Trip Retro – Pesta Sotong 100kg!!

Share

Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.

Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.

 

Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.

 

Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.

Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.

 

Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.

 

Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.

 

Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.

 

Apa lagi, kami pun menurunkan set appolo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.

 

“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.

 

Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.

Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.

Published by
Amang