Tasik Kenyir, sememangnya lokasi pancingan unggul untuk mereka yang cintakan pancingan air tawar. Saya juga tidak terkecuali.
Kerana itulah juga, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara ini ‘port’ wajib saya kunjungi setiap tahun. Ada kalanya, jika ada bajet lebih, 2-3 kali dalam setahun pasti saya kunjungi.
Trip kali ini disertai beberapa orang rakan sekerja dan agenda kami, ialah menduga penghuninya pada musim tengkujuh. Sebarau atau badong adalah target tangkapan utama.
Kenangan berkunjung pada tahun lepas, dengan bertemu sang sebarau sedang frenzy, faktor utama menyebabkan saya berkunjung lagi ke sini.
Hari pertama tiba di Tasik Kenyir, hujan lebat menyambut kedatangan kami. Nampaknya memberi petanda baik.
Lantas sebaik sahaja selesai memunggah barang ke dalam bot, tekong Karim yang kami selesa gunakan servisnya sejak empat tahun lalu pantas memacu boathousenya menuju ke sekitar Gua Bewah dan Gua Taat.
Ads
Tiba di sana, rata-ratanya sudah bersiap untuk turun memancing. Lantas tiga buah bot fiber diturunkan. Saya bersama Mus, Wan bergerak menuju mencari anak-anak sungai baru. Manakala dua bot fiber lagi, menghilang entah ke mana.
Lewat senja, kami pulang kehampaan kerana tiada hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan dua bot lagi.
Keesokan harinya, hujan masih lagi turun sekejap lebat dan sekejap renyai. Menjelang petang, tekong Karim menukar tempat parking boat, tidak jauh dari kuala sebatang sungai yang sedikit keruh airnya.
Ads
Tanpa disangka oleh kami, percubaan Mus yang membaling popper ke arah kuala muka sungai tersebut menghasilkan sambaran, apabila popper yang dilontarkannya bersambut. Rupa-rupanya, ada kawanan sebarau berada di situ.
Mungkin sedang menghendap anak-anak ikan yang hanyut.Apa lagi, kami semua terus sahaja mencari arah kedudukan terbaik untuk melontar gewang.
Saya yang mencuba beberapa kali melontar gewang dalam gewang dalam terus sahaja mendapat sambaran.
“Nampaknya, kita tak payah pergi casting jauh-jauh. Kat sini pun dah banyak sebarau,” ujar rakan saya Nasir.
Ads
Sesi malam pula diteruskan, apa lagi kalau bukan baung. Dengan berumpankan tapa dan anak ikan, sesi pancingan malam itu turut diserikan lagi dengan tangkapan beberapa ekor belida.
Pancingan keesokan harinya yang juga hari terakhir, kami semua boleh dianggap semuanya bangun awal, walaupun tidur lewat malam semalamnya melayan baung.
Saya sempat juga casting menaiki bot fiber di lokasi tidak jauh dari boathouse berlabuh.
Hasil tangkapan tidak memberangsangkan, sebaiknya, Wan yang setia melontar gewang dari sejak awal pagi di boathouse dihadiahkan seekor sebarau sekitar 2 kg lebih yang dianggap tofi pada sesi kali ini.
Tengah hari, boathouse Karim mula meninggalkan lokasi. Walaupun hasil tidaklah terlalu lumayan, tapi masih boleh dianggap berbaloi. Apa yang pasti saya akan kembali lagi ke Tasik Kenyir lagi pada bulan Jun ini, untuk mencuba sesi pancingan kelah pula.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kebiasaannya kita mengimpikan perjalanan dan hasil trip yang memuaskan walhal kita tahu memancing adalah satu percaturan yang kesudahannya tidak diketahui.
Rezeki itu semuanya datang dari Yang Maha Esa dan kita hanya jadi perancang sesuatu trip.
Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.
Lokasi Kumpau 1 – Sungai Selangor
Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil.
Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.
Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia.
Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.
Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.
Lokasi Kumpau 2 – Sungai Bentong, Pahang
Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.
Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur.
Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.
Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai.
Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang.
Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami.
Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.
Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.
Lokasi Kumpau 3 – Sungai Tekai, Pahang
Mendengar cerita-cerita daripada mulut Zahar, anak peneroka Felda Kota Gelanggi telah membuatkan kami teruja untuk meneroka spot ini.
Menurut Zahar, ikan kelah, sebarau, tengas dan lain-lain banyak mendominasi sungai pergunungan ini.
Cuma cabaran untuk meneroka tempat ini adalah dengan hanya menggunakan motosikal kerana ia perlu melalui denai yang mungkin telah lama tidak dilalui.
Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini.
Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.
Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan.
Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi.
Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!
Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway.
Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler.
Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.
Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai.
Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.
Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan.
Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.
Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini.
Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.
Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami.
Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami.
Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan. Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk
membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!
Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya.
Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit.
Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.
Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan.
Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.
Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya.
Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.
Satu komplot casting yang dianggap paling ramai disertai oleh ahli MAG dan rakan lain telah berlangsung di sebuah tasik buatan manusia milik Mukah Power Generation (MPG).
Tiba hari yang dinantikan, seawal jam 6 pagi, saya telah terpacak di depan gate waterpump MPG seperti mana yang telah dijanjikan. Memandangkan masih awal dan belum ada ahli komplot yang sampai, saya telah mencapai set ringan untuk mengilat bulan di sebuah tali air bersebelahan dengan tempat kereta saya parking. Beberapa sambaran diterima dari bulan, tetapi rabut.
Setelah menukar gewang ke Rapala Ultra Light Minnow 4cm FireTiger, seekor ikan bulan dapat didaratkan. Selepas mengambil gambar, ikan tersebut berjaya dilepaskan semula dengan selamat ke habitat asalnya.
Rombongan ini tiba disertai oleh beberapa orang rakan caster dari Bintulu. Setelah bersalaman dan berkenalan, kami pun terus mencapai joran yang telah tersedia untuk mengilat sang bulan yang makin galak bermain air sementara menunggu rakan caster dari Kuching dan Sibu datang.
Setelah sebilangan besar para ahli komplot pada hari tersebut hadir, maka sedikit penerangan telah saya buat berkenaan komplot pada hari tersebut. Ahli komplot seramai lebih 20 orang telah bergerak dalam 3 kumpulan kecil ke spot mengilat yang telah dikenal pasti.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada River Barra, AdieZul, Sanip Noh, Uncle ‘Burn’, Frank Joseph dan beberapa orang lagi memilih spot Culvert. Acara mengilat dilakukan secara ‘landbase’ sahaja. Manakala Pak Anjang menghantar kumpulan saya ke spot Tanjung.
Tidak menunggu lama, Adie Zul yang beberapa kali sudah membuat kunjungan ke sini, mendapat lesen pertama MJ beliau. Begitu juga dengan saudara Sanip Noh dan River Barra yang mana masing-masing berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan seperti tetanda, MJ, GT juvenil dan kitang.
Kumpulan yang memilih spot Tanjung juga mendapat banyak strike pada pagi tersebut. Paling menarik, beberapa GT juvenil menggunakan set ringan yang digunakan kebanyakannya oleh kami. Memang syok melihat rod melentur dengan lentik.
Penggunaan micro jig betul-betul berkesan tatkala gewang replika ikan konvensional kurang mendapat sambutan. Jig saya lontar seperti biasa dan karauan dibuat baik secara laju, henjutan dan stop & go memang menjadi pada hari tersebut.
Terubuk Sarawak yang datang nun jauh dari Kuching pun tidak kurang hebatnya pada hari tersebut. Berkat kerajinan dan ketekunan beliau mengilat dan sedikit trekking di tebing berbatu, beliau juga berjaya mendaratkan beberapa ekor MJ dan tetanda.
Manakala kumpulan Pak Anjang telah memilih spot Batu Hampar yang berada betul-betul sebelah seberang spot Tanjung tempat kumpulan saya. Suara yang sayup-sayup kedengaran dengan sorak gembira memberikan tanda yang kumpulan mereka juga berjaya mendaratkan ikan buruan.
Oleh kerana keasyikan mengilat, tak terasa pula jam sudah menunjukkan ke angka 2 petang. Semua ahli komplot ternyata berpuas hati dengan sesi pagi tersebut. Tidak kurang juga rungutan daripada ahli komplot yang gagal mendaratkan apa-apa tangkapan, meskipun mendapat beberapa sambaran.
Ahli komplot yang sudah letih memerlukan rehat untuk sesi seterusnya petang tersebut. Ahli komplot segera bergerak ke bandar Mukah untuk makan tengah hari dan membuat kunjungan ke kedai pancing.
Namun begitu, kumpulan Pak Anjang yang terpaksa balik awal pada petang tersebut, masih meneruskan acara mengilat hingga ke jam 4 petang sebelum berangkat ke Sibu.
Komplot pada hari tersebut terpaksa ditamatkan awal kerana keadaan air yang sudah mula surut besar. Ahli komplot mencuba pula di sebuah muara sungai yang bersambung dengan Tasik MPG, namun gagal mendatangkan sebarang hasil.
Setelah hampir sejam mencuba, ahli komplot kembali semula ke Tasik MPG untuk merancang aktiviti yang seterusnya. Lewat petang, keputusan telah dibuat oleh pengilat-pengilat dari Bintulu untuk kembali lagi pada keesokan harinya yang rupa-rupanya telah pun menempah hotel di bandar Mukah untuk bermalam.
Hari kedua
Awal-awal lagi saya telah menempah sebuah bot yang mampu memuatkan lima orang pengilat untuk satu-satu masa. Untuk sesi pagi ini saya tidak dapat menyertainya kerana komitmen kerja. Namun begitu saya mengikuti perkembangan sesi pagi tersebut dengan SMS dan panggilan beracun daripada AdieZul.
Selesai urusan kerja, petang berkenaan saya kembali ke MPG untuk menemui geng Bintulu. Komplot pada hari kedua ini berakhir juga setelah semua pengilat berpuas hati dengan hasil tangkapan masing-masing. Sebelum berangkat pulang, kami sempat juga menjamu selera sekali lagi di bandar Mukah.
Kali ini kami ingin berkongsi pengalaman seoarang caster yang kami gelar The lady Anglers Snakehead yang berjaya menjinakkan sang haruan… satu-satunya caster wanita sahabat saya.
Lokasi
Lokasi dan port kami kali ini ialah Sungai Pasu Batu 1 yang terletak beberapa kilometer dari bandar Miri, Sarawak. Caster kami kali ini dikenali dengan nama Shirley aka The Lady Anglers Snakehead. Beliau mula berjinak dengan dunia hanyir ini bermula dari minat dengan ayahnya berumur dari kecil lagi masa itu hanya memancing tebing atau dikenali teknik bottom.
Siapa sangka anak gadis seperti ini meminati hobi hanyir ini sehingga awal bulan ogos 2020 tahun lepas beliau mencuba teknik casting. Beliau sangup membeli set casting atas dasar minat dan ingin mencuba teknik casting ini.
Rod dan Tali
Set yang beliau gunakan ialah reel Devil Craft Castella Pro Limited. Rod 2-6lb Lemax, line Seahawk Gachiri 7lb, leader Fc Phantom 11lb ini ialah yang saya gunakan untuk casting Haruan.
Lure
Lure SF Ozmy Gamakichi & SF Exp K-beer Frog ini yang saya gunakan setiap kali menjinakkan haruan. Banyak jenis solf frog yang boleh digunakan haruan tidak memilih janji ada di depan mata dia pasti rakus menyambarnya.
Waktu aktif dan kawasannya
Kawasan yang paling digemari haruan ini ialah airnya dalam keadaan hitam mahupun berpaya. Waktu haruan aktif ialah seawal pagi dan waktu petang. Haruan tidak memilih cuaca mahupun selepas hujan atau panas itulah paling sesuai untuk memancingnya.
Kadang-kadang apabila haruan yang kami jumpa mempunyai anak anak kecil pasti ada mama haruan di situ. Ini meyakinkan lagi kami untuk membaling lure di kawasan itu. Memujuk si mama menyambar haruslah bersabar. Hasil yang kami dapat kami catch and release supaya ikan ini semakin banyak membiak dan untuk kemudian hari dipancing oleh para caster yang akan datang.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...