Keadaan sungai yang mempunyai banyak tunggul yang sukar dilihat amat memerlukan kepakaran ketika mengemudi bot.

Saya yang mengemudi salah satu bot, beberapa kali terlanggar serpihan kayu balak yang hanyut. Bahkan beting pasir yang surut turut menyukarkan perjalanan ke lubuk ini.

 

Namun, Alhamdulillah segala-galanya selamat apabila kami sampai juga ke lokasi ini. Lubuk Tujuh nyata begitu ideal untuk tujuan perkhemahan sambil memancing. Terdapat tiga kawasan teluk air yang menjadikan ianya lubuk terbaik untuk diduga.

 

Sebelum tiba di lokasi, Abang Chik, sempat singgah di beberapa lokasi di tebing sungai, terutama di bawah akar-akar pokok yang menjalar ke gigi air untuk menyauk udang sungai untuk dijadikan umpan.

 

Sambil mengemaskan peralatan dan memasang khemah, bila memandang sahaja sungai di depan mata, rakan-rakan lain tidak melepaskan peluang melabuhkan umpan masing-masing.

Ke semua jenis umpan, kami gunakan. Kami menjadikan beting sisir sungai sebagai lokasi tempat bermalam dengan mendirikan dua khemah.

 

Waktu malam hanya dipenuhi dengan aktiviti ‘sembang’ dan aktiviti memancing menggunakan teknik rendaman dasar menggunakan umpan anak ikan di kawasan hadapan khemah.

 

Pemandangan yang terhad pada waktu malam menyukarkan sesi memancing sekiranya kami menggunakan bot.

 

Kayu dan sampah hanyut di sepanjang sungai dikhuatiri akan menyebabkan bot boleh terbalik. Malam itu, beberapa ekor baung berjaya didaratkan pada sesi pancingan malam menggunakan anak ikan.

Di sini ikan baung lebih agresif pada waktu malam. Kopi O menjadi kudapan kami menghabiskan sesi pancingan di waktu malam.

Ads

 

Ridzuan yang bangun awal pagi cuba casting menggunakan gewang. Lontaran demi lontaran dibuat di sekitar tebing sungai yang berumput.

Kata Ridzuan, “Ikan apa pun tak kisah, janji ada ikan yang sambar gewang aku”. Beberapa kali melontar gewang, akhirnya satu sambaran diterima sebaik sahaja gewang betul-betul melalui satu rumpun kangkung yang berada di tepi sungai.

 

Lantas Ridzuan menyentap dan mengangkat joran ke posisi yang lebih tinggi bagi mengelakkan lariannya ke kawasan yang berumput. Tewas sang haruan dalam skala 1 kg.

“Besar juga haruan sungai ni,” katanya dengan gembira.

 

Banyak Kayu

Sesi pancingan diteruskan. Tumpuan sudah tentulah balingan ke arah lubuk yang dalam. Namun, balingan tepat ke lubuk banyak diakhiri dengan episod duka iaitu mudah sangkut di celah ranting dan reba kayu yang terperangkap di dasar.

 

Kerap kali ragutan diterima dan jika lambat sahaja saja, alamatnya leburlah mata kail dan batu ladung. Situasi sukar diduga ini amat memerlukan ketangkasan dalam mengawal larian ikan.

Ads

 

Asri yang menggunakan umpan cacing ketika itu membuat lontaran kebahagiaan sisi lubuk dan memegang joran tidak mengambil masa yang lama untuk mendarat seekor spesies baung berat sekitar 1.2kilogram.

Permainan yang singkat dan sentapan segera yang dibuat berjaya mematahkan lariannya ke dalam kawasan reba.

 

Saya turut tidak ketinggalan, cuba untuk casting, sambil-sambil menunggu umpan pancingan dasar di getu sang ikan.

Tiba-tiba terlihat riak air di sekitar reba kayu, menandakan ada ikan pemangsa yang sedang cari makan. Terlintas di benak saya, mungkin sebarau atau badong.

 

Dengan menggunakan gewang Rapala shad rad- redhead saya cuba casting sebaik mungkin ke sport tersebut.

Lantas satu deburan kuat dan serentak itu juga, gewang yang dilontarkan ditarik kuat oleh ikan. Dek kerana air yang keruh, pada awalnya sukar untuk memastikan apakah ikan yang terjerat.

 

“Belida!” Spontan teriakan Asseri bila dia melihat kelibat warna keperakan sisi badan ikan berkenaan muncul di permukaan air.

Ads

Walaupun sangkaan saya badong, kerana ia kuat melawan, belida yang saya anggarkan melebihi berat 1 kg ini cukup memuaskan hati saya.

 

Ikan istimewa

Memandangkan Sungai Semantan, adalah salah satu cabang sungai yang bertemu dengan Sungai Pahang, patin adalah satu lagi spesies yang kami idamkan.

 

Berbekalkan umpan buah ara sebiji dan dicangkukkan di mata kail, saya melabuhkan umpan di lubuk kedua yang tidak jauh dari pokok buah ara yang sedang gugur.

Sebenarnya, sebelum kami naik ke tebing, Abang Chik sempat mengambil beberapa biji buah ara yang masak sebagai umpan memancing patin.

Saya menggunakan buah ara yang masak ranum dan mempunyai bau yang sangat harum. Bau yang kuat akan menarik sang patin untuk menjamah umpan. Selain patin, buah ara juga adalah umpan terbaik untuk memancing kelah.

 

Caranya, mata kail perlu dicucuk ke dalam buah ara dan hanya sedikit hujung mata kail terkeluar. Gunakan batu ladung bentuk buah kana sebagai pemberat. Saiz batu ladung pula perlu mengikut arus sungai.

 

Di lubuk ini saya berjaya mendaratkan seekor patin sungai skala 1.8kilogram setelah hampir satu jam menunggu. Ternyata percaturan pemasangan umpan dan pemilihan lubuk yang tepat menjanjikan hasil dan kepuasan yang maksima.

 

Lewat petang, kami bersiap pulang. Ternyata walaupun air Sungai Semantan sentiasa keruh, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai spesies hidupan di dalamnya.

Pendek kata kesabaran adalah kunci kejayaan jika berhasrat ingin menaikkan spesies rare Sungai Pahang.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI