluar casting seawal jam 6.30 pagi dan yang tinggal di boathouse melayan bottom. Banyak juga hasil yang diperolehi.

Ads

Ikan baung boleh dianggap mendominasi tangkapan bottom di boathouse. Hasil casting juga membuahkan hasil yang menggembirakan kerana beberapa ekor sebarau saiz besar berjaya diperolehi.

 

Pada tengah harinya, kami berpindah lokasi kedua iaitu Lata Sungai Lasir untuk melihat keindahan lata tersebut seperti yang dikatakan sangat cantik.

Kami tiba di Lata Sungai Lasir jam 3.00 petang, malangnya hasrat untuk mandi-manda di situ terbantut dek kerana airnya keruh dan deras.

 

Sepanjang malam di Lata Sungai Lasir kami hanya melayan bottom dan ada berkongsi pengalaman berbual-bual menceritakan pengalaman masing-masing sambil menghirup kopi ‘O’ panas.

Keesokkan harinya kami bertolak ke jeti Pengkalan Gawi seawal 7.30 pagi dan tiba sekitar jam 11.00 pagi. Kami bercadang akan datang lagi ke sini pada penghujung tahun ini.

 

Boleh dikatakan, trip kali pertama buat geng ini ke Tasik Kenyir amat berjaya. Selain bertuah ditimpa hujan tanpa henti, hasil tangkapan juga terbaik. Buat ketua kumpulan Erin, tahniah kerana selamat melahirkan cahaya mata yang kedua.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI