Trip Retro – Pengalaman Berderau Bawah Jambatan Penang!!

Share

 

Setibanya di jeti nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam, kami segera mencari pengusaha bot yang menyediakan servis menghantar pemancing ke pelantar di bawah Jambatan Pulau Pinang.

Tidak sukar untuk mencari pengusaha bot ini kerana ramai yang sedia menanti di jeti.

Dalam masa yang sama juga serba sedikit info dapat diperolehi bagi menentukan tiang jambatan yang mana akan dituju nanti.

 

Selain servis menghantar dan mengambil pemancing dari bawah jambatan, pengusaha bot turut menghantar menyediakan servis menghantar makanan dua kali sehari.

Sebelum berlepas, kami mengisi perut dan membawa bekal untuk makan malam sekali kerana tiada sebarang kedai makan di bawah jambatan, yang ada hanyalah tiang dan pelantar kosong.

 

Semangat untuk ke bawah jambatan kian meluap-luap bila melihat ada pemancing yang baru pulang membawa hasil seekor siakap mega.

Segala gambaran mistik tentang hantu air, cik ponti hanyut atau mayat orang bunuh muncul dari air dan macam-macam lagi lenyap begitu saja.

 

Terbayang pula aksi-aksi bertarung dengan ikan-ikan mega yang lebih 30 tahun mendiami lubuk-lubuk di bawah jambatan.

Namun bayangan itu tak kekal lama apabila terbayang pula sekiranya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pelantar yang tinggi dari paras air.

 

 

Daripada lebih 80 tiang menghala Georgetown dan lebih 80 lebih lagi menghala ke Seberang Prai yang sesuai untuk memancing, kami memilih tiang bernombor 40 menghala ke Seberang Perai.

Tiang ini tiang merupakan rebutan kerana sering menaikkan ikan-ikan mega dan kami bernasib baik kerana ia belum berpenghuni.

Bertambah lega kerana tidak perlu memanjat tangga yang didirikan dari atas bot kerana pelantar sekadar beberapa kaki saja dari paras air.

 

Agak memakan masa juga untuk membiasakan diri berada di atas pelantar tanpa pengadang dengan angin timur yang bertiup kencang tanpa henti. Terutamanya pada malam hari.

Biarpun masih tempias cahaya dari lampu jambatan, namun pergerakan seperti terbatas. Terasa cuak sekiranya tersilap langkah.

Sementara menanti ragutan ikan, apa yang mampu dilakukan hanyalah membaringkan tubuh beralaskan tikar kecil di belakang tiang sambil menggigil kesejukan.

 

Masuk hari kedua barulah penulis dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Hilang sudah rasa gayat dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada memancing.

Umpan hidup tidak bermasalah di tiang 40 kerana agak mudah juga untuk mendapatkan kasai dan bilis dengan menggunakan apollo.

 

Hanya sambaran ikan saja agak kurang. Dan hampir setiap kali ada rentapan kasar pula, larian ikan ke tukun dan ke bawah pelantar pula menyebabkan tali utama bergeser dengan teritip dan putus.

Hanya seekor jenahak dan kerapu berskala remaja saja yang berjaya ditarik keluar dan selamat didaratkan.

 

Tiada sebarang tangkapan mega sepanjang tempoh lebih 50 jam memancing dan menggigil kesejukan sepanjang dua malam tidur di bawah jambatan.

Mungkin nasib tidak menyebelahi ditambah pula set pancing yang digunakan kurang bersesuaian.

Sekiranya menggunakan set pancing yang lebih kasar dan lasak menangani tukun dan teritip, kemungkinan besar ada tangkapan mega didaratkan.

 

Yang pasti bawah Jambatan Pulau Pinang masih ada banyak ikan mega dan wajar dimuatkan dalam kalendar trip memancing.

Dan penulis juga selamat dari dipertontonkan adegan mistik atau insiden bunuh diri.

Yang banyak kelihatan hanyalah sampah-sampah berterbangan dari atas jambatan yang turut menyumbang kemusnahan hidupan laut.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

 

Published by
Amang