Hampir jam 3 petang kami tiba di salah sebuah tuas tidak jauh dari Pulau Payar.
Tuas tersebut adalah milik Pak Mat, salah seorang tekong tersohor Kuala Kedah yang turut serta dalam trip ke Tukun Perak ini.
baca juga tenggiri pulau payar
Tak berlengah saya keluarkan set pancing aksi ringan yang tidak digunakan langsung dalam sesi memancing di Tukun Perak.
Mujur juga saya tergerak hati nak satu set ringan itu, kalau tidak memang melopong sajalah tengok ahli trip berpesta ikan cencaru.
Selain cencaru, spesies tenggiri turut banyak mendiami tuas ini. Malah ikan tenggiri sebenarnya adalah spesies sasaran utama ramai pemancing ke tuas Pulau Payar.
Walaupun saiznya tidaklah sekasar mana dengan purata yang didaratkan sekitar 1-3 kilogram sahaja, namun jumlah kehadirannya boleh dianggap agak banyak juga.
Puas melayan cencaru dengan pelbagai kaedah, saya menukar rentak bermain slow pitch jigging pula. Iyalah, tak sempat nak puas main slow di Tukun Perak.
Selain kehilangan satu set jig, Tukun Perak hanya menghadiahkan seekor kerapu kecil saja. Manalah tahu kerapu boron sebesar tong gas Pulau Payar sedang menanti saya.
Jenuh mengetuk jig di dasar dan percaya tiada spesies bersisik di tuas itu saya menukar tempo karauan. Manalah tahu ia menimbulkan rasa geram tenggiri untuk membahamnya.
Tatkala jig yang dikarau laju tiba di pertengahan, terus ada pemangsa yang menyambar. Namun ia rabut di pertengahan perlawanan apabila berjaya memutuskan kevlar mata kail.
baca juga trip jigging cencaru
Ternyata pemburu bergigi tajam banyak berlegar di pertengahan air. Percubaan kali kedua juga berpihak kepada pemangsa bergigi tajam.
Cuma kali ini ia lebih pedih di hati apabila melihat ia berjaya memutuskan perambut ketika tiba di permukaan air. Lebih pedih lagi melihat ia bukanlah tenggiri sebaliknya cuma alu-alu.
Walaupun tahu pemangsa yang banyak kali memutuskan kevlar dan leader serta menukunkan jig yang bukan murah harganya itu hanyalah alu-alu, namun saya tidak serik malah terasa sakitnya tuh di sini pula jika tidak dapat menewaskannya.
Saya usaha juga sehinggalah berjaya mengeluarkan tiga ekor alu-alu di tuas itu.
Lewat senja kami berpindah ke tuas lain pula. Namun hasil di tuas kedua ini tidaklah serancak di tuas pertama.
Setelah beberapa jam tanpa hasil yang menghiburkan, para tekong dan pemilik bot akhirnya sepakat sekata untuk pulang sekali gus menamatkan trip singkat di tuas Pulau Payar.
baca juga cara-cara nak layan tenggiri
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan